Buku Bisnes

GST yang merupakan sistem cukai berdasarkan nilai tambah ke atas barang dan perkhidmatan mula diperkenalkan di Perancis dan Monaco pada 1954.

Sehingga kini, sebanyak 53 negara Eropah telah melaksanakannya. Hanya dua negara sahaja di bawah keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di benua itu yang tidak menjalankannya iaitu Andorra dan San Marino.

Selain daripada dua negara tersebut, 39 lagi negara anggota PBB tidak melaksanakan GST termasuk Amerika Syarikat, Arab Saudi, Maldives, Angola, Brunei dan Myanmar.

Lebih banyak negara kini sedang merancang untuk memperkenalkan GST termasuk Afghanistan, Bahamas dan Qatar.

Menurut penulis, antara faktor Malaysia melaksanakan GST mulai tahun ini adalah bagi mengatasi kelemahan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang menyebabkan berlakunya cukai bertindih.

Situasi berkenaan berlaku apabila cukai jualan diserap ke dalam harga barang dan kemudian sekali lagi akan dikenakan cukai perkhidmatan seperti yang dilakukan pengusaha restoran.

Minuman jus dalam kotak yang sudah dikenakan cukai jualan pada peringkat pengilangan akan dijual kepada pelanggan di restoran dengan tambahan cukai perkhidmatan.

Dalam pada itu, tulis penulis, kira-kira 300,000 peniaga yang layak mendaftar dengan GST mempunyai peranan cukup penting kerana mereka sebenarnya adalah ejen kutipan cukai bagi pihak kerajaan.

Selaras dengan peranan itu, peniaga harus peka terhadap skop percukaian, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan di bawah GST.

Menurut penulis, GST dikenakan ke atas pembekalan barang dan perkhidmatan di Malaysia dan juga barangan import. Cukai berkenaan akan terpakai pada setiap peringkat pembekalan daripada pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.

Golongan peniaga yang cukup syarat tetapi mengelak daripada mendaftar dengan GST akan menghadapi risiko dikenakan penalti dan tindakan undang-undang.

Mengenai faedah pelaksanaan GST kepada peniaga, jelas penulis, duti eksport telah dimansuhkan selepas pelaksanaan cukai bentuk baharu itu bagi menggalakkan syarikat untuk memasarkan produk tempatan ke luar negara.

Faedah lain ialah mengurangkan kos perniagaan apabila cukai jualan yang dahulunya tidak boleh dituntut kini digantikan dengan GST yang boleh dituntut balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Selain itu, syarikat yang berdaftar dengan GST akan diberi bim­bingan bagi menambah baik sistem perakaunan mereka untuk memastikan setiap transaksi yang melibatkan cukai baharu itu disimpan dan direkod dengan betul.

Proses itu sangat penting kerana maklumat yang dijana menjadi rujukan untuk menyediakan laporan cukai kepada JKDM.

Ini menyebabkan syarikat perlu membuat perubahan dalam cara kerja mereka supaya menjadi lebih sistematik, memastikan pekerja lebih cekap dan mempunyai sistem perakaunan terkini yang bersifat mesra GST.

Bagi menyesuaikan dengan keperluan GST, syarikat juga perlu memodenkan prosedur perakaunan, kawalan stok, pengurusan aliran tunai, pentadbiran sumber manusia, sistem pengkomputeran dan menambah baik polisi syarikat.

GST menggalakkan sistem rekod yang tersusun supaya penyata cukai mudah disediakan. Rekod-rekod perakaunan dan fail yang tepat memberi maklumat yang berguna kepada peniaga.

Maklumat ini dapat digunakan untuk menganalisa jenis perbelanjaan syarikat dan tindakan yang boleh diambil untuk mengawal kos.

Peniaga yang berdaftar harus menaik taraf sistem perakaunan yang patuh GST dan tentunya ia memberi kesan positif kepada proses kerja dalam syarikat.

Prosedur standard harus dikaji semula terutamanya yang melibatkan pembekalan dan akaun peng­hutang, perbelanjaan dan akaun pemiutang, stok serta fail GST.

Kajian semula prosedur standard dan proses kerja akan meningkatkan kawalan dalaman syarikat dan mengurangkan risiko ketirisan pendapatan serta pembaziran kos.

Tambah penulis, tahap kemahiran pekerja khususnya di bahagian perakaunan dan kewangan dapat dipertingkatkan apabila mereka menyertai program latihan perakaunan dan GST oleh kerajaan.

Peruntukan geran juga disediakan kerajaan sebagai insentif kepada peniaga untuk menghantar pekerja bagi mendapat latihan mencukupi.

Antara faedah lain berdaftar bagi melaksanakan cukai baharu itu ialah peniaga dapat menyertai tender dan membekalkan barang serta perkhidmatan kepada syarikat besar yang pada masa depan cenderung meletakkan syarat mesti berdaftar dengan GST.