Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Hakikatnya, rakyat bersatu dalam perbezaan

MENJELANG Transformasi Nasional 2050 nanti, apa lagi yang dimahukan
MENJELANG Transformasi Nasional 2050 nanti, apa lagi yang dimahukan selain mengharapkan Malaysia menjadi sebuah negara bersatu padu, tersadur nilai moral dan etika yang utuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing. UTUSAN/ABD. RAZAK AID

BEBERAPA hari lalu, kita semua melihat bagaimana hebatnya pembukaan Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perasmian temasya dwi tahunan dengan slogan Bangkit Bersama itu berlangsung dengan penuh warna-warni yang menonjolkan kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan. Upacara itu menerapkan kebudayaan dan keunikan yang ada di negara ini yang menjadi lambang kebanggaan kepada 32 juta penduduk Malaysia.

Semua penonton yang berada dalam stadium yang berkapasiti 100,000 itu terpukau dengan persembahan muzikal dan kebudayaan yang menceritakan tentang kelahiran negara ini serta dihalusi dengan keunikan adat tradisi masyarakat pelbagai kaum serta rakyat negara Asia Tenggara lain.

Semua ini penulis percaya bukan sengaja dicipta atau direka, tetapi adalah refleksi terhadap keharmonian tanah air kita yang acuannya dibentuk oleh nenek moyang serta pemimpin terdahulu. Hakikatnya, kita semua telah bersatu dalam setiap perbezaan.

Bercakap mengenai pe­nyatuan walaupun berbeza agama, kulit dan fahaman, tidak dapat ti­dak penulis perlu menzahirkan penghormatan kepada dua tokoh politik bukan Melayu ini. Pertama ialah Tun Tan Siew Sin. Beliau ialah seorang pemimpin yang berkebolehan dalam pentadbiran. Siew Sin dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Industri oleh Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka lagi.

Kemudian beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan selama 15 tahun bermula 1959. Sebagai Menteri Kewangan, beliau memimpin Perwakilan Malaysia bagi Mesyuarat Tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Beliau juga menjadi Pengerusi bagi Suruhanjaya Kajian Semula Pilihan Raya bagi Seychelles.

Beliau mengambil-alih jawatan Presiden ketiga MCA pada November 1961. Untuk rekod, beliau yang mencadangkan kepada pemimpin UMNO agar memberikan taraf kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu. Cadangan tersebut telah diterima selepas beberapa perbincangan dengan pemimpin UMNO.

Apa kata Tan Siew Sin mengenai perkara ini? Mari kita baca untuk renungan bersama.

“Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan sya­rat-syarat dalam undang-un­dang negara ini sehinggakan da­­lam masa 12 bulan selepas ke­merdekaan, 90 peratus pendu­duk bukan Melayu menjadi warganegara.

“Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain”.

Seorang lagi tokoh bukan Melayu yang penulis sanjungi ialah Tun V. T Sambanthan. Beliau antara yang memperjuangkan kemerdekaan bagi negara ini bersama-sama Tunku Abdul Rahman dan Tan Cheng Lock. Pemimpin ini pernah menjadi Presiden Malaysian Indian Congress (MIC) yang ke-5 dari 1955 hingga 1973. MIC adalah satu-satunya parti politik mewakili masyarakat India di Malaya pada masa itu.

Beliau pernah berkata: “Apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan?

“Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

“Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata: “Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara”.

Seterusnya pada 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara.

Apa yang penulis ingin katakan di sini, selain bersyukur kerana dua pemimpin bukan Melayu ini menghargai jasa orang Melayu seperti dalam ucapan mereka, sejujurnya penulis sangat bangga kerana kedua-duanya berani mengajak kaum masing-masing untuk sama-sama dengan orang Melayu, berjuang dengan orang Melayu, mencari rezeki dan bersatu dengan orang Melayu sebagai satu bangsa yang berjaya, bebas dan merdeka.

Mereka tahu di bumi Malaysia yang bertuah ini, bukan kaum mereka saja boleh mendabik dada mengatakan hanya mereka yang terbaik. Mereka tahu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang gemilang, semua kaum perlu bersatu hati menyantuni setiap perbezaan agar negara ini boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara lain di dunia.

Menjelang Transformasi Nasional pada tahun 2050 nanti, apa lagi yang kita mahu selain mengharapkan Malaysia menjadi negara yang bersatu masyarakatnya; yang disadur nilai moral dan etika yang kukuh, penyayang, adil dan saksama, berkeyakinan serta mampu bersaing.

Malah mana-mana pemimpin agung dunia sejak dahulu hingga kini pun tetap menyakini apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. Kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan yang merugikan negara kita sendiri.

Realitinya, kita adalah bangsa yang berbeza ciri dan resam. Marilah kita mengakui perbezaan tersebut dan dengan perbezaan tersebut kita bersatu untuk membangunkan negara. Selamat Me­nyambut Kemerdekaan Ke-60.

PENULIS ialah Ahli Parlimen Sungai Besar.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain