Isteri adalah amanah kepada suami. Sejurus ijab kabul, maka segala tanggungjawab yang dipikul oleh wali sebelum itu berpindah kepada suami. Pendek kata, suamilah tempat isteri bergantung harap terutama dalam bab ilmu agama bagi membimbing isteri dan anak-anak mencapai bahagia dunia dan syurga Allah di akhirat.

Memukul isteri dibenarkan oleh Islam bagi tujuan me­ngajar. Ini dikhaskan kepada isteri yang nusyuz atau derhaka. Nusyuz itu pula apabila mereka mengingkari perintah suami dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan syarak.

Contohnya, enggan solat walaupun telah dinasihatkan berulang-kali atau keluar rumah tanpa izin suami. Malangnya, dalam masyarakat kita, kes-kes memukul isteri ini selalunya bukan sebab perlanggaran hukum Allah sebaliknya kerana pertengkaran dan perselisihan faham.

Keharusan memukul isteri itu datang dengan syarat yang perlu dipatuhi. Sebenarnya, ini adalah jalan terakhir setelah segala proses mendidik, memujuk dan menasihat gagal. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan perempuan-perempuan Yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar.” (al-Nisa’: 34)

Jelas daripada ayat tersebut langkah pertama yang perlu diambil oleh suami apabila didapati isterinya nusyuz adalah:

1. Menasihati dengan sepenuh daya dan usaha dan jika masih berdegil maka hendaklah...,

2. Pulaukan di tempat tidur dan jika masih berdegil maka,

3. Yang terakhir barulah dipukul. Itu pun dengan pukulan yang ringan bertujuan memberi pengajaran.

Demikian yang diajar dalam Islam yang memang menitikberatkan soal pencegahan dan pengubatan. Islam meletakkan kaedah memukul isteri itu pada kaedah yang terakhir setelah tidak ada jalan lagi untuk menyelesaikan segala konflik yang berlaku dalam rumah tangga.

Waima situasi itu pun, Islam masih menyarankan agar dipukul dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut supaya tidak menyakitkan si isteri. Ini kerana tujuan pukulan itu adalah untuk memberi kesedaran.

Dalam keharusan memukul isteri, suami dilarang memukul pada wajah dan tidak boleh memukul sehingga me­nimbulkan bekas atau membahayakan isteri. Isteri yang kita nikahi atas dasar suka sama suka dan cinta mencintai itu bukanlah punching bag untuk kita lepaskan kemarahan.

Resmi hidup berumahtangga, akan berlaku salah faham. Namun, kita perlulah bijak mencari jalan penyelesaian de­ngan baik melalui komunikasi dua hala yang berkesan de­ngan isteri. Jangan lupa, masing-masing ada kelemahan tetapi hendaklah melihat kepada persamaan yang ada pada suami isteri. Suami isteri itu sifatnya adalah saling melengkapi. Dengan cara itu, kehidupan berumah tangga akan bahagia dan kekal hingga ke syurga, insya-Allah.

Hargailah isteri kerana merekalah tempat menumpang kasih sayang. Mereka jugalah insan yang melahirkan zuriat yang sanggup bersama-sama suami dalam waktu susah dan senang. Adapun suami yang menjadi idaman adalah mereka yang boleh membimbing isteri dan anak-anak ke jalan kebaikan, Barulah rumah tangga bahagia dikelilingi anak-anak yang soleh sehingga digelar ‘rumahku syurgaku’.

Jika takdirnya tiada lagi jodoh, jangan dipukul atau dicederakan isteri. Sebaliknya pulangkan mereka de­ngan baik sebagaimana mula-mula menyunting mereka sebagai suri hati dahulu. Ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesempurna iman orang mukmin ialah yang paling baik kelakuannya, dan yang paling lembut terhadap isterinya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)