Namun begitu, tidak pula kita menitikberatkan bagaimana hendak mengelakkan daripada pahala puasa kita menipis dan hilang? Hakikatnya, pada zaman teknologi maklumat (IT) ini mudah sangat kita menghilangkan pahala puasa kita terutama di laman sosial, melalui komunikasi maya, di WhatsApp, facebook, twitter, youtube, instergram dan seumpamanya.

Laman sosial ini selain kebaikannya membolehkan kita menjalinkan hubungan silaturahim, dalam kesibukan yang tidak memungkinkan kita bertemu muka selalu, ada keburukannya yang boleh menyebabkan terputusnya silaturahim.

Hal ini adalah kerana di laman sosial inilah tempat orang dengan mudahnya menghilangkan pahala puasanya. Betapa banyak dan mudahnya kita mendapatkan berita-berita sensasi melalui youtube, yang belum tentu sahih berita, malah ditokok tambah di sana sini secara kreatif, untuk menjadikan cerita itu lebih sensasi.

Sehinggakan kesedihan dan kerisauan orang, mungkin boleh dijadikan bahan humor/lucu kepada pihak yang bijaksana dan kreatif memanipulasi sesuatu isu. Demikian juga di FB dan instagram menjadi tempat orang melepaskan geram, meluahkan kemarahan, menyebarkan fitnah, mengaibkan dan mempersendakan orang.

Sejak akhir-akhir ini laman sosial menjadi saluran tempat orang menabur fitnah, membuat spekulasi atau kesimpulan terhadap sesuatu peristiwa, tanpa berdasarkan kenyataan yang benar dan fakta. Facebook menjadi tempat orang ‘seronok’ menyebarkan berita palsu, tanpa memikirkan sensitiviti perasaan orang yang menjadi sasaran tulisan kita di laman sosial itu.

Buruk atau baiknya laman sosial kepada seseorang, bergantung kepada cara seseorang itu memanfaatkan laman-laman tersebut. Apabila kita menulis status yang negatif di Facebook, bermakna itulah gambaran “Dunia Dalaman” (jiwa/roh) atau gambaran imej diri dan keperibadian kita.

Sesungguhnya imej diri kita berdasarkan kepada tiga perkara yang menjadi kebiasaan hidup kita. Pertama, apa yang kita cakap kepada diri kita. Kedua, imej diri (daripada dalaman diri yang kita keluarkan) melalui luahan kata-kata dan tulisan kita. Ketiga, tindak balas terhadap sesuatu peristiwa. Jika imej diri negatif, tindakan kita juga akan turut negatif demikianlah sebaliknya.

Hal ini berlaku kerana berdasar konsep ‘Reset Minda’, setiap orang dalam tindak-tanduknya mesti berlaku proses ‘ADA – BERI – DAPAT’. Maksudnya, sebab ‘ADA’ jiwa negatif, maka kita boleh ‘BERI’ status/komen negatif dan akhirnya kita akan ‘DAPAT’ kesan yang negatif. Setiap kali kita menulis hal-hal yang negatif, emosi dan minda kita akan menjadi negatif, dan akhirnya melemahkan fizikal dan emosi.

Kita sendiri semakin lemah dan hilang keyakinan diri, kerana sentiasa bersembunyi di sebalik ‘topeng’ kehidupan kita yang sebenar. Sebab lazimnya orang yang menulis status dan memberikan komen negatif di laman sosial, tidak menunjukkan identiti dirinya sebenar.

Sanggupkah kita hidup dalam kepuraan-puraan dan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa yang telah kita lakukan? Bagi Muslimin, jari yang sama yang kita gunakan untuk membaca tahiyat ketika bersolat, yang kita membuat pengakuan bahawa – tiada Tuhan melainkan Allah, dan dengan jari itu jugalah kita gunakan untuk menaip status negatif, menyakitkan hati orang.

Memang cukup ironi, kita mengakui keagungan Allah SWT, Allah Maha Mengetahui dan Allah Maha Melihat, tetapi pada waktu yang sama, kita membuat dosa mengaibkan orang, mengadu-domba dan seumpamanya.

