Sebuah negara seperti Malaysia tidak sama dengan Sweden atau Amerika Syarikat yang perlu dijadikan rujukan mengenai gaya hidup dan cara berfikir masyarakatnya. Malaysia tidak menentang untuk menjadi negara maju tetapi kemajuan biarlah dalam acuan kita sendiri.

Acuan Malaysia tidak menolak faktor maju yang terdapat di Barat. Kemajuan ilmu pengetahuan yang bermanfaat umpamanya adalah faedah yang baik. Sebab itu Malaysia menganjurkan pelajar yang terpilih belajar dalam pelbagai disiplin ilmu yang berguna di Barat kerana ia boleh menyumbang terhadap Malaysia yang ingin menjadi negara maju.

Dalam masa sama binaan Malaysia dalam corak masyarakat majmuk memiliki kemajmukan budaya, agama dan sistem kepercayaan yang memungkinkan hak asasi terbina atas faktor yang berkaitan. Setiap agama di negara ini mengajar manusia mengenai kebaikan.

Perbezaan dari segi aliran kepercayaan dalam beragama diberi pedoman oleh al-Quran, Laqum deenukum walyadeen. Kamu agama kamu dan kami agama kami. Asas ini sangat penting diketahui supaya etika berbeza itu jelas dan daya toleransi wujud dan menimbulkan rasa saling hormat antara satu sama lain. Ini adalah salah satu ciri daripada maksud hak asasi cara kita.

Barat kini sedang mengalami pengaruh pasca-mode­nisme dan neo-liberalisme yang sifatnya anarki. Krisis genetik yang mereka alami, penolakan terhadap sistem kekeluargaan, suburnya amalan gay dan lesbian, kebebasan tanpa batas yang berlaku dalam kalangan remaja dijadikan kriteria penting dalam menentukan hak asasi manusia.

Mereka tidak lagi dipandu oleh etika agama jauh sekali aliran falsafah yang membawa ke arah kemurnian. Aliran anarki yang berkembang menyebabkan ketertiban dalam rukun kehidupan tidak wujud lagi. Fahaman individua­listik, konsumeristik dan hedonisitik menjadi ciri penting dalam membina budaya baharu yang dihubungkan sebagai faktor hak asasi.

Kalau diteliti buku karangan Profesor Ismail Faruqi mengenai Christian Ethics atau Dr. Zakir Naik mengenai Hindu Ethics dan Kung Fu Tze mengenai The Analects ternyata etika yang terkandung mendukung hak asasi yang membawa kebaikan kepada manusia.

Islam umpamanya menghubungkan hak asasi de­ngan sesuatu yang amat fitrah. Fitrah kejadian manusia tidak boleh bebas tanpa pedoman nilai dan etika. Islam meletakkan kesejahteraan hidup manusia dengan batas pedoman yang terbaik supaya kehidupan berjalan secara manusiawi bukannya haiwani.

Apabila ada pihak menganjurkan Seksualiti Merdeka 2011, ia adalah suatu paradoks (kesongsangan) dalam memahami makna kebebasan dan hak asasi dalam realiti Malaysia. Setiap agama di negara ini tidak mengizinkan kesongsangan ini terjadi. Kerosakan yang dibawa oleh budaya Barat terhadap generasi muda sudah cukup meresahkan banyak pihak. Dengan mengizinkan kegiatan yang mengarah kepada gay dan lesbian memberi petanda seolah-olah orang di Malaysia tidak memiliki agama, etika dan nilai manusiawi yang sentiasa menjaga kepentingan adab dan kesantunan dalam kehidupan.

Aspek positif dalam binaan hak asasi yang terdapat di Barat boleh diambil dan disesuaikan dengan iklim beragama dan berbudaya dan tradisi berfikir masyarakat Malaysia. Tetapi apabila seluruh budaya Barat itu ingin dijadikan rujukan mutlak dalam memahami erti dan makna hak asasi sebenar, ia menjadi sesuatu yang tidak sihat. Menghormati perbezaan anutan agama dalam masyarakat, kelainan amalan tradisi dan budaya adalah sesuatu yang menepati maksud hak asasi manusia.

Sub-budaya yang membawa contoh yang merosakkan tidak harus dibiarkan berkembang kerana dengan pe­ngaruh media baharu ia boleh menjadi barah kepada generasi muda. Sekiranya ini berlaku kepentingan etika dan nilai yang berasaskan agama dan budaya murni bakal pupus.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA ialah Dekan Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).