Sebilangan daripada kita sebenarnya sudah kembali bekerja pada Rabu lalu. Jadi mungkin ada yang menyusun jadual berganti cuti semula dengan anda yang kembali bertugas esok. Itu adil namanya.

Sepanjang seminggu beraya sama ada di rumah sendiri atau kampung halaman, pasti anda sudah meneliti tingkah laku para tetamu. Paling sensasi luahan hati selebriti Chef Wan yang membidas sikap tetamu yang dilabelnya tidak beradab.

"Anak tumpahkan kuah, ramas kuih, taburkan atas lantai, lari sana sini macam dirasuk pelesit. Bila ditegur tak makan saman. Ibu bapa pula boleh tengok macam tunggul sahaja...’’ Tulis Chef Wan dalam Instagram yang mempunyai lebih 294,000 pengikut.

Saya menduga sentimen Chef Wan ini dalam akaun Facebook saya. Saja hendak tengok apa reaksi kawan-kawan. Ada juga yang menegur. Naz Ekma Mokhtar menyatakan: "Masa raya, tak wajar kita berkira. Masak lauk memang untuk dihabiskan. Dah kita pun niat nak menjamu orang. Bila habis, masak atau belilah lagi. Cuci pinggan pula, takkan kita harap tetamu bertandang nak buat. Itu kerja kita sebagai tuan rumah. Layanlah tetamu dengan ikhlas’’.

Mungkin logiknya pada pandangan Naz Ekma dan kebanyakan kita ialah tetamu yang datang merupakan orang yang kita kenal. Berbanding dengan selebriti atau ahli politik atau ketua agensi tertentu, akan ada kalangan yang hadir terdiri daripada orang asing sama sekali berstatus peminat, pengikut atau banyak hajat. Kategori ini susah sikit hendak tegur.

Tetapi berlaku jujurlah. Chef Wan nampak kasar bila menegur sedemikian. Namun tanyalah hati anda sekarang. Rasa bersyukur, bukan? Mujur ada Chef Wan, yang boleh mewakili gejolak jiwa kita yang tidak seberani beliau untuk meluahkan rasa geram.

Berikut saya perturunkan maklum balas rakan-rakan mengenai topik ini, mengikut metodologi Merrepak:

DK Mustafa yang merupakan sahabat lama menceritakan dua situasi yang dialaminya. Tetamu yang datang 'terlebih awal’ iaitu sejurus selepas solat sunat Aidilfitri. Kemudian 'tinggal lebih masa’ apabila tidak berganjak walaupun anggota keluarga mula sampai.

Naz Ekma Mokhtar: Sudah janji nak datang, maka kita sediakan bermacam juadah (tetapi) selepas itu batang hidung tidak nampak.

Monashalyza Mohd Kassim: Ada yang datang betul-betul buat macam rumah sendiri, duduk atas sofa, pegang remote tv, tukar-tukar saluran, siap duduk bersila atas sofa.. hahaha!

Mahdi Al-Hilmy Bin Arshad: "Asalamualaikum.. kami datang nak beraya.. tak makan pun tidak apa, janji dapat duit raya" ( antara dialog berani anak-anak yang datang ziarah).

Tun Fazhilah: Kalau tetamu tidak perlu (cuci pinggan). Tapi kalau dah berkumpul satu rumah saudara mara..harap maklum..'kena ringan tangan’.

Hamidah Ib Zainal: Ada juga sahabat lama datang rumah, bawa ramai kerabat. Masa solat, mereka solat di bilik atas, bilik utama, ruang tamu. Hati-hati dengan barang berharga sebab bila tetamu balik ada yang hilang. Nak tuduh susah juga tapi kena berhati-hati. Berdasarkan cerita benar.

Alcmaeon Aeneas: Budaya di kampung saya sendiri di Pantai Timur, budak-budak masih perlu masuk ke rumah, makan biskut raya dan menunggu beberapa ketika sebelum tuan rumah bagi duit raya.

Papakyra Mzi: Guna peralatan pakai buang lagi senang. Tidak payah susah-susah buang masa nak basuh. Masa yang ada boleh dimanfaatkan untuk mengeratkan silatur rahim.

Nor Azlina Jais: Sudah dihidang juadah raya tetapi tidak mahu makan. Alasan sudah kenyang.

Eddy H Zaidel: Mungkin adab beraya boleh dipandang dari sudut positif. Yalah..kuih habis, ada la alasan nak tutup rumah, betul tak?

Lina Abd Kadir: Bab cuci pinggan, saya nak beri cadangan tuan rumah sediakan disposable plates and cup. Hari raya kita nak jalin ukhwah, bukan nak sibuk di dapur mencuci pagi sampai malam.

Fazrina Ayu Raduian: Tapi jenis tuan rumah nak pakai pinggan berat, bagaimana? Jaga status sangat.. lepas itu orang lain kena basuh.

Dayang Fatin Nurhazziqah: Pasal tandas dan lepas makan tak cuci pinggan saya okey saja. Tapi sepah di ruang tamu oleh tetamu itu (memang) sakit hati.

Roziana Hamsawi: Bila anak-anak mereka datang berziarah mahu mengambil biskut tetapi diramas-ramas sampai hancur, kemudian disepah atas permaidani atau lantai. Mak bapa hanya melihat sahaja anak mereka. SAKITNYA TUH DI SINI!

Muhamad Syahrul Asyraf Anuar: Orang kata, kalau makan biskut raya di rumah orang tinggalkan satu biji biskut dalam balang supaya mudah tuan rumah nak isi semula. The last cookie can be a good indicator.

Mohd Ridzuan A. Rahman: Fikirkan juga aspek tetamu yang berkunjung meletak kereta jangan sampai menghalang jiran hendak keluar masuk. Sikit punya hal pun mau gaduh.... Hehehe

Mokhelp Hipeny: Hidangan kuih sampai 24 jenis atas meja. Bukan nak menunjuk-nunjuk tetapi raya setahun sekali. Di Sarawak, ada konsep 'langgar rumah’ iaitu berziarah tanpa temu janji, asalkan kita kenal siapa tuan rumah.

Zainab Mohd Yatim: Raya setahun sekali. Masa ini sajalah orang hendak masuk rumah kita. Kalau nak kekal rumah cantik, tutup saja pintu. Pergi jalan rumah orang. Buat sepah kat rumah orang.

Sheikh Shaun: Jika yang menjamu dan bertamu sama ikhlas, tahu ada maka tiada persoalan perlu ditimbulkan. Yang tidak ikhlas saja akan persoal dalam hati.

Kak Sue Joni: Yang saya 'suka’ bila orang-orang tua buat perangai. Menanya harga kerusi meja, berbangga rumah anak-anaknya sebesar mahligai, ada perabot import. Tahulah rumah saya kecil.

Azah Naza: Ada orang datang diet karbohidrat (tidak makan nasi). 'Dibantainya’ lauk saja sampai habis.

Nuek Haiqal: alaaa... macam Chef Wan pulak... nextttttt.....