PPT ditubuhkan pada 1979 oleh peguam dan senator Itali, Lelio Basso. Selama bertahun-tahun PPT mengadakan perbi­caraan mengenai pelanggaran hak asasi manusia secara kolektif di pelbagai negara.

Tribunal di Kuala Lumpur adalah sesi kedua dan penutupan prosiding yang telah bermula di London pada Mac 2017. Semasa sesi di London, beberapa pakar hak asasi manusia, peguam ka­nan, pakar undang-undang an­tarabangsa termasuk yang khu­sus dalam isu genosid dan jenayah kemanusiaan telah mengemukakan keterangan mengenai jenayah terancang yang dilakukan Tatmadaw (tentera Myanmar) dan kumpulan ekstremis Buddha, iaitu Ma Bha Ta terhadap penduduk Muslim Rohingya.

Sekumpulan peguam dari Malaysia yang dinaungi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) pula mengemukakan bukti keterangan kira-kira 33 saksi penduduk Muslim Rohingya yang berada di Malaysia mengenai kekejaman yang dilakukan terhadap mereka.

Sidang pembukaan PPT yang dia­dakan di International State Crime Initiative (ISCI), Universiti Queen Mary, London telah menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN mengambil tin­dakan yang berkesan untuk me­nghentikan jenayah negara terhadap Rohingya dan Kachin. Walaupun tidak ada respons yang bermakna dari PBB atau ASEAN, kepentingan menangani cabaran yang dihadapi oleh komuniti minoriti ini tetap perlu diteruskan secara konsisten.

Kezaliman serta keganasan yang diperbaharui di Myanmar sejak 25 Ogos 2017 lalu menggariskan kepentingan menangani masalah ini dengan segera. Ketika rencana ini ditulis, agensi PBB dan NGO antarabangsa melaporkan sejumlah 313,000 penduduk Muslim Rohingya telah melarikan diri ke negara jiran Bangladesh. Beribu-ribu lain berjuang untuk bertahan hidup dalam keadaan yang dahsyat dan terdesak. Terdapat tindak balas yang kuat terhadap kerajaan Myanmar di negara-negara ASEAN lain.

Di samping itu, wujud kebimbangan yang semakin meningkat bahawa keadaan di Myanmar akan terus memburukkan lagi hubungan Buddha-Muslim di rantau ini dan seterusnya. Selain itu, perbuatan hak asasi manusia dipijak dan martabat manusia dihancurkan begitu tanpa belas ihsan di sebuah negara ASEAN pada hakikatnya merosakkan imej seluruh komuniti ASEAN.

Organisasi masyarakat sivil yang terlibat di dalam PPT ini akan terus mendesak supaya genosid terhadap penduduk Muslim Rohingnya dan lain-lain minoriti dihentikan serta-merta. Kegagalan PBB, ASEAN malah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil langkah segera dan berkesan bagi menangani pembunuhan masyarakat awam tidak berdosa tidak dapat dimaafkan.

Jika ASEAN dan OIC tidak berperanan secara berkesan kerana masing-masing dihalang prinsip tertentu dan ketiadaan meka­nis­me undang-undang yang mem­bolehkan tindakan diambil terhadap Myanmar, adalah sa­ngat meragukan bahawa tiada tindakan berkesan di pihak PBB terzahir walaupun siri-siri kekejaman terhadap penduduk Muslim Rohingya sangat jelas berlaku sejak sekian lama.

Bagi masyarakat hak asasi manusia, cahaya harapan menunggu penyiasatan ketua pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pula nampaknya semakin suram, kerana tiada upaya politik dari mana-mana negara yang dilakukan untuk mencetuskan usaha tersebut.

Pada hakikatnya, ketua pendakwaraya ICC boleh melalui artikel 15(1) Statut Rom memulakan penyiasatan melalui inisiatif sendiri (proprio motu) terhadap perbuatan jenayah yang termasuk di dalam bidang kuasa ICC. Ini boleh dilakukan segera tanpa memerlukan sebarang resolusi Majlis Keselamatan PBB ataupun rujukan dari negara yang menandatangani dan meratifikasi Statut Rom. Inisiatif ini juga tidak dilakukan sehingga ke hari ini.

Oleh itu, PPT sebagai sebuah institusi masyarakat sivil yang bebas mempunyai potensi dan kekuatan menjadi medan yang lebih berwibawa dan boleh diharapkan dalam mengutuk dan menghentikan kezaliman Myanmar terhadap etnik-etnik mino­ritinya sendiri.

Selain memfokus pada pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Muslim Rohingya dan minoriti lain, PPT diharap dapat melakukan adjudikasi bagi memberikan tekanan supaya Myanmar mengembalikan hak kewarganegaraan penduduk Muslim Rohingya yang dihapuskan apabila Akta Kewarganegaraan 1982 diper­kenalkan rejim tentera Myanmar. Hak tersebut adalah antara punca utama penindasan yang berlaku ke atas penduduk Muslim Rohingya.

Dengan berlatarbelakangkan situasi ini maka Tribunal di Universiti Malaya ini diadakan dengan tiga NGO Malaysia iaitu Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Centhra dan Forum Antarabangsa Bagi Dialog Buddha-Muslim (BMF) menganggotai jawatan­kuasa pe­nganjur tempatan.

Mangsa-mangsa kekejaman da­­­­lam kalangan masyarakat Rohi­ngya, Kachin dan masyarakat lain akan memberi keterangan ma­sing-masing di hadapan panel hakim. Tuduhan jenayah yang meluas dan boleh dipercayai terhadap golongan minoriti dan ter­hadap kemanusiaan akan diperiksa secara mendalam, benar ​​dan jujur.

Pakar-pakar genosid dan un­dang-undang antarabangsa akan membentangkan pandangan me­reka. Panel hakim daripada ka­langan sembilan tokoh undang-undang, hak asasi manusia dan genosid terkemuka dari negara-negara yang berbeza akan me­nganalisis bukti di hadapan mereka dan tampil dengan penemuan mereka yang akan diumumkan kepada umum.

Penemuan ini diharapkan akan mendorong kerajaan, kumpulan masyarakat dan individu di mana sahaja mereka berusaha lebih gigih untuk meyakinkan pemerintah Myanmar dan pelaku lain untuk memberikan tekanan ke atas Myanmar supaya menghentikan keganasan terhadap penduduk Muslim Ro­hingya dan lain-lain etnik minoriti.

PENULIS ialah Peguam dan Ketua Eksekutif Centhra. Beliau juga menganggotai pasukan pendakwaraya PPT yang akan membantu panel hakim memeriksa keterangan 
saksi-saksi mangsa semasa sesi PPT kelak.