Ingatlah, masyarakat akan menilai diri kita, berdasarkan apa yang kita kata, apa yang kita tulis, dan apa yang kita buat. Kebiasaannya orang yang menjadi mangsa tohmahan dan fitnah akan lebih mendapat simpati masyarakat. Yakinlah orang yang menjadi mangsa mana-mana laman sosial akan mendapat kasih sayang Allah, kerana orang yang dianiayai adalah antara orang yang mustajab doanya. Tidakkah kita takut dengan doa mereka?

 

Fikir betul-betul

Oleh sebab itu berhentilah untuk memperkatakan mengenai hal orang. ‘Reset Minda’ dan ubah cara kita melihat sesuatu, dengan terlebih dahulu menilai dan melihat diri sendiri, daripada segi perlakuan fizikal dan hati nurani. Banyakkan sifat insan, dan buanglah sifat kehaiwanan, kerana yang membezakan manusia dengan haiwan adalah fikiran. Sebelum hendak melakukan sesuatu, fikir betul-betul, apakah kesannya jika kita teruskan apa yang kita hendak laksanakan.

Berfikirlah dengan ‘mata hati’. Hati yang baik akan mengarahkan akal berfikir yang baik dan mengalahkan nafsu. Orang yang buta ‘mata hati’ akan lebih suka menggunakan kanta pembesar untuk meneliti kesalahan orang. Orang yang celik ‘mata hati’ lebih suka cermin dirinya sendiri, untuk meneliti kesilapannya. Gunakanlah Facebook atau laman sosial yang lain sebagai ladang pahala, tujuan hidup untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah, belajar ilmu, dan segala hal yang positif.

Jaga perasaan orang. Sebagaimana kita tidak suka diri dan keluarga kita dicerca dan dihina, demikian juga orang lain, tidak suka diperlakukan sedemikian. Adab bicara dalam Islam (dalam bentuk percakapan atau tulisan), adalah mencari perkataan yang menyeronokkan orang yang mendengar atau membacanya.

Apa-apa yang kita lakukan jaga tiga perkara. Pertama, tujuan (niat). Kita melakukan sesuatu itu kerana apa dan untuk siapa? Kalau niat kita baik, kerana Allah kita akan dapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kedua, konsep. Mesti tahu konsep dan cara melakukan sesuatu. Dalam Facebook itu ada dua konsep, iaitu untuk membina atau meruntuhkan? Oleh sebab itu pilih konsep yang betul. Ketiga, fokus. Fokus kepada perkara negatif atau positif? Kita fokus reda Allah atau penghargaan manusia?

Orang yang tiada keyakinan diri dan rendah diri, suka menunjuk apa-apa yang dia buat dan apa-apa yang dia ada. Jaga mulut dan jaga hati. Apabila melihat orang yang pelik tingkah laku dan sikapnya, jangan fikir yang bukan-bukan, dan jangan sesekali terlintas di hati kita perkara yang buruk mengenai orang lain. Sebab kita bimbang Allah balikkan keburukan itu kepada kita dan keluarga kita. Usahlah sibuk membeli barang berjenama untuk tunjuk dan orang tengok di laman sosial.

Alangkah rugi. Secantik mana pun barang itu kita akan cepat jemu dan akhirnya akan buruk. Jangan tunjuk sesuatu kepada orang yang tiada. Jangan menjadi orang yang mencari perhatian tetapi jadilah kita orang yang suka memberi perhatian. Seterusnya tanya kepada diri sendiri, “hendak nampak baik atau hendak jadi baik?” Hendak nampak soleh atau hendak jadi soleh? Orang yang ikhlas tidak tunjuk kebaikannya. Ingat jangan kita tertipu dalam dua keadaan.

Pertama, tertipulah orang berilmu kalau tidak beramal. Kedua, tertipulah orang yang beramal kalau tidak ikhlas. Orang yang ikhlas dia akan menyembunyikan kebaikannya macam dia menyembunyikan kejahatannya. Allah melihat amalan kita, kita buat untuk mendapat reda Allah bukan hendak orang kata kita baik. Jika kita sudah tersalah niat dan tindakan, perbetulkanlah kesilapan diri dan memohon maaf kepada sesama insan serta bertaubatlah kepada Tuhan. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.