Di kota saya membesar, Kuantan, pasukan bola Gurkha yang terdiri daripada askar-askar Gurkha sering bermain dengan pasukan bola setempat. Mereka beriras Mongol dan bukan India, agak kecil bangun badannya. Di padang, mereka bergerak laju, mempamerkan stamina yang banyak. Mereka beramai-ramai mendarat dari kapal perang British yang berlabuh jauh dari pantai. Selepas bermain, mereka pulang semula ke kapal. Itu satu kebiasaan kerana mereka bertugas dengan tentera British. Tidak lama kemudian mereka berkhemah di daratan seperti askar-askar Afrika dari Kenya, Nigeria dan Uganda yang bernaung dalam empayar British, sebagai satu angkatan penentang gerakan komunis di bawah panji-panji British. Askar Melayu walaupun sentiasa dalam sanjungan, namun mereka bertugas di tempat-tempat lain dari Kuantan.

Bekas pemimpin Uganda, Idi Amin, dikatakan berkhemah di Gua Musang, Kelantan sebagai seorang Sarjan. Beliau tidak lekang bertanya orang Malaysia tentang Gua Musang ketika menjadi Presiden Uganda.

50 kilometer dari Kuantan terdapat kota lombong bijih, Sungai Lembing, yang begitu banyak menyumbang hasil kepada pemodal-pemodal British sejak abad ke-19. Di sisinya mengalir hulu Sungai Kuantan. Terdapat Kampung Kuala Kenau dekat Sungai Lembing.

Pada tahun 1952, saya dipesan agar tidak melalui dekat Balai Polis Kuantan untuk ke Abdullah School. Pesan itu hambar sahaja kerana ternyata sekali orang begitu ramai di situ yang ingin menjenguk mayat Manap Jepun, seorang komunis Melayu yang ditembak mati oleh pasukan Gurkha ketika berjalan naik dari sungai di Kuala Kenau. Legenda Manap ialah dia berilmu ghaib dan tidak lut ditembak jika kakinya berpijak di tanah. Manap dikatakan naik dari sungai dan melangkah anak tangga. Terpisahlah dia dari bumi. Itulah masanya askar Gurkha menembaknya. Tumbanglah dia. Dari cakap-cakap yang didengar, wajah Manap adalah seperti Jepun, justeru digelar Manap Jepun sedangkan matanya juling air. Adalah menjadi rahsia terbuka bahawa kebanyakan komunis Melayu datangnya dari Pahang.

Manifestasi kehadiran pengganas komunis yang banyak ialah kerapnya estet—estet di sekeliling Kuantan terbakar, asap berkepul-kepul mencecah awan.

Mesin penting melawan komunis ialah helikopter. Buat pertama kali helikopter British kelihatan di udara Kuantan ialah pada 1953. Tiga buah helikopter berpangkalan di tengah-tengah tanah lapang Kuantan, kira-kira setengah kilometer dari pusat bandar. Kedua-duanya sentiasa terbang ke sana sini membawa askar untuk beraksi ataupun membawa mayat atau mereka yang cedera ke hospital.

Banyak lagi kisah Gurkha yang setia. Itu sebabnya ramai dipanggil Gurkha dalam politik semata-mata mereka kaki pukul yang setia .

Ketika di Nepal, saya berkenalan dengan seorang pengurus kelab golf yang masa kecilnya mengikuti bapanya bertugas di Johor Bahru dan Seremban. Seorang isteri yang menjalankan bisnes hotel di tanah tinggi Nepal, bernama Sita Devi, berkata dia pernah tinggal di Sentul, Kuala Lumpur berhadapan padang golf. Kem mendiang bapanya ialah di Jalan Ipoh. Suami Devi pernah menjadi pegawai daerah (DO) di sebuah jajahan Nepal. Itu sebabnya mereka mendapat tanah untuk membuat hotel tersebut. Kedua-dua pengurus kelab golf dan Sita Devi amat rindukan Malaysia tetapi ketika itu kerinduan mereka tidak kecapaian.

Walaupun Gurkha banyak menyumbang dalam pemadaman gerakan komunis di sini, namun Nepal sendiri sekian lama diancam oleh gerakan Maoisme, iaitu komunis ala Mao Tse Tung. Kuatnya gerakan komunis di sana hingga ia berjaya menubuhkan kerajaan campuran.

Dari situ Nepal terpaksa bertukar menjadi republik atas desakan Maoisme dan berakhirlah pemerintahan beraja pada 2008 selepas wujud 240 tahun. Begitulah kesetiaan Gurkha. Ia setia kepada British meranapkan komunis di Malaya. Di bumi sendiri ia setia memperkasakan komunis.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.