Ketika layan lagu-lagu lama dan baharu, antaranya Anak (Freddie Aguilar), Gerimis Senja (Alleycats), Suatu Waktu Dahulu (Dwen) dan Potret (Akim & The Majistret) pada tengah malam Rabu lepas, terpandanglah abang hensem dengan satu pose seorang perempuan muda dalam Facebook.

Biasalah friend abang hensem ni pelbagai peringkat umur dari awal 20-an hinggalah ke 50-an.

Apa yang abang hensem nak kongsikan dari pose wa­nita ini ialah ayat tertera di wallnya yang kutuk kaw-kaw rakan sejenisnya dan tak tergamak pula abang hensem paparkan di ruang terhad ini.

Memang sebelum ini abang hensem sudah perasan dah fe’el atau perangai perempuan muda ini. Kalau kutuk orang, dia memang direct. Tapi deep, sampai ke ulu hati. Bukan sahaja kaum sejenisnya, orang lelaki pun dibalunnya.

Namun, bukan ungkapan-ungkapan berbaur kutukan menjadi isu pokok di sini tapi yang menariknya tindakan si pasangan wanita itu yang akan sentiasa like setiap kali kutukan itu dipose.

Pada awalnya dulu, abang hensem sangkakan pasangannya sudah kena queen control. Mungkin benar telahan ini. Tapi setelah masuk berbelas-belas kali pose nada kutukan serupa dan si pasanganlah orang pertama yang like, dituruti rakan-rakan facebooknya dan wanita itu, abang hensem rasalah, bahkan amat percaya dia cukup sayang dan obses kepada pasangannya.

Bagi abang hensem, menjadi tanggungjawab lelaki jaga tingkah laku pasangannya dalam laman sosial. Laman sosial seperti Facebook dan Instagram ibarat hidup berumahtangga jugalah.

Sesiapa pun hari ini mempunyai Facebook. Sudah jadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan. Dan ‘lebih-lebih lagi’ pujian terhadap kecantikannya. Maka semakin ramai orang perempuan memuatkan gambar mereka. Jarak dekatlah, sangat dekatlah sehingga penuh ruang kotak gambar. Sama ada beramai-ramai atau seorang diri, dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Cuma agak pelik kerana sebahagian mereka yang sudah ada pasangan (suamilah) kelihatan pula beri sepenuh keredaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak. Tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin pula tu. Lebih bahaya lagi, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya berikan pujian. Malah ada yang berani bergurau senda dan membuat ‘lamaran nafsu’.

Mana-mana perempuan yang dikurniakan-Nya ‘rupa’ elok dan menawan, ‘berwaspadalah’. Simpan sahajalah gambar-gambar ‘kiut’ (cute) anda tu. Jangan tamakkan pujian manusia luar.

Hakikatnya bila abang hensem utarakan fe’el pasal wanita muda di awal tadi, pasti orang perempuan akan kata ‘ah! Abang hensem ni dua kali lima juga’. Suka skodeng juga. Tapi dik, minta maaflah abang hensem nak cakap, abang hensem ni masih ada batas sempadan. Masih ada maruah diri. Abang hensem tak suka bagi hint yang untuk ‘cuba-cuba’, kalau suka, cakap saja.

Apa yang abang hensem pesankan tadi hanyalah untuk renungan kita semua termasuklah diri sendiri. Sejak Facebook, Instagram dan WhatsApp berleluasa, banyak terjadi kes pergolakan rumahtangga. Antaranya akibat reunion dengan kes-kes seumpama ini menunjukkan peningkatan saban tahun sejak 2014.

Yang tambah harunya kerana penangan reunion atau pertemuan semula rakan-rakan lama sekolah dan universiti selepas tidak bersua muka selama 15, 20 tahun.

Itu belum masuk lagi kisah hubungan terlarang meng­akibatkan kebanyakan rumahtangga yang dibina porak-pe­randa.

Suka jugalah abang hensem petik ingatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun ini. Eh! ini real tau, hasil kajian yang diperoleh kementerian YB Azizah.

Kata beliau, kebanyakan perkahwinan kali pertama yang berakhir dengan perceraian atau perpisahan adalah dalam tempoh lima tahun dan ke bawah.

Sebanyak 48,077 kes perceraian melibatkan pasangan beragama Islam direkodkan sejak Januari hingga 10 Julai 2016, termasuklah puncanya gara-gara isteri curang.

Tapi rilekslah bro! Abang hensem masih percaya anda semua masih boleh kawal pasangan anda, terutama di laman sosial.

Kita ambil yang mudah-mudah sahaja. Kalau ikut kebiasaannya, nak handle orang perempuan ini ikut ‘hukum alam’ mereka.

Perempuan ini menjadi kuat marah, kuat melenting semasa pre-period. Dan masa pre-period ini juga, nafsu makan mereka menjadi melampau-lampau. Kemudian, masa period pula adalah masa mereka mudah terasa dan sedih.

Kalau si dia menjadi extra clingy, extra jealous, extra lapar semasa dia sedang period, layankan sahaja. Bukan susah mana pun. Perempuan semasa period, tak payah­lah lelaki nak ikut mudah terasa dia, mudah marah dia. Dia jadi api, yang lelaki jadilah air. Make it simple.