Selain daripada terpaksa ber­depan dengan pelbagai salah laku pelajar zaman moden sekarang, dari segi tingkah laku, pakaian dan fesyen, guru-guru juga terpaksa berdepan dengan tindakan-tindakan pelajar yang tidak disangka-sangka termasuklah melawan guru, buli, dera, pergaduhan, merosakkan harta benda guru dan sekolah malah pelbagai kes serius lain.

Menurut saudara penulis dan rakan-rakan penulis, hendak mendenda pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah zaman sekarang bukannya mudah. Apabila tidak mudah, tugas guru disip­lin pun menjadi tidak mudah.

Tambah merumitkan keadaan apabila terdapat dalam kalangan ibu bapa campur tangan dalam soal denda-mendenda anak-anak mereka di sekolah. Apa yang di­timbulkan ialah kewajaran mendenda anak-anak mereka apatah lagi di khalayak ramai.

Ada ibu bapa yang jenis anak-anak mereka tidak boleh dijentik sedikit pun, kalau dijentik, ibu bapa datang ke sekolah mencari guru yang menjentik anak-anak mereka.

Malah, dalam zaman yang serba canggih ini, ada ibu bapa yang sanggup membuka perbincangan dalam facebook, minta pendapat rakan-rakan untuk menarik perhatian dan simpati apabila anak-anak mereka diambil tindakan oleh guru disiplin walaupun anak mereka ternyata bersalah.

Jika keadaan ini diamalkan dan berterusan, sampai bila-bila pun masalah disiplin pelajar di sekolah tidak akan dapat di­selesaikan. Keadaan ini juga akan memberi semangat kepada anak-anak untuk terus bergelumang dengan masalah disiplin kerana ada yang membela mereka.

Garis panduan sudah ditetapkan oleh kementerian kepada guru-guru disiplin, setakat mana tindakan yang boleh dilakukan ke atas pelajar bersalah. Jika guru disiplin mendapati pelajar bersalah dan melakukan tindakan yang wajar ke atas pelajar tersebut, maka ia tidak boleh dipertikaikan. Tindakan-tindakan yang dilakukan mempunyai kewajarannya. Ia bertujuan untuk mendidik kerana sekolah yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi biasanya akan memperoleh kejayaan dalam peperiksaan-peperiksaan penting.

Tindakan disiplin oleh guru-guru disiplin di sekolah bukan sengaja dibuat-buat. Bagi yang berfikir panjang, baik pelajar waima ibu bapa sekalipun, tindakan disiplin ialah satu bentuk pendidikan terhadap pelajar agar tidak mengulangi kesalahan. Tersiratnya, pelajar lain tidak akan melakukan kesalahan-kesalahan sama, malah melakukan sesuatu yang sudah ditetapkan sebagai kesalahan supaya disiplin terkawal.

Dalam soal disiplin pelajar, penulis berpendapat, semua pihak terutamanya ibu bapa mestilah memahami tujuan asal mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Tidak ada ibu bapa yang menyuruh anak-anak mereka pergi ke sekolah untuk bergaduh dan tunjuk lagak serta mempamerkan pelbagai sikap negatif lain.

Oleh itu, apabila anak-anak mereka terlibat dalam masalah disiplin, ibu bapa mestilah bermuhasabah untuk mencari jalan agar dapat diperbetulkan sikap negatif anak-anak jika anak-anak mereka sudah tersasar tujuan asal ke sekolah. Mereka juga mesti mencari punca masalah disiplin anak-anak mereka tetapi bukannya ‘menyerang’ guru disiplin dengan pelbagai kaedah.

Ibu bapa juga mestilah memahami perubahan sikap anak-anak kerana kaedah ini sedikit-seba­nyak akan membantu ibu bapa menilai apa masalah anak-anak mereka supaya dapat ditangani dengan cepat.

Paling penting, ibu bapa mestilah memberi kerjasama agar masalah disiplin anak-anak dapat dikurangkan. Tugas guru disiplin menjadi sukar bukan hanya kerana pelajar yang tidak memberi kerjasama mematuhi per­aturan disiplin, tetapi disebabkan ibu bapa yang enggan menerima bentuk tindakan ke atas anak-anak mereka yang bersalah.

Ibu bapa semestinya berterima kasih kepada guru-guru apatah lagi guru disiplin di sekolah kerana mereka inilah insan yang banyak membantu mencorakwarnakan masa depan dan sahsiah anak-anak.