Sejak mula bertugas di Pahang pada Oktober 2011, penulis dapat melihat sendiri keperibadian Sultan Ahmad Shah yang setiap kali bertemu rakyat mengetepikan darjat dan protokol sebagai seorang yang berdarah raja.

Almarhum pasti menyapa dan bertanyakan sesuatu, sekali gus membuatkan mereka berasa selesa dengan baginda.

Begitu juga jika berlakunya bencana seperti banjir, Sultan Ahmad Shah merupakan antara orang terawal 'menyinsing seluar' mencemar duli melawat daerah-daerah terjejas untuk menghulurkan bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.

Almarhum akan segera mencemar duli melawat daerah-daerah yang terjejas akibat bencana untuk menghulur bantuan dan berkongsi derita serta keluh kesah dengan rakyat.

Bagi Sultan Ahmad Shah, rakyat adalah keutamaannya dan baginda yang lebih mesra membahasakan dirinya ‘saya’ juga sentiasa memantau pembangunan di Pahang dan tidak teragak-agak untuk menegur pihak yang terlibat jika mendapati sesuatu projek itu boleh membawa mudarat kepada rakyat.

SULTAN AHMAD SHAH meluangkan masa melawat murid-murid Sekolah
SULTAN AHMAD SHAH meluangkan masa melawat murid-murid Sekolah Kebangsaan Sungai Isap yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan akibat terkena semburan racun serangga di sekolah mereka pada 2008. UTUSAN/RUSHDI
SALLEH

Ini terbukti apabila baginda menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram untuk tujuan pertanian di Cameron Highlands pada November 2014.

Begitu juga semasa kejadian tanah runtuh di Kilometer 52.4, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) pada November 2015.

Biarpun pada waktu itu, Sultan Ahmad Shah dalam keadaan keuzuran, baginda tetap turun padang melihat sendiri keadaan dan mengarahkan penyelesaian dicari bagi mengelakkan masalah yang sama berulang.

Dalam kalangan pengamal media pula, Almarhum disayangi dan disenangi kerana sifat mesra Sultan Ahmad Shah yang tidak keberatan untuk ditemubual setiap kali ditemui pada majlis-majlis dihadiri baginda.

Sekiranya didekati oleh pengamal media, Sultan Ahmad Shah pasti bertanya, "Ha, aok (awak) nak apa? Nak tanya apa?"

Setiap kali ditanyakan soalan, Almarhum tersenyum dengan soalan yang ditanyakan jika ia membabitkan isu-isu tertentu terutama tentang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mana ketika itu Sultan Ahmad Shah merupakan Presiden badan induk bola sepak negara berkenaan.

Kerjasama diberikan baginda membuatkan pengamal media menghormati dan senang dengan pendekatan Almarhum.

'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' itulah ungkapan yang sering diucapkan menjadi pegangan Almarhum sehingga baginda mula jarang kelihatan di khalayak kerana gering sebelum menyerahkan jawatan ketua negeri untuk dipangku oleh anakanda baginda, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 28 Disember 2016.

Sesungguhnya istilah itu, “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” melambangkan keperibadian sebenar Sultan Ahmad Shah.

Ia bukan sekadar istilah semata-mata, sebaliknya terus diterjemahkan oleh Sultan Ahmad Shah setiap kali bersama rakyat.

Rakyat pastinya bersedih dengan kemangkatan baginda yang merupakan seorang raja yang berjiwa rakyat dan banyak berjasa terhadap rakyat dan pembangunan negeri ini.

Sesungguhnya, Almarhum akan terus dikenali sebagai raja yang sangat disegani rakyat kerana keperibadian baginda yang merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat.

Semoga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah SWT serta ditempatkan bersama-sama para syuhada.