Selaku plaintif, mereka men­­dakwa defendan telah menceroboh tanah adat mereka dengan membangunkan projek tersebut tanpa terlebih dahulu mendapatkan izin daripada mereka. Dalam kes difailkan itu, plaintif menuntut deklarasi untuk melindungi hak serta kepentingan mereka pada tanah adat tersebut. Mereka juga memohon injunksi untuk menghalang defendan meneruskan projek tersebut.

Selain menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak, empat defendan lain adalah Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn. Bhd., Conso Hydro RE Sdn. Bhd., Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak, dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Dalam pernyataan tuntutan plaintif, mereka mendakwa ke­dua-dua syarikat yang dinamakan itu telah memulakan projek ampangan di Sungai Geruntum itu pada 2012. Mengikut peguam plaintif, hampir 1,000 keluarga terkesan dengan aktiviti syarikat berkenaan mulai tiga bulan lalu.

Aktiviti tersebut telah memusnahkan kebun buah-buahan serta 40 hingga 50 tanah perkuburan Orang Asli di sekitar kawasan itu, selain menyebabkan pencemaran kepada sumber air untuk masyarakat di situ. Masyarakat Orang Asli telah tinggal di kawasan itu sejak 400 tahun lalu.

Selain memohon deklarasi­ dan injunksi, plaintif juga me­nuntut ganti rugi daripada kedua-dua syarikat berkenaan kerana menceroboh masuk dan menjalankan kerja di kawasan tanah adat mereka. Plaintif juga memohon ganti rugi daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak kerana gagal melaksanakan kewajipan fidu­siari mereka, iaitu menjaga kepentingan plaintif selama ini.

Pada 8 Mac lalu, akhbar tempatan menyiarkan kenyataan Kerajaan Negeri Perak bahawa kontraktor yang dilantik menjalankan kerja di kawasan itu bukan bertujuan membina sebuah ampangan, tetapi sebaliknya hanyalah satu stesen jana kuasa hidro yang kecil. Kerajaan negeri akan mendirikan pagar melindungi tanah perkuburan Orang Asli di situ, dan akan membayar pampasan kepada orang kampung yang kehilangan hasil kebun mereka.

Mengenai pencemaran sumber air, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana orang kampung tidak membenarkan kontraktor meletakkan beg pasir di tepian sungai di situ. Mereka telah diberi maklumat salah oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mahu memburukkan nama baik Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Disebabkan kes tanah Orang Asli di kawasan Ulu Geruntum ini telah menjadi sub judice (setelah ia difailkan di mahkamah), adalah tidak wajar bagi kita membuat ulasan lebih lanjut lagi mengenainya. Terserahlah kepada mahkamah menentukannya nanti. Andainya ada pihak yang masih terkilan dengan keputusan hakim bicara itu nanti, kes itu masih lagi boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan.

Inilah yang telah berlaku dalam dua kes penting mengenai tanah adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, iaitu kes pertama di Johor dan kes kedua di Selangor. Dalam kes pertama di Johor itu, Kerajaan Negeri Johor & Anor lwn. Adong Kawau & Ors (1998) 2 AMR 1233, tanah adat Orang Asli di Kota Tinggi diambil oleh kerajaan negeri untuk membina empangan.

Tujuan empangan itu dibina adalah bagi membolehkan Kerajaan Negeri Johor mendapatkan sumber air untuk dijual kepada Singapura. Mahkamah Tinggi telah memutuskan bagi pihak plaintif (masyarakat Orang Asli) dan defendan (Kerajaan Negeri Johor) telah kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan.

Di Mahkamah Rayuan, Hakim Gopal Sri Ram menyatakan bahawa masyarakat Orang Asli di negara ini mempunyai hak di bawah common law untuk terus mengambil manfaat dari tanah yang mereka duduki itu, tanpa diganggugugat oleh sesiapa pun.

Sambil merujuk kepada Calder’s case (1973) dari Kanada dan Mabo’s case (1986) dari Australia, Sri Ram berkata hak Orang Asli di negara ini untuk terus tinggal dan hidup di atas tanah adat mereka seperti yang telah dinikmati oleh datuk nenek mereka turun-temurun ‘tidak pernah padam’.

Mengenai isu pampasan, Sri Ram menyatakan pampasan hendaklah dibayar bagi kehilangan sumber kehidupan (loss of livelihood), bukan berasaskan nilai ta­nah (kerana responden dalam kes ini tidak pernah memiliki tanah).

Dalam kes kedua di Selangor itu, Sagong Tasi & Ors lwn. Kerajaan Negeri Selangor & Ors (2002) 2 CLJ 543, sebahagian tanah Orang Asli diambil untuk membina jalan raya baru ke Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sewaktu lapangan terbang baharu itu hendak dibina.

Di peringkat bicara, hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan bagi pihak plaintif. Bila kes ini dirayu, Mahkamah Rayuan juga memutuskan bagi pihak plaintif. Masih tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Kerajaan Negeri Se­langor telah merayu sekali lagi ke Mahkamah Persekutuan.

Sewaktu rayuan hendak dide­ngar di Mahkamah Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor menarik balik rayuan tersebut. De­ngan itu kekal kemenangan bagi pihak plaintif, seperti diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Kesimpulannya, berasaskan keputusan mahkamah di negara ini, hak Orang Asli pada tanah adat mereka tidak boleh dipersoal lagi. Kedudukan undang-undang di negara ini selaras dengan Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Masyarakat Pribumi (UN Declaration on the Rights of Indigenous Peoples, UNDRIP) 2007.

Dalam kes terbaharu ini, saya tidak menolak kemungkinan ­kedua-dua pihak akan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menyelesaikan kes ini secara damai di luar mahkamah, agar kes ini tidak perlu diteruskan lagi.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.