Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, PROF. DR. MASHITAH MOHD. YUSOFF menegaskan sumber asli terhad sekiranya tidak digunakan dengan cekap akan mendatangkan risiko kepada pembangunan sosioekonomi negara selain merosakkan alam sekitar.

 

UTUSAN: Adakah pencemaran alam di Malaysia sudah mencapai tahap kritikal? Boleh berikan contoh kawasan yang sudah terjejas teruk dan memerlukan tindakan segera?

MASHITAH: Pencemaran alam boleh berlaku apabila elemen yang tidak diperlukan oleh faktor-faktor fizikal iaitu air, udara, tanah dan sebagainya bagi kawasan di sekeliling manusia, masuk dan memberi kesan negatif kepada fungsi faktor-faktor fizikal tersebut. Ia memudaratkan ekosistem dan akhir­nya kehidupan manusia.

Elemen-elemen yang tidak dikehendaki ini boleh wujud secara semula jadi atau tidak. Secara semula jadi, sebagai contoh kejadian letusan gunung berapi yang menghasilkan abu. Elemen abu ini akan memasuki ruang udara kita seterusnya mencemarkan udara yang diperlukan. Keadaan ini tidak pernah berlaku di negara ini, kecuali di negara jiran. Yang bukan semula jadi, kebanyakannya elemen yang wujud itu adalah kesan aktiviti-aktiviti manusia. Aktiviti-aktiviti itu ada yang perlu dilakukan demi kelangsungan hidup, seperti pembangunan penempatan, industri, pertanian, pembalakan dan sebagainya.

Namun pasti ada yang me­ngambil mudah tentang ­ke­per­luan mengikut peraturan-peraturan berkaitan, demi mengejar keuntungan. Tentang pencemaran alam di Malaysia, berdasarkan laporan pemantauan oleh jabatan-jabatan berkaitan pada masa kini, negara ini tidak berada pada tahap kritikal.

Merujuk Akta 127, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menyatakan bahawa: Alam sekeliling ertinya faktor-faktor fizikal bagi kawasan di sekeliling manusia termasuk tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor-faktor biologi bagi binatang-binatang dan tumbuhan-tumbuhan dan faktor-aktor social astetika.

Pencemaran ertinya apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, atau biologi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan benda berbahaya kepada alam sekeliling, pencemar atau buangan-buangan hingga menjejaskan apa-apa ­kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam, atau kepada binatang, burung, hidup-hidupan liar, ikan atau hidupan atau kepada tumbuhan atau menyebabkan suatu pe­langgaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Akta ini.

Kenapa pencemaran air sungai khususnya yang menjadi sumber bekalan air terawat masih dipandang enteng selepas 59 tahun merdeka dengan hampir semua sungai di negara ini tercemar dengan sampah dan sisa kilang?

Ini seperti yang dijelaskan di peringkat awal, kebanyakannya ­elemen pencemaran yang wujud itu adalah kesan aktiviti-aktiviti yang perlu dilakukan demi ke­langsungan hidup, seperti pembangunan penempatan, industri, pertanian, pembalakan dan sebagainya.

Negara kita merdeka pada 1957, selepas 17 tahun baru Akta 127, Akta Kualiti Alam Sekeli­ling 1974 diwujudkan dan dikuatkuasakan. Mungkin kerana kekura­ngan teknologi dan peruntukan dilihat sebagai kekang­an peringkat awal untuk mengawal pencemaran air sungai. Ini dapat dilihat dengan kewujudan banyak non-sanitary landfill oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Kaedah pelupusan sampah cara ini juga menjadi satu punca pencemaran sumber air. Keadaan ini menjadi lebih baik, dengan penutupan dan penggantian non-sanitary landfill dengan sanitary landfill yang baru oleh PBT.

Pada masa kini pula, terlalu mengejarkan keuntungan yang banyak telah menghalang pengusaha aktiviti ini dari berfikir untuk kebaikan bersama dalam jangka masa panjang. Pengusaha sering tidak mematuhi ketetapan yang disyaratkan semasa memohon lesen kebenaran menjalankan aktiviti.

Adakah undang-undang pen­cemaran alam sekitar di negara ini terlalu lemah sehinggakan pihak tidak bertanggungjawab berani mengulangi kesalahan sama?

Akta-akta disokong oleh kaedah-kaedah, peraturan-peraturan dan perintah-perintah ada. Pelaksanaannya juga telah berlaku. Semua perkara ini memang disedari oleh mereka yang terlibat sebagai contoh pengusaha aktiviti pembangunan sejak mereka memohon lesen lagi.

Sebenarnya yang menjadi isu adalah kecenderungan mengambil keuntungan berlebihan dan segera dalam kalangan mereka.

Bagaimana pula dengan perundangan terhadap kemusnahan alam yang mengancam kepupusan flora dan fauna khususnya melibatkan pembalakan dan menangkap haiwan terlindung?

Tidak lemah. Sebagai contoh akta berkaitan penjagaan alam semula jadi, Akta Perhutanan Negara (NFA) dipinda pada 1992 untuk mengukuhkan peruntukan bagi menjaga dan melin­dungi sumber hutan daripada pencerobohan dan pembalakan haram. Penalti bagi apa-apa kesalahan hutan meningkat daripada hukuman maksimum RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara sekurang-kurang­nya satu tahun. Ia juga memperuntukkan polis dan tentera untuk me­laksanakan pengawasan aktiviti perhutanan, pembalakan terutama menyalahi undang-undang, pencerobohan kawasan hutan dan kecurian kayu.

Adakah kuasa politik, tekanan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pendedahan media lebih berkesan dalam mengekang pencemaran dan kemusnahan alam sekitar?

Masing-masing ada peranan dan saling melengkapi. Masalah pencemaran dan kemusnahan alam sekitar yang dihadapi pada masa kini dilihat bersifat setempat. Ahli politik, dapat berkongsi dengan rakyat di tempat masing-masing tentang peri pentingnya menjaga alam sekitar, dalam memberi kebaikan jangka panjang kehidupan mereka.

NGO boleh menjadi golongan pemantau dan pendesak jika terdapat aktiviti yang akan mendatangkan pencemaran di kawasan masing-masing yang mungkin terlepas pandang oleh pihak berkuasa. Ini supaya mereka yang terlibat dengan aktiviti sedemikian tidak terlepas daripada tindakan. Pendedahan media juga tidak kurang penting. Pihak media juga boleh menyebarkan segala maklumat aktiviti yang akan mendatangkan pencemaran yang sedang berlaku dan secara tidak langsung boleh memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat.