Pelaksanaan GST atau Goods and Services Tax (GST) sejak 1 April 2015 adalah satu langkah pembaharuan dasar kewangan sistem pengutipan hasil sedia ada untuk menjamin negara tidak mengalami kepincangan ekonomi pada masa akan datang. GST diperkenalkan untuk memperluaskan skop kutipan hasil ke arah memperkasakan ekonomi negara agar kerajaan dapat menampung per­belanjaan negara yang kian meningkat.

Sistem cukai ini juga diperkenalkan agar kerajaan tidak banyak bergantung kepada kutipan cukai daripada sumber cukai pendapatan yang umumnya dikutip daripada individu-individu atas ganjaran dan daripada syarikat-syarikat atas keuntungan yang diperolehnya.

Malaysia bukan negara perintis dalam mengamalkan GST. Negara yang paling awal melaksanakan GST dalam dunia adalah Perancis pada 1954. Negara yang paling awal melaksanakan GST di ASEAN adalah Indonesia, iaitu pada 1984. India adalah negara yang terbaharu melaksanakan GST dengan kadar cukai lima hingga 28 peratus.

Meskipun kadar cukai GST di Malaysia adalah enam peratus, iaitu antara kadar cukai yang paling rendah di dunia, ada pihak tertentu mengadu-domba mendakwa bahawa GST menyusahkan rakyat kerana harga barangan keperluan asas akan meningkat. Dakwaan pengkritik-pengkritik GST ini sudah tentu adalah tidak benar sama sekali kerana sebahagian besar barangan dan perkhidmat­an termasuk makanan dan keperluan harian rakyat, termasuk ubat-ubatan adalah dikecualikan cukai GST.

Malah, kerajaan membenarkan pengeluar (manufacturer) barangan menuntut balik cukai GST yang dikenakan dengan harapan harga barangan dalam pasaran dijual dengan harga yang lebih murah daripada harga pasaran sebelum GST dilaksanakan.

Sesungguhnya, usaha untuk melaksanakan GST bermula pada era kerajaan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad lagi. Tun Daim Zainuddin, selaku Menteri Kewangan pada 1985, telah mencadangkan pelaksanaan GST. Namun, kerajaan menangguhkannya pada ketika itu kerana sumber hasil daripada sumber petroleum didapati mencukupi untuk menampung perbelanjaan negara. Kerajaan ketika itu tidak terdesak melaksanakan GST ke­rana harga minyak mentah pada ketika itu berlegar antara AS$100 hingga AS$120 setong.

Namun, kerajaan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak terdesak melaksanakan GST pada 2015 kerana sistem percukaian sedia ada didapati tidak adil kepada rak­yat kerana rakyat dikenakan cukai pada pelbagai peringkat. Malah kerajaan juga menghadapi kekangan kekurang­an hasil kerana kejatuhan harga minyak mentah dalam pasar­an dunia ke paras sekitar AS$45 setong.

Di sebalik kekangan hasil, perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara didapati kian meningkat. Sebagai contoh, peruntukan untuk perkara emolumen bagi tahun 2000 adalah hanya RM 14.61 bilion manakala peruntukan untuk perkara emolumen meningkat kepada RM77.4 bi­lion pada 2017.

Subsidi untuk bahan-bahan keperluan asas seperti minyak juga meningkat hampir RM18.2 bilion (2014). Peruntukan untuk emolumen sahaja meningkat lebih lima kali ganda sejak tahun 2014. Tambahan, kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk membantu meringankan bebanan rakyat.

Antaranya, penyediaan RM 4.3 bilion untuk biasiswa, RM 7.4 bilion untuk membantu 20 buah universiti awam, RM 1.1 bilion untuk bantuan makanan bagi 365,000 murid asrama, RM 300 juta bagi bantuan makanan 1Malaysia bagi sekolah rendah, bantuan sekolah RM100 kepada 3.5 juta pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM3,000 sebulan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejumlah RM6.8 bilion untuk 7 juta warga Malaysia.

Maka, kekurangan hasil negara, pada masa sama pe­ningkatan perbelanjaan negara untuk rakyat, telah me­nimbulkan keperluan untuk kerajaan mengambil langkah mentransformasikan sistem kutipan hasil agar kerajaan dapat menampung dana bagi terus menyediakan perkhid­matan untuk rakyat.

Sesungguhnya, rakyat akan sedar kepentingan GST sekiranya mereka membayangkan betapa resahnya dan terbebannya kehidupan mereka sekiranya kerajaan tidak menyediakan gaji, pencen, bantuan khas seperti BR1M kepada golongan pendapatan rendah, subsidi bagi barang-barang keperluan asas dan sebagainya kerana dana kerajaan tidak mencukupi untuk membantu rakyat akibat kehilangan hasil berbilion-bilion ringgit daripada sumber petroleum.

Justeru, GST adalah langkah perlu yang diambil oleh kerajaan kepimpinan Najib dalam memperkukuhkan daya tahanan negara malah menjamin rakyat terus hidup selesa dan sejahtera.

DATUK M. PERIASAMY ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.