Arifin yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, melanjutkan pelajaran ke University of Sheffield, United Kingdom dan dianugerahkan ijazah LLB (Hons) pada tahun 1974 dan empat tahun kemudian beliau mengikuti kursus LLM di University College London dan pada tahun berikutnya, beliau dianugerahkan ijazah LLM oleh University of London. Berikut adalah sedutan sidang akhbar beliau yang turut dihadiri oleh wartawan Utusan Malaysia, AMIRUDDIN HARUN di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam.

--
 

Ada sesiapa yang memberi inspirasi untuk Tun belajar bidang guaman?

Arifin: Semua berlaku secara kebetulan. Kita orang kampung mana ada (inspirasi) tapi entah macam mana ia berlaku. Saya dihantar oleh kerajaan (ke England) untuk mengikuti kursus ijazah dalam bidang sains politik dan undang-undang antarabangsa. Kemudian saya bertemu dengan beberapa orang di sana, salah seorangnya (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali (Peguam Negara) dan seorang lagi, Allahyarham Kassim Ahmad, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau yang memujuk saya tukar kursus.

Dalam undang-undang, apa­kah bidang yang spesifik yang Tun berminat?

Sebagai hakim, kami perlu menghadapi semua kes. Tidak ada bidang-bidang tertentu. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, tumpuan dan fokus saya adalah kepada undang-undang Perlembagaan. Ia adalah fung­si paling pen­ting Mahkamah Persekutuan. Ia adalah Mahkamah Perlembagaan negara ini. Walaupun kita tidak mempunyai Mahkamah Perlembagaan seperti negara-negara lain. Ia adalah kata pemutus.

Semasa kolokium kehakiman hak asasi manusia baru-baru ini, seorang wakil badan kehakiman Singapura berkata, undang-undang perlu seiring dengan masyarakat sebab ada undang-undang sekarang ini dalam penghakiman tidak mencerminkan keadaan masyarakat sekeliling. Apa pandangan Tun terutama dalam kes-kes baharu seperti di Eropah tapi belum sampai ke sini?

Macam saya kata di mahkamah beberapa kali. Kita mempunyai hak asasi manusia, hak asasi manusia secara sejagat. Sudah tentu ada yang menyatakan hak asasi ini adalah sama tetapi ia tidaklah begitu. Golongan minoriti mungkin berubah, ia berubah mengikut keadaan. Malahan Undang-undang Lazim (Common Law) mengambil kira keadaan setempat.

Ya, itu hak asasi, tapi sebagai umat Islam, kita juga terikat kepada undang-undang Islam dan kita juga mempunyai adat resam tempatan. Itu juga penting. Tidak perlu sama seperti di Eropah, itu hak asasi manusia yang saya faham. Apa yang berlaku di Eropah tidak bolehlah kita ikut di sini, saya tidak katalah apa dia itu (tetapi) kita kena sesuaikan dengan kea­daan setempat. Mahkamah kita turut membangun dan sebab itu Undang-undang Lazim tidak statik dan berubah bergantung kepada keadaan semasa, ia fleksibel dan mengikut kesesuaian.

Berhubung umur persaraan di negara ini yang masih rendah berbanding negara-negara lain di rantau ini?

Umur persaraan di Malaysia masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Negara lain kesemuanya dalam 70 tahun. Ada yang sampai 75 tapi kontraklah. Tapi kita kena pinda Perlembagaan untuk meningkatkan usia persaraan.

Jangka hayat kita telah mening­kat. (Umur persaraan) England 70 (tahun), Indonesia, Filipina semua negara jiran kita. Kita yang paling muda bersara dan Singapura tapi Singapura ada ruang untuk dilanjutkan.

Dalam Perlembagaan sekarang, jelas umur persaraan adalah 66+6 (66 tahun dan enam bulan) tidak boleh lebih.

Tetapi dalam Perlembagaan kita juga yang menariknya, kita tidak boleh menghalang hakim (daripada meletakkan jawatan). Di bawah undang-undang kita, sekiranya kamu berkhid­mat selama lima tahun, kamu berhak untuk pencen.

Jika kamu hendak meletakkan jawatan, kamu cuma perlu tulis surat dan hantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Selepas itu kamu akan dapat pencen. Itu yang memastikan kebebasan badan kehakiman. Sistem kehakiman kita bukan sahaja tidak boleh menyingkirkan kamu tetapi juga tidak boleh menghalang kamu (daripada meletak jawatan) namun perlu berkhidmat minimum lima tahun.

Tujuh puluh tahun adalah trend semasa di rantau Asia, jadi kita tetapkan pada usia tersebut. Umur 70 tahun adalah paling sesuai. Sebahagian badan perundangan membenarkan hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Agung sahaja, bukan semua hakim. Itu terpulang kepada kerajaan untuk menentukannya. Saya hadir ke ALA dan CACJ baru-baru ini, semua terkejut umur persaraan kita yang rendah di rantau ini. Jangan bandingkan dengan Amerika Syarikat (AS) lagi teruk. Hakim Mahkamah Agung, Mahkamah Persekutuan perlu berkhidmat sepanjang hayat. Kita tidak perlu ekstrem sangat. Orang Asia (umur) 75 nanti nyanyuk.

Apa perancangan selepas bersara?

Bersara rehatlah (ketawa). Apapun saya akan teruskan berkhid­mat dalam bidang berkaitan undang-undang. Apa-apa pun kita tak boleh hendak jangka. Kita perlukan pendapatan dan perlu untuk mengisi masa terluang. Saya perlu aktif, saya rasa adalah penting untuk kita aktif, jika tidak mental kita akan berkurangan.