Setiap daripada kita pasti mendapat pelbagai nasihat daripada guru dan bekas guru masing-masing. Tiada guru yang tidak mahu anak muridnya berjaya dan berakhlak mulia. Guru yang baik tidak mungkin mengajar anak-anak muridnya melakukan kemungkaran. Malah, mereka akan berasa bersalah jika tidak mampu mengubah sikap anak-anak muridnya ke arah yang lebih baik.

Inilah tanggungjawab sebenar seorang guru bukan setakat mengajar untuk memiliki sesuatu kemahiran tetapi juga menggunakan kemahiran tersebut de­ngan akhlak yang mulia. Bayangkan jika akhlak mulia ini tidak diajar kepada anak-anak murid, maka akan berlakulah kesilapan dan kesalahan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa sahaja.

Malah tidak keterlaluan, gurulah yang sentiasa mengubah dunia ini agar sentiasa aman, makmur dan sejahtera. Kebetulan pula, penulis baharu sahaja selesai membaca buku yang bertajuk, Syarikat Yang Mengubah Dunia, hasil tulisan Jonathan Mantle.

Buku ini memaparkan kisah 50 syarikat terkemuka dunia yang mengubah dunia. Tidak ada syarikat yang ber­asal dari Malaysia berada dalam senarai 50 syarikat tersebut. Apa yang pasti syarikat-syarikat Malaysia telah berada di luar negara dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

Meskipun boleh didebatkan mengenai pemilihan 50 syarikat tersebut kerana banyak lagi syarikat yang hebat-hebat belaka telah wujud sejak dahulu lagi sehingga kini, namun hakikatnya 50 syarikat tersebut tetap hebat dan sedikit sebanyak telah mengubah dunia dengan membentuk tingkah laku manusia. Begitu juga, bagaimana syarikat-syarikat ini mampu berdikari sehingga produk-produk yang dijual berada di serata dunia. Dengan kata lain, memasyarakatkan produk-produk mereka sehingga menjadi produk kehidupan harian manusia.

Namun, di sebalik kejayaan syarikat-syarikat ini yang diketuai oleh pengasas masing-masing, penulis amat ya­kin gurulah yang berada di belakang tabir kecemerlangan mereka. Sama ada mereka itu diajar secara formal atau tidak formal oleh mana-mana guru, pastinya kejayaan tidak datang bergolek tanpa sokongan dan dorongan seorang guru. Dengan kata mudah, gurulah sebenarnya yang mengubah mereka menjadi pengasas kepada syarikat yang mampu mengubah dunia.

Bagi guru yang mengajar secara formal, pendidikan melalui sekolah diberikan kepada kita manakala pendidikan yang tidak formal boleh berlaku di mana-mana jua sehingga seseorang itu menjadi pakar dan hebat. Pendidikan formal itu boleh diteruskan sehingga ke peringkat menara gading. Ketika ini, meskipun diajar oleh pendidik yang bergelar pensyarah, namun hakikatnya, mereka ini tetap seorang guru. Bagi peringkat yang lebih tinggi sehingga ke ijazah kedoktoran, seseorang itu tetap diajar oleh seorang guru tentang selok-belok menjalankan penyelidikan.

Maka, lahirlah golongan pakar dan penyelidik di serata dunia yang juga menabur bakti menjadi guru kepada orang lain sehingga lahirlah begitu ramai pakar dan penyelidik yang ‘beranak-pinak’ di seluruh dunia. Tidakkah ini cukup menggambarkan bahawa guru berkeupayaan mengubah dunia.

Sebab itulah apabila ada pihak yang hanya belajar melalui pembacaan semata-mata tanpa berguru dengan pihak yang memiliki kepakaran, maka dibimbangi ilmu itu tidak difahami sebetulnya. Tidak mustahil berlaku kesilapan sehingga boleh memudaratkan masyarakat. Misalnya, seseorang itu membuat tafsiran sendiri melibatkan hukum agama sedangkan dia tidak cukup mahir dalam bidang agama berkaitan. Maka, boleh membawa kepada ajaran sesat yang memudaratkan masyarakat.

Malang sekali, ramai yang berlagak mahir dan pakar meskipun ilmu tidak seberapa. Dalam hal ini, kita sentiasa diajar sejak dari dahulu lagi agar menghormati orang yang memiliki kelayakan ilmu dan usah menyanggah jika tidak cukup ilmu. Malah, mendalami ilmu bukan setakat beberapa hari menghadiri sesi ilmu sehingga berasakan diri sudah hebat bak bait-bait lagu Amboi, nyanyian Altimet, ‘Tujuh kali pergi usrah sudah pandai tepis fatwa’.

Sebab itulah setiap daripada kita memerlukan guru untuk menasihati apa yang wajar dan menegur apa yang sepatutnya. Sebagai manusia kita tidak boleh lari daripada kesilapan meskipun berada di puncak kehebatan. Maka, di sinilah peranan guru yang tidak pernah mengharapkan sebarang balasan meskipun sedikit cuma. Mereka ini tidak pernah mengeluh akan beban kerja yang dimiliki.

Tanggungjawab mereka untuk mendidik anak murid tanpa memilih warna kulit hanya semata-mata untuk melihat anak murid berjaya kelak. Ini mengingatkan lagi kata-kata seorang guru semasa di SDAR, ‘Guru itu um­pama lilin yang membakar diri semata-mata untuk me­nerangi kehidupan orang lain’.

Mungkin ketika itu, penulis kurang faham akan maksud kata-kata guru tersebut yang cukup dihormati penulis, namun setelah bergelar guru kepada pelajar dewasa, baharulah pengertian itu difahami bahawa menjadi guru demi menabur bakti kepada masa depan sesebuah masyarakat.

Seseorang guru yang hebat bukan sekadar menjadi lilin tetapi juga mampu mengubah dunia demi kesejahteraan masa hadapan generasi masa akan datang. Selamat Hari Guru!

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).