Setiap umat Islam yang ber­iman pasti tersemat dalam hati mereka keinginan untuk menunaikan haji walaupun hanya sekali seumur hidup kerana haji adalah pelengkap dalam Rukun Islam setelah ucapan syahadah, solat fardu lima waktu, berpuasa dalam bulan Ramadan dan menunaikan zakat.

Bagi masyarakat zaman dahulu, soal kewangan mungkin kekangan paling besar dalam menuju impian menunaikan haji selain masalah kesihatan memandangkan rata-rata mereka hanya beroleh kesempatan untuk ke Mekah pada usia senja.

Bagi masyarakat sekarang yang soal kewangan bukan lagi perkara utama, kekangan datang dalam bentuk lain termasuk soal kuota atau giliran yang perlu dipatuhi.

Selain itu, ada juga yang hala­ngannya datang daripada diri sendiri iaitu kegusaran jika menerima ‘pembalasan tunai’ atas dosa-dosa lalu seperti yang sering diceritakan orang menyebabkan perasaan berasa belum bersedia untuk menjejakkan kaki ke Bai­tullah.

Namun, harus diingat, bersedia atau tidak, sampai giliran atau belum, apabila sudah ‘dijemput’ Allah untuk menunaikan haji, maka beruntunglah mereka yang terpilih menjadi tetamu-Nya.

Ini kerana ibadah haji adalah satu pengembaraan rohani yang sangat luar biasa yang boleh disimbolkan sebagai perjalanan menuju kepada Allah. Setiap daripada kita datang dengan dosa yang banyak mengharapkan agar Allah mengampunkan dosa-dosa berkenaan.

Besarnya hikmah haji sehingga Rasulullah pernah bersabda: “Barangsiapa haji dan dia tidak berbuat fasik, maka dia kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Uniknya, haji merangkumi semua Rukun Islam dengan solat adalah ‘acara’ utama yang dilakukan oleh para jemaah.

Boleh dikatakan paling banyak solat dilakukan oleh seseorang adalah ketika dia mengerjakan haji di Mekah iaitu solat fardu lima waktu ditambah solat-solat sunat serta qiamullail.

Haji juga mengajar umat Islam berzakat dan di Mekah adalah perkara biasa apabila melihat jemaah berebut untuk bersedekah dan menjamu orang makan kerana pahala yang dijanjikan adalah berlipat kali ganda banyaknya.

Unsur puasa juga terdapat dalam haji apabila perlakuan yang tidak baik amat kita jaga dan sebab itu dalam kursus mingguan dan Kursus Perdana Haji anjuran Lembaga Tabung Haji, jemaah diingatkan supaya bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu-Nya dalam zaman serba mudah ini tanpa melalui perjalanan yang lelah dan meletihkan.

Allah memilih kita untuk ke Madinah dan Mekah melihat Kaabah dan mengerjakan ha­ji sebagai menzahirkan puncak ubudiah kepada Tuhan dengan meninggalkan segala kemewahan dan hidup dalam keada­an kurang selesa sementara mulut sentiasa melaungkan talbiah.

Dalam semua ibadat yang dilakukan umat Islam, tiada yang melaungkan talbiah ‘hamba datang kepada-Mu’ kecuali haji yang bermaksud apabila Allah ‘mengajak’ kita datang ke Mekah, maka segala aset dan kemewahan kami tinggalkan kerana-Mu.

Justeru, amat penting sumber halal digunakan untuk ke Mekah kerana dengan segala pengabdian dan ibadat yang dilakukan, maka insya-Allah ibadat haji kita akan diterima Allah.

Bagi umat Islam, pelaksa­naan haji mengandungi banyak manfaat untuk dilihat termasuk dari aspek duniawi dalam bentuk transaksi bernilai berbilion ringgit bagi pembelian tiket, pe­ngangkutan, penyediaan khemah serta ubat-ubatan bagi jemaah.

Dari segi manfaat untuk akhirat pula, haji dengan umat Islam dari segenap pelosok dunia dan mazhab berlainan berkumpul di Mekah, berupaya meningkatkan ilmu dan pemahaman kita bahawa inilah dunia, berbeza tidak semestinya salah, maka timbullah sifat untuk meraikan orang lain.

Amalan berziarah semasa di Madinah dan Mekah juga me­ngajar bahawa mata rantai sejarah kita dengan sejarah Islam adalah satu.

Berziarah ke Bukit Uhud kita melihat gambaran sejarah Saidina Hamzah bin Abu Mutalib rebah terkena tombak semasa perang sehingga dianggap penghulu bagi orang yang mati syahid.

Jika kita berasa diri hebat, apabila ke Mekah ada insan lain yang lebih hebat, maka diri berasa kerdil di sisi Allah.

Begitu juga jika kita rasa kuat beribadat, pergilah ke Masjidilharam bila-bila waktu pun sentiasa dipenuhi jemaah yang bersolat dan melakukan tawaf, maka insaflah kita.

Justeru, bermuhasabahlah, ca­ri kelemahan diri yang perlu diperbaiki semoga kita menjadi insan yang lebih baik sekembalinya ke tanah air nanti.