Satu perkara yang amat menarik mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 (pru-14) tempoh hari adalah mengenai nilai murni yang sangat ketara dapat dilihat dalam kalangan pengundi di negara ini.

Keluhan dalam media sosial bahawa mereka terpaksa beratur panjang lebih satu atau dua jam sebenarnya membuktikan bahawa; pertama, kebanyakan pengundi mahu menunaikan tanggungjawab mereka dalam memilih calon yang layak untuk mewakili mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri; kedua, mereka mempunyai kesabaran yang tinggi untuk menunaikan tanggungjawab tersebut; dan ketiga, mereka menzahirkan semangat patriotisme untuk melihat negara terus berada pada hala tuju yang betul melalui proses demokrasi.

Banyak perkongsian yang menyentuh perasaan juga dapat dilihat melalui media sosial yang kini menjadi saluran komunikasi terpenting dalam kalangan rakyat di negara ini.

Kita tersentuh apabila melihat warga emas dibantu oleh golongan muda untuk sama-sama ke pusat pengundian. Kita terharu apabila mendengar kisah orang kurang upaya yang dimudahkan urusan mereka oleh pihak yang mengendalikan pusat mengundi dan pertolongan daripada orang ramai yang berada di tempat yang sama. Kita merasa bangga apabila melihat rakyat berbilang bangsa bersama-sama meraikan calon yang berjaya memikul amanah untuk memajukan negara yang amat kita cintai ini.

Nilai murni yang dapat kita lihat ini bukanlah satu lakonan. Ini adalah hasil daripada didikan berterusan yang diperoleh daripada ibu bapa, guru dan masyarakat melalui sistem pendidikan formal dan diperkukuh melalui interaksi dengan komuniti.

Statistik pengundi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun ini menunjukkan bahawa 7.09 juta pengundi daripada 14,806,185 pengundi berdaftar adalah pengundi muda berusia 21 hingga 39 tahun, iaitu sebanyak 47.8%, manakala mereka yang berusia antara 40 hingga 49 tahun adalah seramai 3.01 juta atau 20.3%. Ini bermakna bahawa lebih 68.1% pengundi di bawah 50 tahun adalah anak-anak pasca merdeka yang mengikuti pendidikan formal selepas Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan (Laporan Kabinet) ditubuhkan pada 1974, yang memberi penekanan kepada perpaduan negara untuk membangunkan bangsa dan negara.

Usaha berterusan untuk memupuk semangat cintakan negara dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat negara ini menjadi teras kepada pendidikan negara, dan asas kepada penyampaian sistem pendidikan ini adalah guru yang berkhidmat di seluruh pelosok negara. Institusi keguruan adalah paksi kepada pelaksanaan sebarang dasar pendidikan yang dibangunkan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) mendokong usaha berterusan bagi memperkembangkan potensi individu secara holistik berasaskan kepatuhan kepada Tuhan, justeru guru memainkan peranan yang sangat signifikan bagi memastikan insan yang sejahtera ini dapat dibangunkan. Seringkali diulang sajak Datuk Usman Awang, Guru oh Guru terutama ketika sambutan Hari Guru menjelang 16 Mei setiap tahun, seolah-olah satu ingatan bahawa jasa guru jangan dilupakan.

Zaman sudah banyak berubah. Kalau dahulu di awal merdeka, guru menjadi sumber ilmu semata-mata. Ungkapan ‘pergi ke sekolah untuk menimba ilmu’ memang sangat relevan ketika itu, kerana gurulah orangnya yang mencurahkan ilmu kepada anak-anak yang dahagakan pengetahuan demi masa hadapan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Namun sekarang, ilmu berada di hujung jari melalui telefon pintar khususnya, yang menghubungkan anak-anak masa kini dengan seluruh dunia. Tidak keterlaluan jika dikatakan dari segi pemerolehan maklumat, anak-anak kita mungkin mempunyai maklumat yang lebih dalam pelbagai bidang berbanding dengan guru mahupun ibu bapa sendiri.

Walau bagaimanapun, dari segi ilmu, iaitu penghayatan dan kefahaman terhadap sesuatu pengetahuan, anak-anak kita mungkin belum mampu untuk memahami, menghayati ataupun membentuk kemahiran dan nilai berdasarkan pengetahuan tersebut tanpa bimbingan seorang insan bergelar guru.

Proses pengajaran dan pembelajaran juga telah banyak melalui transformasi. Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 yang telah masuk tahun keenam pelaksanaannya, Anjakan 4 iaitu Mentransformasi Profesion Keguruan Menjadi Profesion Pilihan telah direalisasi melalui pelbagai inisiatif termasuk peningkatan kualiti dan kemahiran guru.

Bagi memastikan para guru bersedia untuk menghadapi cabaran kepesatan teknologi era Revolusi Industri Keempat (4IR), guru diberi latihan secara berterusan menerusi pelbagai mod, sama ada bersemuka mahupun secara atas talian. Usaha ini sebenarnya selaras dengan FPK yang menganjurkan usaha berterusan untuk membangunkan potensi individu, tidak kira mereka golongan guru, mahupun murid ataupun masyarakat umum.

Sempena Hari Guru pada 16 Mei ini, jasa mereka akan terus dikenang sebagai pembina generasi masa hadapan negara. Tidak kira di mana mereka berada, bait-bait sajak Sasterawan Negara Usman Awang yang dinukilkan pada 1979 akan terus relevan hingga akhir zaman.

Jadilah apa pun akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan didulangi ilmu

Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat

Selamat Hari Guru 2018!