Tahun 2018 melihatkan bagaimana seorang pemimpin Myanmar, yang dulunya diangkat sebagai mata arah yang berdenyar memperjuangkan hak asasi manusia, kini dibogelkan daripada pelbagai anugerah khusus yang diterimanya dulu. Kegagalan Suu Kyi untuk bangkit mengembalikan hak asasi etnik Rohingya menunjukkan bagaimana seorang pejuang yang dijunjung tinggi juga bisa mengkhianati amanah yang berat di pundak.

Apakah sebagai seorang pejuang, dia boleh mendabik dada, mengatakan bahawa dia meletakkan hak asasi manusia sebagai tanda aras utama dalam prinsip seharian sedangkan pada masa sama dia tidak segan untuk terus menindas golongan yang tidak dia senangi? Bukankah sebagai pejuang hak asasi manusia, segala apa yang dikerjakan adalah berdasarkan prinsip kehormatan dan rasa kasih kepada kemanusiaan?

Di tanah air kita juga perkara ini kerap berlaku. Ramai pejuang hak asasi manusia dengan pongah menghadkan perjuangan mereka hanya untuk komuniti rentan yang mereka sasarkan. Keperitan dan keperluan komuniti rentan dilihat sebagai menu yang boleh dipilih-pilih oleh mereka. Mana-mana hak yang tidak dipilih mereka, bolehlah ‘dibakulsampahkan’.

Mereka lonjak sebagai labu dibenam dengan kononnya melaungkan idea tentang kebebasan dan kesamarataan. Sedangkan setiap kali hak yang sama diminta untuk komuniti di luar daripada golongan rentan yang mereka perjuangkan, akhirnya mereka akan menunjukkan belang mereka yang sebenar dan menindas pula hak yang dituntut komuniti luar.

Maka tidak mustahil untuk melihat bagaimana sebenarnya busuknya hati segelintir pejuang hak asasi manusia. Sebagai contoh, dalam pada mereka memperjuangkan hak pendidikan golongan tidak bernegara di Semenanjung dan barat Sabah, mereka geli untuk mengiktiraf yang sama untuk anak-anak dari timur Sabah. Malah ada yang masih mengecam mereka di timur Sabah sebagai pendatang tanpa izin.

Atau misalnya, bagaimana dalam memperjuangkan hak berhimpun untuk mereka yang menuntut demokrasi dan pilihan raya yang bersih, mereka tidak pula mengiktiraf hak berhimpun dan kebebasan bersuara mereka yang menentang konvensyen antarabangsa yang dilihat bercanggah dengan acuan kebangsaan. Lebih teruk lagi, ada pula yang dungu sehingga mempersoalkan pula hak berhimpun ini.

Atau bagaimana ada gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia memperlekehkan mana-mana perjuangan yang tidak mengikut buram pemahaman mereka. Sehinggakan mereka dengan bongkak mengisytiharkan mana-mana hak asasi manusia yang tidak mereka angkat, sebagai amalan yang songsang.

Lebih menyedihkan apabila golongan pejuang hak asasi manusia dan rakan-rakan mereka, ada yang tidak segan menutup bukti penindasan yang dilakukan dalam kalangan mereka sendiri. Seperti yang berlaku berkenaan dengan tuduhan salah laku seksual di radio liberal tanah air yang selama ini berdegar-degar bersembang tentang hak asasi manusia. Benarlah pepatah yang mengatakan tin kosong mengeluarkan bunyi yang lebih bising daripada tin berisi.

Sebesar mana pun seorang pejuang hak asasi manusia itu, akhirnya yang ada tetaplah seorang manusia yang dibentuk daripada tulang-temulang yang diseliputi daging. Mendidik hati untuk menundukkan prejudis tetap merupakan dugaan yang besar. Menundukkan hati untuk menyingkirkan rasa angkuh dengan pejuang masing-masing tetap menjadi cabaran.

Sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang diraikan tanggal 10 Disember setiap tahun, penulis memanggil setiap pejuang hak asasi manusia untuk kembali kepada jati diri perjuangan dengan memartabatkan prinsip yang paling utama dalam perjuangan ini: kehormatan dan rasa kasih kepada kemanusiaan. Jikapun ada rasa perbezaan pendapat, tidaklah sehingga membolehkan kita menafikan rasa hormat dan kasih sesama manusia.

PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ.