Abang hensem perhatikan, dalam berinteraksi hari ini, orang muda suka berterus-terang. Bahasanya direct, mudah dan agak tiada kata-kata kiasan.

Kalau muncul bahasa kiasan tu, ada yang sampai goo­gle mencari-cari maksudnya. Abang hensem sentuh bahasa kiasan ini sebab merasakan rugi besar kalau bahasa kiasan yang indah bunga bahasanya ini lenyap ditelan zaman.

Kalau diikutkan, bahasa kiasan ini ada jenisnya dalam bahasa Melayu. Apa yang abang hensem belajar dulu-dulu ada metaforanya, hiperbola, simpulan bahasa, pepatah, perumpamaan dan bidalan (ha! jangan tercengang pulak, terer kan).

Dengan kata lain, bahasa kiasan ini suatu ungkapan makna tersirat yang melatarinya - ‘sifat terus terang tanpa maksud lain yang terselindung’. Kalau digunakan dengan niat yang betul, akan diterimalah hujah jujur itu.

Antara kata-kata hikmah yang pernah menarik perhatian abang hensem lama sejak dulu adalah ‘Rom tidak dibina dalam sehari’. Waktu itu, puaslah abang hensem ‘selidikinya’. Apa pulaklah Rom yang jauhnya beribu-ribu kilometer dari negara tumpah darah abang hensem dikaitkan dengan macam-macam fiil dan kerenah manusia sampai ke hari ini.

Seperti kata pujangga keramat ini, Rom kuasa besar yang terbentang luas dari England ke benua Eropah, Afrika Utara hingga ke Asia Barat, bermula dengan bandar kecil di Itali kira-kira 753 Sebelum Masihi. Tamadun Rom terkenal dengan kejuruteraan senibina yang sungguh menakjubkan dan banyak memberi sumber inspirasi kepada kejuruteraan moden masa kini.

Pembinaan Akuaduks, struktur yang mengalirkan air dari sumber seperti gunung - bukti bahawa Rom seperti kehidupan moden kini yang mementingkan sistem peng­airan air yang bersih untuk kegunaan harian penduduk.

Juga Empayar Rom mempamerkan struktur kubah pada bangunan Pantheon yang dibina dalam bukaan kira-kira 150 kaki tanpa sokongan sebatang tiang. Dan antara monumen yang paling biasa menggambarkan kejayaan kejuruteraan Rom ini adalah Colosseum - gelanggang yang boleh menempatkan kira-kira 70,000 penonton untuk menonton perlawanan yang tiada pada waktu ini iaitu pembunuhan.

Idea pembinaan Colosseum ini berasal daripada gabungan dua Amphitheatre (gabungan dua pentas bagi pementasan teater yang berbentuk separa bulat).

Rupa-rupanya kata kiasan ‘Rom tidak dibina dalam sehari ini’ awesome maksudnya - dalam kita membina kejayaan bukan datang dalam masa sekelip mata. Kita perlu sabar dan berusaha bersungguh-sungguh mengatur kejayaan dalam genggaman.

Ini bermakna, mencipta sebuah tamadun yang kompleks atau sebuah negara yang berdaya tahan maju memerlukan masa yang bukan sekejap untuk direalisasikan. Untuk menjadikan ia sebuah bangsa dan budaya yang naik - seiring dengan kotanya - masa yang diambil bukan sekelip mata. Ia menyaksikan perit-jerih untuk mendominasi kuasa pemerintahan.

Bertitik tolak dari analogi ini, kejayaan juga bukan adatnya datang bergolek. Perlu ada usaha dan kecekalan kerana kejayaan sentiasa akan menuntut masa dan pe­ngorbanan. Sesungguhnya kejayaan bukan dengan sepetikan jari. Tuntutan masa menentukan segala. Perlu ada doa dan keikhlasan setiap ketika. Demikian juga halnya dengan kejayaan diri. Setiap masa dan ketika ada har­ganya yang tersendiri, dan akan ternilai pada suatu hari nanti.

Benar! ‘Kota Rom tidak dibina dalam sehari’. Bukti pentingnya masa dalam berusaha. Bukan seminit dua, bukan sekelip mata kerana setiap yang hebat itu sentiasa menuntut masa.

Kejayaan hidup menuntut hari, masa, usaha, keya­kinan dan restu Ilahi. Pasti akan tercapai suatu ketika nanti. Itu jugalah yang dinamakan Sunnatullah. Pepatah Arab juga ada menyebut : ‘Siapa yang berusaha, dia akan memperoleh kejayaan’.

Ha! berat tak ‘isu’ yang abang hensem bawakan kali ini?

Bagilah sekali-sekala abang hensem uji minda anda semua. Luahkan bahasa kiasan ini bukan sekadar kena faham istilahnya sahaja tetapi lebih jauh lagi adalah bagaimana kita nak dikaitkan dengan kehidupan sekeli­ling kita semua anak-anak muda woii!.

Dan lebih-lebih lagi bila mempunyai perkaitan secara langsung soal-soal untung nasib, bahagia derita dan masa depan.

Bila kita peka dengan isu-isu semasa dan faham mendalam istilah bahasa kiasan tertentu ini, ia tentu sekali berguna untuk mengenal pasti corak tindakan mendepani cabarannya.

Tapi ingat ya satu perkara yang abang hensem nak pesan sangat-sangat ni. Jangan terikut-ikut tiru orang yang gemar bercakap sinis atau komen sinikal - yang dalam banyak keadaan bila dipost dalam Facebook bikin orang menyampah.