Malah sejak Perancis - negara pertama melaksanakan GST dalam tahun 1954 pada kadar 19.6 peratus, tiada negara lain berundur ke belakang atau membatalkannya. Adakah ini petunjuk bahawa GST ini tidak baik?

Antara masalah utama yang melingkari masyarakat negara ini ialah persepsi lebih mengatasi realiti sebenar. Rakyat terus dibuai dengan cerita-cerita bahawa GST dilaksanakan adalah untuk merompak duit rakyat.

Sedangkan, GST bukannya satu cukai baharu tetapi penambahbaik­an sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada yang terlalu banyak berlaku ketirisan dan kelemahan sejak dimulakan puluhan tahun lalu. Siapa pun tidak suka apabila dikenakan cukai, tetapi sesebuah negara itu tidak akan mampu berfungsi sekiranya tiada wang untuk dibelanjakan yang semestinya diperoleh melalui hasil cukai.

Pakar-pakar ekonomi tempatan dan dunia mengatakan bahawa GST adalah cukai terbaik bagi menangani masalah ekonomi terlindung atau gelap, namun segelintir rakyat negara ini tidak pula beranggapan sebegitu.

Mengulas perkara ini, Dekan Fakulti Perakaunan Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Kamil Md. Idris menegaskan syarat utama untuk menjadi sebuah negara maju yang diyakini semua pihak menginginkannya, ialah sesebuah negara itu perlu mempu­nyai pendapatan yang banyak.

“Ini bermakna rakyat tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata, tetapi turut kena membantu dengan membayar cukai. Saya juga ingin bertanyakan mengenai kejujuran rakyat negara ini dalam membayar cukai individu atau korporat terutamanya para peniaga,” kata­nya yang menjadi ahli panel dalam siri kedua Program Advokasi Ilmuan Majlis Profesor Negara (MPN) bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program yang berlangsung semalam di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), membincangkan tajuk 'GST: Kemelut dan Langkah Ke Hadapan'. Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan menjadi moderator. Empat ahli panel lain ialah Pe­ngurus Projek GST Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Asan Ali Golam Hasan; Pensyarah Ekonomi UKM, Prof. Jamal Othman dan Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, M. Gunaselan dan Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Mohammad Sabri Saad.

Tambah Kamil, pada masa ini ekonomi terlindung negara antara 30 dan 40 peratus atau RM60 bilion mengalir keluar kerana rakyat mengelak membayar cukai. Adalah tidak adil apabila yang jujur dan bekerja keras terpaksa membayar cukai tetapi yang menipu, pemalas dan penyeludup yang kaya-raya boleh terlepas.

“Dengan GST, yang berniaga secara haram pun kena bayar cukai apabila membeli barangan keperluan. Duit haram yang diperoleh bukan selama-lamanya boleh disimpan, sebaliknya tetap perlu dibelanjakan. Kajian mendapati daripada RM60 bilion ini sekurang-kurangnya RM32 bilion dapat dikutip kembali melalui GST,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Sabri menjelaskan sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu, kesedaran orang ramai terhadap sistem percukaian negara semakin meningkat, berbanding semasa pelaksanaan SST.

“Sedangkan selama puluhan tahun rakyat memang kena bayar cukai melalui SST tetapi tiada seorang pun bertanyakan berapa cukai yang dikenakan dalam setiap barang yang dibeli, kini dengan GST mereka lebih peka terhadap sistem pengebilan.

“Rakyat tidak perlu bimbang kutipan dan pengagihan GST, ke mana distinasinya? Meka­nismenya tetap sama dengan SST dan kerajaan akan mengumumkannya dalam bajet tahunan nanti,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Asan Ali kesedaran pengguna itu perlu dise­larikan dengan kemantapan persa­tuan pengguna yang disifatkan lebih suka mendesak kerajaan daripada menekan persatuan peniaga yang menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

Dalam banyak perkara dan isu, persatuan peniaga dilihat lebih kuat dan vokal daripada persatuan pengguna dalam setiap tindakan mereka.

Program advokasi yang memakan masa hampir dua jam itu secara dasarnya menyimpulkan bahawa pelaksana­an GST amat baik kepada negara iaitu bagi meningkatkan pendapatan kerajaan yang akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk kemakmuran ekonomi, kemudahan dan prasarana awam.

Ahli panel juga mengakui beberapa kelemahan wujud dalam pelaksanaan GST, namun tidak bersifat kekal. Ssemuanya masih boleh melalui proses penambahbaik­an. Menyen­tuh perkara ini, Jamal menga­takan kaedah GST terbaik ialah mengenakan cukai terhadap setiap barang seperti dilaksanakan di Denmark.

“Setiap tanda harga disaran turut ditulis berapa jumlah GST dikenakan, tidak sekadar tertera 'tidak termasuk GST'.

“Masalah lain apabila peniaga sekali menaikkan harga barangan, terlalu susah untuk turun kembali.Justeru pengguna perlu memainkan peranan manakala NGO wajar dipertimbangkan diberi peruntukan undang-undang bagi memantau lebih efisien peniaga tamak.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia tidak diberikan dalam bentuk wang tunai tetapi dalam bentuk boucer barang­an,” katanya.

Sejak dikuatkuasakan pada 1 April lalu, masih banyak kelemahan GST. Namun, berilah ruang dan peluang kepada kerajaan untuk menjayakan sistem percukaian baharu ini. Mungkin ada berita baik diumumkan dalam Bajet 2016 bagi membuktikan kerajaan mendengar denyut nadi rakyat.