Dahulu, Proton satu-satunya jenama kereta Malaysia namun akhir-akhir ini pelbagai spekulasi timbul mengenai status jenama ini. Seperti yang hangat diperdebatkan pada saat ini mengenai cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula industri automotif peringkat nasional selepas Malaysia mengalami pertukaran kerajaan buat kali pertama dalam sejarah 9 Mei lalu.

Desas-desus berkenaan niat kerajaan untuk memulakan kembali jenama kenderaan di bawah kelolaan kerajaan sendiri sebenarnya sudahpun diperkatakan sebelum ini. Hanya kini usaha untuk merealisasikan ia menjadi sebuah kenyataan. Persoalannya, mampukah Malaysia mempunyai jenama kenderaan nasional ketiga yang dikenali sebagai PEROTIGA selepas Proton dan Perodua?

Untuk mencari kelainan serta menjamin permintaan industri pembuatan kereta pada masa kini dan berdaya saing, kenderaan pintar yang dibangunkan secara digital, kenderaan cekap tenaga, tidak menyebabkan kepada pencemaran udara serta tidak menyumbang kepada pemanasan global, merupakan satu pilihan yang bernas. Kenderaan yang dimaksudkan adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu kenderaan elektrik dan kenderaan yang menggunakan bahan api alternatif seperti hidrogen yang digunakan oleh sistem sel fuel.

Sistem sel fuel yang menggunakan hidrogen sebagai bahan utama berupaya menjana elektrik seperti bateri dan mesra alam sebagai pilihan masa depan. Jika perusahaan otomobil nasional yang ketiga ini menggunakan bahan api fosil seperti minyak petrol dan diesel sebagai bahan bakar dalam penjanaan enjin kereta sememangnya mengundang kepada masalah pencemaran udara.

Mengurangkan perlepasan karbon adalah sasaran utama dalam objektif jangka panjang pembinaan industri pembuatan kereta pada masa hadapan dan kerajaan Malaysia harus memandang perkara ini untuk memenuhi spesifikasi Euro Emissions Standards.

Ternyata, tenaga hidrogen memberikan masa depan yang cerah untuk sumber tenaga bebas daripada pencemaran. Hidrogen adalah sumber bahan api yang diiktiraf sebagai pembawa tenaga baharu masa di masa hadapan dan ia merupakan salah satu penyelesaian yang berpotensi untuk krisis pencemaran tenaga dan alam sekitar semasa kerana ciri-ciri karbonnya yang bebas dan mesra alam.

World Energy Outlook daripada Agensi Tenaga Antarabangsa menyatakan, pelepasan karbon dan kesan rumah hijau akan terus meningkat dan dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam Global Carbon Budget 2017 bahawa jumlah pelepasan karbon pada tahun 2017 adalah 41 gigaton.

Ia adalah satu keputusan yang tepat jika kerajaan Malaysia menjadi pencetus revolusi kepada pembinaan kenderaan yang cekap tenaga dan jika Perotiga yang akan dicadangkan ini tiada perbezaan antara Proton dan Perodua, dikhuatiri seperti kata bidalan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong akan berciciran.

Menjadi harapan rakyat Malaysia supaya pembinaan industri pembuatan kereta nasional yang ketiga akan menggunakan sumber teknologi terkini dalam membangunkan kilang pintar dalam memenuhi revolusi perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Sangat penting untuk pembangunan pembuatan kereta Malaysia yang ketiga ini mempunyai kilang yang cekap pada tenaga yang lebih dipercayai, lestari dan mampan untuk mengurangkan corak iklim serantau.

Oleh itu, tidak mustahil jika suatu hari nanti di negara ini bukan sekadar mempunyai stesen petrol, diesel dan NGV, tetapi di Malaysia juga akan mempunyai stesen hidrogen untuk digunakan oleh kereta-kereta yang dijanakan oleh sistem sel fuel yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api alternatif untuk menghasilkan tenaga elektrik. Rakyat Malaysia akan berbangga dengan industri pembuatan kereta nasional yang ketiga dan merupakan satu pemangkin yang berdaya saing dalam teknologi kejuruteraan.

DR. ABDUL HADI ABDOL RAHIM ialah Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Johor.