Dalam perubahan ini, ada pelajar universiti yang akan bakal menjadi graduan tulen - mendapat imbuhan dari perubahan ini dan ada kelompok pelajar yang masih terleka dengan corak pembelajaran tradisional. Kelompok pelajar yang malang ini akan menjadi graduan ‘salin dan tampal’ (copy & paste) kerana pelbagai sebab. Perbezaan ciri-ciri kelompok dua pelajar ini dilihat lebih ketara dengan penyebaran ilmu di internet. Di bawah ini sebahagian daripada karakter yang membezakan seseorang itu adalah graduan tulen atau copy & paste tersebut.

* Pembelajaran bersepadu me­liputi arahan pembelajaran dilakukan sebelum pelajar mema­suki kuliah. Graduan tulen ialah mereka yang mengikut arahan tersebut, membaca dan menyelidiki sesuatu informasi di internet sebelum kuliah bermula.

Mereka tahu mereka tidak semestinya faham bab baru dalam sesuatu subjek, tetapi dengan mengambil tahu secara rambang sebelum kuliah, secara separa sedar, graduan tulen telah menyediakan minda mereka untuk menerima jawapan dari ketidakfahaman mereka. Ini kerana, sewaktu di kuliah, pembelajaran secara aktif akan berlangsung. Pensyarah tidak akan lagi mengulang arahan, tetapi terus kepada diskusi lanjutan. Bagaimanapun, graduan copy & paste yang tidak bersedia membaca sebelum ma­suk kuliah, akan ketinggalan dan menjadi kabur dalam kuliah.

* Pembelajaran bersepadu me­letakkan peranan pensyarah sebagai pembimbing dan fasilitator. Gra­duan tulen memahami perbezaan antara fasilitator dan guru. Sebagai seorang yang dewasa, mereka faham bahawa corak pengajaran untuk orang dewasa adalah berbeza dari remaja. Corak pengajaran untuk dewasa berbentuk abstrakdan lebih menjurus kepada penggunaan kemahiran aras tinggi dan soalan berbentuk aplikasi, sintesis dan kemahiran membuat keputusan. Lain dari graduan copy & paste, mereka mengharap pensyarah akan memberi nota, soalan dan skema jawapan. Mereka berpendapat pensyarah seharusnya menjadi seperti seorang guru yang menyediakan segalanya untuk mereka.

* Pembelajaran bersepadu lebih interaktif dan bercorak amali (hands-on). Graduan tulen menghargai corak pembelajaran yang mengangkat intelektual mereka. Sebagai seorang yang dewasa, graduan tulen lebih terdorong kepada kuliah yang lebih interaktif, tidak terlalu mengikut sorotan power-point, tetapi lebih kepada soalan, aktiviti dan latihan yang mencabar keupayaan intelektual mereka. Namun, graduan copy & paste lebih selesa duduk di belakang dewan kuliah dan melayani Facebook, WhatsApp dan internet ketika kuliah sedang berlangsung. Tindak balas mereka terhadap latihan dan aktiviti kuliah adalah pasif dan cepat mengeluh.

* Pembelajaran bersepadu me­manfaatkan masa sepenuhnya untuk mencapai kemahiran insaniah. Oleh sebab ini, graduan tu­len yang faham akan menghormati ilmu dan waktu kuliah. Mereka datang awal ke kuliah, duduk di hadapan dan menunjukkan minat untuk belajar.

Mata mereka se­perti galak mahu tahu lebih daripada syarahan yang disampaikan. Adab mereka adalah tinggi kerana mereka faham, menghormati pen­didik akan mendatangkan ke­berkatan ilmu dan melancarkan pemahaman. Graduan copy & paste sebaliknya datang lewat, duduk seperti bersantai di tepi pantai, tidak membawa pen dan alat tulis, terlalu bergantung kepada rakan dan tidak menunjukkan minat untuk ke kuliah. Adab belajar dan berguru juga rendah.

* Graduan tulen yang memohon pinjaman selalunya bijak me­rancang kewangan mereka. Mereka faham yuran pendidikan dan perkara berkaitan adalah mahal. Mereka juga faham bahawa mereka perlu membayar semula pinjaman selepas mendapat pekerjaan kelak.

Dengan kefahaman ini, mereka sedaya upaya mendapat keputusan yang baik dan membina sahsiah yang lebih berintegriti. Mereka pandai merencana pelaburan mereka. Graduan copy & paste pula selalunya terlupa tentang bayaran balik pembiayaan mereka dan tidak melabur sebaik-baik­nya menimba ilmu pengetahuan dan memperelokkan adab.

* Pembelajaran bersepadu dilaksanakan di dalam kuliah berdasarkan objektif untuk menerap­kan falsafah pendidikan negara. Graduan tulen yang mengikuti pembelajaran bersepadu akan lebih arif dalam memacu ilmu mereka dalam membangunkan negara. Di universiti, mereka melengkapkan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran luar dewan kuliah. Mereka telah mengasah tajam pemikiran kritis mereka dalam mendepani isu-isu realiti.

Objektif mereka adalah untuk membangunkan kesejahteraan rak­yat dan negara. Lain halnya dengan graduan copy & paste. Oleh kerana mereka selalunya mengambil mudah salin dan tampal tugasan mereka, minda mereka tidak dilatih berfikir secara kritikal.

Minda salin dan tampal hanya mendorong kepada mendapatkan matlamat jangka pendek - keka­yaan diri sendiri. Kesudahannya, apabila graduan ini berdepan dengan realiti yang mencabar, mereka lekas melenting dan menuding jari mencari kesalahan orang lain.

Dengan laporan World Econo­mic Forum yang mengatakan pada 2025, 50 peratus pekerjaan di dunia akan diambil oleh teknologi, gra­duan tulen lebih mempunyai masa depan yang cerah untuk kekal signifikan dalam dunia. Mereka ini sejak awal peringkat universiti telah melatih akal untuk sentiasa bekerja keras untuk kekal berdaya saing.

Bagi graduan copy & paste, mereka bakal ditelan arus dan menjadi tidak relevan dengan cepat. Persoalannya, dengan jumlah puluhan ribu graduan universiti tempatan yang keluarkan, adakah sebahagian besar graduan kita tulen atau copy & paste?

DR. EMA IZATI ZULL KEPILIL 
ialah Pensyarah Kanan Kewangan 
dan Ekonomi, Pusat Pengajian 
Pengurusan, Universiti Sains Malaysia.