Biar sekerap mana sekalipun kejadian-kejadian ­seperti ini berlaku, namun masih merupakan sesuatu yang luar jangka dan mengejutkan apabila kejadian melibatkan pengasuh yang diberikan kepercayaan untuk mengasuh kanak-kanak ini. Sebelum ini, masyarakat juga pernah dikejutkan dengan insiden-insiden seperti dera serta kecuaian pihak pengasuh sehingga mendatangkan kece­deraan kepada kanak-kanak ketika mereka berada dalam jagaan pengasuh.

Keperluan menghantar kanak-kanak untuk diasuh dan dijaga oleh pengasuh adalah sesuatu yang harus dipandang berat memandangkan ramai wanita kini be­kerja dan menjawat jawatan yang signifikan dalam organisasi. Bagi membolehkan wanita terus memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan dalam bidang pekerjaan, hak ibu-ibu untuk mendapatkan bantuan asuhan perlulah ditekankan.

Maka, hujah yang cuba menuding jari kepada kaum ibu-ibu yang menghantar anak mereka ke rumah pe­ngasuh apabila berlaku tragedi seperti ini adalah satu hujahan yang tidak matang dan tidak sesuai dengan tuntutan semasa.

Persoalan yang lebih penting adalah untuk mendalami apakah sebenarnya yang berlaku sehingga mendorong jenayah sebegini berleluasa? Punca masalah perlu dikenalpasti untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Walaupun wujud kawalan oleh kerajaan namun mekanisme yang bersesuaian masih belum ada secara zahir. Sehingga kini undang-undang seperti Kanun Keseksaan (Akta 574) adalah jalan bagi menghukum pelaku. Namun persoalan yang masih tergantung adalah bagaimana untuk mengelakkan perkara daripada terus berlaku.

Kewujudan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk menggubal undang-undang memelihara hak dan melindungi keselamatan kanak-kanak. Akta 611 harus memberikan lebih taring kepada kerajaan untuk menggubal dasar dan peruntukan yang membela nasib kanak-kanak.

Bagi insiden yang terdapat elemen jenayah, undang-undang yang ada seperti Kanun Keseksaan tersedia untuk menghukum pelaku. Misalnya, bagi kejadian yang melibatkan pembunuhan, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 302 Akta 574. Sementara kecuaian pengasuh pula boleh melibatkan tindakan jenayah dan sivil bagi menghukum pelaku.

Peraturan khas yang mengawal atau menyelia penga­suh-pengasuh kanak-kanak pula dimaktubkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) yang memperuntukkan setiap pusat asuhan kanak-kanak perlulah berdaftar dengan pihak berkuasa.

Dalam Seksyen 2, secara jelas mentakrifkan taman­ ­asuhan kanak-kanak sebagai satu premis yang empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun dari lebih daripada satu isi rumah diterima masuk untuk dijaga dengan upah. Kewujudan untuk mendaf­tarkan taman asuhan di bawah Akta 308 secara tidak langsung mengawal dan menyelia penjagaan kanak-kanak.

Langkah ini tidak bertujuan membebankan penga­suh tetapi adalah satu konsep menang-menang. Dengan kewujudan peraturan yang mengawal selia pengasuh, pihak berkuasa dapat memantau dan menjamin ke­selamatan kanak-kanak yang dijaga.

Pendaftaran pengasuh ini juga wajar bagi memastikan dari sudut mental dan fizikal calon pengasuh bersedia untuk mengasuh kanak-kanak ini. Selain pendaftaran ke atas taman asuhan, perlu juga diadakan sistem pendaftaran untuk pekerja yang bertugas di taman asuhan.

Kejadian yang menimpa mangsa-mangsa seperti adik Adam Rayqal adalah satu ‘panggilan kejutan’ kepada badan eksekutif dan legislatif untuk merencana satu mekanisme yang lebih menyeluruh bagi menangani hal ini. Sekiranya mekanisme ini berjalan dengan baik, Malaysia barangkali berupaya mengurangkan risiko bahaya yang terdedah kepada kanak-kanak.

Tuntasnya, hak bagi kanak-kanak untuk dilindungi dari segi kebajikan dan keselamatan perlu dimartabatkan sejajar dengan komitmen Malaysia dalam meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu dalam tahun 1995 lagi.

Selepas lebih 23 tahun, kejadian-kejadian seperti mendera sehingga membawa kepada kematian perlu ditangani dengan wujudnya mekanisme pencegahan yang benar-benar berkesan. Ini memandangkan pencegahan lebih baik daripada mengubatinya. Tindakan pantas adalah perlu untuk mengelakkan anak-anak yang tidak berdosa daripada terus menjadi mangsa.

PENULIS ialah pengamal undang-undang sivil dan syariah.