Bertubuh sasa, kacak dan berpakaian kemas, tetapi berjalan bersama kawan sejenisnya, berpegang tangan atau lengan dan melihat cara sentuhan atau berpanda­ngan sesama mereka pun kita tahu itu kemesraan yang ditunjukkan oleh orang yang sedang berkasih sayang.

Biasanya, saya lihat sajalah. Kebanyakan daripada kita pun sudah biasa melihat pemandangan ini. Yalah, buat apalah hendak bising-bising, apatah lagi mahu sergah. Nanti dikata tidak berfikiran terbuka. Kolot. Tidak menghormati hak asasi manusia pula. Begitukah?

Sekarang ini jadi masalah juga menegur golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di negara ini. Bila ada pihak yang menegur, teruk dikecam balik, terutama ustaz-ustaz. Ada yang memberitahu, bukan setakat dikecam, tetapi turut diugut.

Dalam era Malaysia Baharu ini, tak akan semua pun kena berubah dan bernafas baharu? Janganlah mengambil kesempatan dan membuat tafsiran sendiri tentang konsep Malaysia Baharu - yang sebelum ini tidak boleh, sekarang boleh, termasuk segala tuntutan nafsu yang keterlaluan dibenarkan atau boleh dilihat sahaja?

Bagi saya menegur tidak sama dengan menghina dan bila menegur janganlah menghina. Dan jangan sesekali meminggirkan mana-mana golongan, termasuk memandang rendah atau serong. Kita bukan hendak membilang dosa dan pahala orang lain.

Tetapi terlalu bertolak ansur juga, seolah-olah memberi ruang dan ruang itu menjadi bertambah besar pula dari sehari ke sehari. Diambil kesempatan secara terang-terangan menunjukkan perbuatan songsang itu, seolah-olah negara ini sudah tidak menolak lagi apa-apa perbuatan LGBT yang dilarang Islam itu.

Sedar atau tidak, sekarang ini pun pembela golongan ini sudah cukup ramai, bukan saja dalam kalangan LGBT sendiri. Yang perempuan dan lelaki tulen pun mempertahankan mereka. Perlu ditekankan di sini bahawa yang ditolak adalah perbuatan atau amalan LGBT, bukan kita membenci atau memandang rendah seseorang itu. Itu yang sering disalah erti.

Sikit-sikit apabila ditegur di laman sosial, akan ­keluarlah ayat-ayat seperti - ‘Jadilah diri sendiri, kenapa hendak jadi orang lain?’ Memanglah, sesiapa pun tidak menghalang menjadi dirinya sendiri, tak akan hendak menjadi orang lain pula, tetapi diri sendiri yang macam mana? Itu yang menjadi persoalannya.

Janganlah, emosional tidak tentu hala, seolah-olah yang menegur itu mahu membuka aib atau menghina. Dan yang netizen pula, mentang-mentanglah yang ditegur itu kawannya atau orang yang diminati, yang tidak betul, semua pun nampak betul.

Bila bercakap pasal larangan agama pula, pem­bela LGBT ini akan menampakkan golongan ini lebih mulia, contohnya - yang solat tak tinggal pun buat dosa juga, jadi perogol, kaki rasuah, pukul isteri dan macam-macam lagi untuk membandingkan apalah sangat dengan dosa LGBT mereka jika hendak dibandingkan dengan orang lain. Memang macam-macam mereka punya ‘pusing’ untuk ‘menghalalkan’ perbuatan LGBT ini.

Dan semua orang pun sedar, golongan LGBT di negara ini sudah ada kumpulan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang membela perbuatan mereka. Ini sudah memberi gambaran amat jelas bahawa negara ini sudah ada ramai LGBT. Yalah, kalau tak ramai, macam mana boleh timbul segala gerakan ini?

Ya, sekarang ini, kita sudah biasa melihat gelagat mereka. Mereka juga sama seperti kita, tidak dipinggirkan. Diskriminasi? Adakah? Mereka bebas ke mana-mana, mendapat hak yang sama dalam pendidikan, rawatan dan perubatan, hak mengundi, bekerja, berniaga, bersuara dan segala macam hak. Jadi kita pun tidak faham apabila ada pihak yang merasakan hak golongan ini masih di­sekat. Rasanya, hak membenarkan perkahwinan sesama mereka sahaja yang belum dapat lagi. Tepuk dahi!