Saya sedar ini bukan satu tugas mudah kerana wartawan adalah golongan bijak pandai apatah lagi falsafah yang saya bawa amat berbeza. Saya melihat kelab ini bukan sekadar tempat 'hora horey', Kemudi harus lebih besar daripada itu.

Paling penting mendewasakan pemikiran wartawan sei­ring dengan perubahan zaman supaya media konvensional tidak pupus menjadi seperti dinosaur. Contohnya, pengamal media tidak boleh lagi mempersoalkan hal titik bengik se­perti tidak ada kerusi atau tidak dilayan pada satu majlis.

Jika ini berlaku, mudah, pakat dan semua angkat punggung balik kerana penganjur tidak menghormati wartawan.

Sebelum tindakan seperti itu diambil, adalah menjadi tugas saya bersama sahabat-sahabat Exco Kemudi supaya memastikan pengamal media dihormati dan disegani. Caranya kami (tidak terkecuali saya) wajib berpegang teguh etika dan prinsip profesionalisme dalam melaksanakan tugas.

Tugas ini amat berat kerana perlu bergerak seiring dengan konsep memberikan kegembiraan kepada semua ahli keluarga Kemudi.

Maka itu, ketika pusingan pertama menerajui Kemudi, saya memperkenalkan Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan (MAKK) yang telah menjadi acara tradisi kelab ini pada setiap tahun.

Tujuan MAKK ialah mengangkat karya yang dihasilkan di samping memberikan keseronokan kepada pengamal media dengan mengenakan busana cantik-cantik serta hiburan tidak melampaui Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Sudah lima kali dianjurkan, mutu karya menunjukkan peningkatan tetapi masih jauh untuk memastikan industri berita di negeri ini untuk terus kekal hidup dengan subur.

Anak beranak Kemudi gembira dengan MAKK dan jika mereka tidak gembira atau marah-marah, ini bererti saya gagal untuk berpegang kepada prinsip kegembiraan yang dianuti maka wajiblah saya berundur daripada jawatan tersebut dengan meninggalkannya dalam keadaan tertib tanpa sebarang masalah.

Pada 22 Januari lalu juga telah berlangsung satu acara besar iaitu Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kemudi kali kelapan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith di Rumah Wartawan, Taman Sari, Kota Bharu.

Ketika berucap pada malam itu, saya menyentuh tentang perlindungan kepada wartawan. Malah Kemudi menyambut langkah kerajaan baharu untuk menyemak semula beberapa undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; Akta Hasutan 1948; Akta Rahsia Rasmi 1986; Akta Fitnah 195; dan Akta Hak Cipta 1987 yang mengikat dunia ke­wartawanan di negara ini.

Pun begitu, pemansuhan atau menyemak semula undang-undang itu tidak memadai kerana tidak ada jaminan bahawa wartawan dilindungi. Maka satu akta baharu wajar diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan perjuangannya untuk membebaskan media tercapai.

Dan apa yang disebut saya bagi mewakili suara hati pengamal media di Kelantan ketika membuka MAT Kemudi disambut kemas oleh Eddin Syazlee yang juga seorang pengamal undang-undang.

Beliau memberikan respon positif malah mahu supaya penubuhan Majlis Media Kebangsaan (MMK) atau Majlis Media Malaysia (MMM) yang diperjuangkan oleh pengamal media di negara ini sejak sekian lama dipercepatkan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan wartawan terjamin.

Wartawan golongan yang amat memerlukan perlindungan di bawah undang-undang dan amat wajar Akta Perlindungan Kewartawanan digubal secepat mungkin.