Serentak dengan itu Husam Musa kembali kepada gelarannya sebelum ini, ‘Haji Husam’, manakala Wan Abdul Rahim Wan Abdullah lebih awal menukar nama akaun Facebook miliknya kepada Cikgu Wan Rahim.

Kedua-dua mereka dikenali dengan panggilan tersebut sebelum mereka berdua dianugerahkan Darjah Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Haji Husam dan Cikgu Wan Rahim kini orang kuat PAN. Mereka menjelajah ke seluruh negeri untuk menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dan pasti yang bertanya kenapa darjah kebesaran dan gelaran ditarik balik? Sehingga kini tidak ada kenyataan rasmi daripada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri dan Istana Kelantan mengenai perkara tersebut.

Kalau ikut hukum akal pasti ada sesuatu yang amat berat sehingga mengguris perasaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mengakibatkan tindakan berat sedemikian rupa diambil.

Dan kita sebagai rakyat tidak ada hak untuk mempertikaikannya kerana itu adalah hak eksklusif milik baginda.

Namun satu perkara yang menarik ialah bagaimana baginda begitu cermat dalam membuat keputusan tersebut, tidak ada sebarang pemberitahuan atau sidang akhbar dilakukan hanya sekeping surat yang dihantar kepada mereka berdua.

Perkara ini hanya diketahui melalui sidang akhbar yang dilakukan oleh Wan Abdul Rahim manakala Husam memberikan reaksi selepas itu.

Dalam kesamaran itu, nampak gayanya ada pemimpin PAN yang cuba menimbulkan spekulasi kurang enak terhadap tuanku.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, adalah sangat tidak wajar untuk penarikan balik darjah kebesaran ini dipolitikkan oleh mana-mana pihak semata-mata kerana melibatkan orang politik.

“Sebelum ini pun tiga orang bekas Menteri Besar dan seorang bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, iaitu Tan Sri Mohd. Asri Muda, Datuk Ishak Lotfi Omar, Tan Sri Mohamed Yaacob dan Tan Sri Hussein Ahmad, pernah ditarik balik darjah kebesaran mereka oleh Sultan Ismail Petra,” katanya dalam status di laman Facebook hari ini.

Paling mengejutkan Kamarul Zaman bertanya:

“Tidakkah pemimpin PAN Kelantan pernah terfikir bahawa tindakan mereka menjaja Tengku Mohamed Sultan Yahya Petra atas nama beliau sebagai “bapa saudara Yang di-Pertuan Agong” di dalam majlis-majlis politik PAN di Kelantan, sebagai satu contoh, bukanlah satu cubaan untuk mempolitikkan istana dan satu cubaan untuk memberikan persepsi tertentu terhadap Sultan Muhammad V hanya untuk kepentingan politik PAN?”

Pertanyaan ini mempunyai maksud yang mendalam. Apakah itu salah satu sebab darjah kebesaran itu terpaksa dipulang balik? – UTUSAN ONLINE