Ia boleh dijadikan peringatan bahawa tiada peraturan tertentu bagi menentukan siapa yang la­yak dan tidak layak menganggotai Kabinet kerana yang pentingnya perlu memenuhi syarat-syarat perlembagaan yang asas.

Dan bilangan menteri di dalam Kabinet bukanlah satu perkara yang ditetapkan. Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 1959 mengandungi 12 ahli sahaja. Tun Abdul Razak Hu­ssein dan Tun Hussein Onn mempunyai anggota Kabinet di antara 20 hingga 24 orang manakala Dr. Mahathir setakat ini mempunyai 10 ahli Kabinet, mengatasi rekod Almarhum Tunku.

Apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentuk kerajaan pada 27 Mac 2004, beliau mempunyai 33 anggota Kabinet. Seperti dilihat semua Perdana Menteri mempunyai bilangan anggota Kabinet yang berbeza dalam tempoh pentadbiran mereka.

Tiada penjelasan yang jelas mengapa Kabinet seseorang Perdana Menteri mempunyai anggota yang banyak - misalnya terdiri daripada menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan suatu ketika setiausaha-setiausaha Parlimen. Ini kerana ia hak keistimewaan subjektif dan pilihan bagi seorang ketua eksekutif.

Tiada siapa yang akan mempersoalkan jika beliau hendak membentuk kementerian baharu atau memberi tugas sebagai Menteri II di Kementerian Pendidikan. Demikian juga Kementerian Kewangan mendapat Menteri II semasa kepimpinan Dr. Mahathir, Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Kebiasaannya, Perdana Menteri melantik menteri-menteri mengikut keperluan beliau. Kriteria pemilihan ini termasuklah populariti politik selain bakat dan tuah seseorang.

Di sebalik itu, pelantikan menteri boleh dibatalkan pada bila-bila masa oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi tertakluk atas na­sihat Perdana Menteri. Apabila Yang di-Pertuan Agong ingin membatalkan pelantikan seseorang menteri atau mana-mana anggota pentadbiran, ‘nasihat’ Perdana Menteri diperlukan terlebih dahulu.

Tetapi jika Perdana Menteri ingin menamatkan perkhidmatan seseorang menteri, beliau hanya perlu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong dari sudut Perlembagaan itu sudah memadai. Fasal 5 dalam Artikel 43 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa setiap menteri memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara ini memerlukan analisis yang mungkin bercanggah dengan pemikiran konvensional. Mengikut Perlembagaan, menteri berkhidmat atas perintah Diraja, maka baginda berhak menamatkan perkhidmatan menteri pada bila-bila masa walaupun tanpa nasihat Perdana Menteri.

Tetapi kerana Artikel 40 seterusnya menyatakan bahawa semua perkara yang rasmi yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong mestilah atas nasihat Perdana Menteri atau salah seorang anggota Kabinet, maka ia memberi pengertian yang sama, iaitu pelantikannya boleh ditamatkan pada bila-bila masa oleh Perdana Menteri.

Apabila dilihat dari peruntukan yang amat jelas ini, amat menghairankan bagaimana pada 1998, peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pemecatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir. Mungkin ia dilakukan semata-mata atas dasar politik. Peraturan keadilan asasi bagaimanapun tidak boleh digunakan ke atas tempoh perkhidmatan menteri atau mana-mana anggota pentadbiran.

Mengikut rekod pentadbiran negara ini, parti-parti komponen utama dalam parti pemerintah tetap diberi peluang untuk ber­khid­mat sebagai menteri dan timbalan menteri.

Buat masa ini selagi Dr. Mahathir berdiri kukuh dan disokong sebahagian besar bangsa Melayu, pemimpinnya iaitu presiden akan mudah dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai “menguasai...dalam pandangan baginda akan mendapat kepercayaan majoriti Dewan...”

Apa pun, satu ciri yang penting diamalkan dalam kerajaan mo­den seluruh dunia adalah pemilihan para menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri menjadi hak eks­klusif Perdana Menteri.

Di Malaysia, jawatan Timbalan Perdana Menteri sama se­perti Ketua Setiausaha Negara dalam Perkhidmatan Awam Malaysia adalah suatu jawatan ‘ciptaan’ pentadbiran kerana tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, pengalaman dan amalan di Malaysia selama 58 tahun ini, Timbalan Perdana Menteri tetap dikurniakan de­ngan fungsi dan peranan tertentu sebagai timbalan kepada Perdana Menteri.

Proses terperinci yang penulis sebutkan tadi adalah atas andaian selagi sesebuah parti tertentu mampu terus mengekalkan keunggulan dari segi bilangan kerusi di Dewan Rakyat serta selagi kesedia­an parti-parti komponennya untuk terus mengambil dirinya sebagai ketua dalam Pakatan Harapan.

Ini kerana dalam Perlembagaan sendiri tidak menyebut seorang yang menyandang jawatan Perdana Menteri itu mesti berketurunan Melayu.

Apabila status quo ini berubah, mungkin berpunca daripada persoalan kepimpinan atau perspektif kesaksamaan dalam senario bangsa Malaysia, ia akan menjadi satu isu Perlembagaan.

Setakat ini orang Melayu masih tidak boleh berbangga de­ngan kekuatan politiknya. Politik perkauman di negara ini kini semakin melalui proses perubahan seperti mana yang didorong oleh pengaruh global.