Penulis amat bersyukur kerana ditakdirkan bekerja dalam profesion ini. Meskipun tidak dikenali sebagai guru, pensyarah juga adalah seorang guru. Tidak boleh sesekali berkata yang tidak benar. Sebaliknya sentiasa berkata yang benar meskipun pahit untuk ditelan. Pastinya, seorang guru atau pensyarah terus menerus memberi kebaikan kepada anak-anak muridnya demi masa hadapan yang lebih baik. Bukan setakat untuk diri anak-anak muridnya tetapi juga demi bangsa, agama dan negara serta masyarakat dunia.

Dalam hal ini, kita boleh lihat dalam tempoh beberapa hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), banyak pengajaran yang boleh dijadikan sebagai ‘guru’ untuk masa hadapan. Malaysia sememangnya sebuah negara yang cukup baik. Hampir segala-gala­nya ada di sini. Namun, apa yang perlu diperbaiki perlulah dibuat kerana tiada satu pun negara di dunia yang sempurna.

Dalam hal ini, sudah tentulah rakyat inginkan sesuatu perubahan yang benar-benar berubah demi masa hadapan yang lebih baik.

Pada masa sama, kekal menjunjung Perlembagaan yang telah dinukilkan sejak merdeka lagi. Pertahankan Perlembagaan kerana ia membuatkan Malaysia kekal harmoni dan aman damai.

Apa juga penambahbaikan berasaskan perubahan yang ingin dilakukan mestilah berteraskan kebaikan rakyat. Usah sesekali pinggirkan suara rakyat kerana suara rakyat itulah yang wajar didengari meskipun hanya orang bawahan. Rakyat sentiasa inginkan kebaikan. Kebaikan berpa­sakkan agama Islam yang selama ini mendukung Malaysia sebagai sebuah negara yang dikenali di serata dunia. Agama Islam me­ngajar agar melakukan segala kebaikan demi Allah SWT.

Allah mengetahui apa yang berlaku terhadap setiap mahkluk-Nya. Kita tidak boleh sesekali menolak segala takdir-Nya, namun kita juga boleh berusaha untuk mengubah sesuatu yang dahulunya mungkin kekurangan kepada yang lebih baik. PRU-14 mengajar kita supaya menjadi pemimpin yang baik, melunaskan amanah dan tanggungjawab dan bukan­nya untuk kepentingan diri sendiri dan orang terdekat.

Amalan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan yang mendokong amanah yang diberikan oleh rakyat.

Menjadi pemimpin bukan sekadar duduk di kerusi empuk.

Menjadi pemimpin perlu melihat apa yang berlaku di bawah. Mengenal setiap masalah rakyat pada setiap masa dan menyelesaikan masalah mereka sebaik mungkin. Usah hanya membantu pada ketika dekat dengan PRU. Itu tidak sesekali menjadi amalan.

Desakan kehidupan rakyat yang sentiasa menginginkan segala janji ditunaikan demi membantu kelangsungan hidup mereka.

Pada masa sama, usah jadikan rakyat sebagai mangsa dalam pelbagai polemik yang merugikan rakyat. Tanpa rakyat siapalah pemimpin.

Malah, tanggungjawab pe­mimpin amat besar dari segi agama Islam. Kita mem­bicarakan bagaimana penghayatan menjadi pemimpin seperti Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalifah Umar Abdul Aziz yang sentiasa mengutamakan rakyat. Amanah yang dipikul oleh mereka dilunaskan dengan cukup berhati-hati dan menyentuh perasaan orang yang dipimpin. Jadikan mereka sebagai contoh selain pemimpin terulung dan teragung di dunia, Rasulullah SAW.

Setiap inci permasalahan orang bawahan sentiasa dikupas dan diteliti tanpa memikirkan kepentingan diri sendiri.

Jauh sekali mengutamakan orang terdekat yang sentiasa me­nunggu masa untuk mendapat habuan masing-masing.

Letakkan sesuatu pada tempat yang betul. Yang perlu, dibantu sebaik mungkin. Tidak kiralah di mana mereka berada, selagi mereka di bawah amanah kita, itulah tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Dengan kebijaksanaan memimpin, rambut dapat ditarik, tepung pula berada pada keadaan sedia kala.

Inilah yang sedang diperhatikan rakyat. Tidak kiralah mereka berada di mana sekalipun. Rakyat bukan menantikan keajaiban tetapi masa hadapan yang baik demi membela nasib mereka.

Tidak hanya segelintir golo­ngan sahaja yang mendapat laba sehingga meminggirkan suara me­reka terbanyak selama ini.

Kelemahan lalu tidak boleh dipandang mudah kerana itu boleh membarah sehingga rakyat berasakan mereka dipinggirkan.

Apa yang akan terjadi pada masa akan datang banyak bergantung kepada usaha untuk membentuk sebuah masyarakat yang benar-benar sejahtera secara keseluruhannya.

Tanggungjawab ini dipikul oleh segenap lapisan pemimpin yang telah dipilih dan akan di­pilih. Pada masa sama, sentia­sa mendengar rintihan mahupun suara rakyat yang pastinya akan sentiasa inginkan kebaikan pada masa mendatang.

Genap dua minggu PRU-14 berakhir. Apa yang berlaku sudah berlalu. Pemimpin dan rakyat perlu bergerak pantas. Sama-samalah kita berganding bahu demi kebaikan bersama. PRU-14, guru buat kita semua. Guru pula pencetus kebaikan dan kebenaran. Ambillah iktibar, buangkan kemudaratan dan kecapilah kebaikan.

Semoga bulan Ramadan ini menyatukan kita semua sebagai umat Islam yang kuat. Selamat berpuasa.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).