Misalnya, ramai sudah melupakan hakikat Malaysia adalah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Dalam erti kata mudah, raja-raja Melayu adalah salah satu institusi membentuk sistem pentadbiran negara, yang menjalankan tugas dan fungsi mengikut perlembagaan.

Justeru, amatlah canggung, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba membuang sistem beraja kerana sistem ini adalah institusi dan asas yang membentuk Malaysia.

Keadaan ini adalah berbeza berbanding Indonesia mahupun India kerana kedua-dua negara ini adalah negara republik. Bagi mengingatkan masyarakat Malaysia yang mungkin lupa, wakil raja-raja Melayu ialah salah satu pihak yang berunding dalam menentukan kemerdekaan negara ini. Perwakilan dalam perundingan kemerdekaan menunjukkan bahawa peranan dan kewujudan raja-raja Melayu sendiri diiktiraf oleh pihak British.

Walaupun kuasa pemerintahan raja mengalami evolusi daripada berkuasa mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan, raja-raja Melayu masih menjalankan amanah memelihara agama Islam dan kedudukan serta adat-istiadat orang Melayu dan bumiputera sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan Negeri dan juga Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat juga sebahagian masyarakat Malaysia yang terlupa akan kewujudan agama Persekutuan iaitu agama Islam. Adalah menjadi tanggungjawab mana-mana raja-raja Melayu untuk mempertahankan dan menjaga kesucian agama Islam seperti mana sumpah Baginda Tuanku ketika menaiki tahta.

Penulis percaya selaras dengan semangat Islam sebagai agama keamanan, tidak pernah hak pengamal agama lain dinafikan di mana-mana kawasan di dalam Persekutuan Malaysia. Inilah yang dimaktubkan ke dalam roh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun masih juga terdapat rakyat Malaysia yang alpa akan hakikat ini dan terus-menerus melakukan provokasi antara agama.

Seterusnya ramai juga yang terlupa di Malaysia, kita mempunyai bahasa kebangsaan yang dijadikan sebagai pengikat rakyat negara. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengangkat kepentingan bahasa kebangsaan yang mempunyai signifikan yang sangat besar. Bahasa kebangsaan bukan sahaja sebagai alat sebagai perpaduan tetapi ia mempunyai kedudukan di sisi undang-undang sebagai bahasa rasmi. Inilah yang telah diulas dalam kes Merdeka University lawan Kerajaan Malaysia. Namun, ­memandangkan kita mewarisi pentadbiran yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mahupun ketiga, tidak hairan bila mana kita lihat tindak-tanduk masyarakat yang melupakan bahasa kebangsaan sendiri.

Masyarakat Malaysia juga lupa bahawa wujud kepen­tingan dalam peruntukan berkenaan dengan hak istimewa Melayu dan bumiputera. Ada generasi baharu yang menghujahkan bahawa Perkara 153 ini tidak lagi relevan.

Masyarakat Malaysia alpa mengenai sebab wujudnya peruntukan berkenaan keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu dan bumiputera. Masyarakat Malaysia yang juga terkenal dengan tabiat hanya membaca tajuk perkara tanpa meneliti keseluruhan isi kandungan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dengan mudah menghukum dan memberi label ‘diskriminasi’ terhadap perkara terbabit.

Kini, di mana-mana masyarakat melaungkan Malaysia Baharu yang penuh dengan harapan. Sebagai pengamal undang-undang yang dilatih supaya Perlembagaan Persekutuan menjadi rujukan utama, penulis benar-benar berharap agar perkara asas yang membentuk Persekutuan Malaysia dipertahankan dan difahami. Hanya dengan ini Malaysia yang disayangi ini mampu bergerak ke hadapan dan memberikan fokus untuk menambahbaik lagi hak-hak asasi rakyat, seiring dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sekiranya setiap rumah mempunyai tiang-tiang yang menjadi asas binaan rumah tersebut, serupalah dengan sebuah warga negara berdaulat, yang mana Perlembagaan menjadi asas pembinaan negaranya yang berdaulat lagi teguh. Sayangi Malaysiaku.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.