Ini kerana perhimpunan Pas kali ini diadakan ketika negara dan kalangan politik terutama umat Islam sedang sibuk memperkatakan perlunya diwujudkan kerjasama antara UMNO dengan Pas, dua buah parti politik yang paling dominan dan mempunyai ramai ahli di negara ini.

Seperti kita sedia maklum UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN), dulunya Perikatan yang menggabungkan 13 parti di dalamnya pada satu tempoh agak panjang lebih 60 tahun adalah parti politik yang paling ramai melebihi tiga juta ahli manakala Pas juga dianggotai lebih sejuta ahli di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Dari segi anggota, dua buah parti yang bersama-sama memperjuangkan Islam yang menjadi agama rasmi negara ini dan hak-hak orang Melayu dan kaum bumiputera di tanah air mereka sendiri telah mengatasi lain-lain parti gabungan dengan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

Muktamar kali ini yang akan dirasmikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mencatatkan sejarah buat pertama kali apabila UMNO yang diketuai Presiden baharunya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan bakal mengetuai 10 perwakilan UMNO ke perhimpunan agung bersejarah itu.

Inilah kali pertama muktamar Pas yang berusia 66 tahun sejak pra-merdeka dihadiri perwakilan UMNO secara rasmi walaupun sebelum ini Pas pernah bersama UMNO dalam kerajaan campuran BN pada tahun 70-an semasa Allahyarham Datuk Asri Muda memimpin parti tersebut.

Mungkinkah selepas ini perwakilan Pas pula akan mengha­diri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang biasanya hanya dihadiri oleh parti-parti komponen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak di samping para pemerhati parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara.

Peristiwa ini nanti bakal membayangkan satu imej positif kepada perpaduan Melayu Islam yang banyak diperkatakan selepas kekalahan UMNO-BN di tangan PH dikepalai Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang dilantik menjadi Perdana Menteri ketujuh mengambil alih tempat Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut meletakkan jawatan Presiden UMNO.

Pemilihan Stadium Tertutup Gong Badak terletak di Terengganu sebagai venue muktamar tahun ini dilihat amat kena pada tempatnya memandangkan Pas berjaya menambah satu lagi negeri di samping mengekalkan Kelantan dengan menawan se­mula negeri ‘Kuwait Malaysia’ dan tempat Penyu Bertelur itu daripada BN.

Namun kekalahan UMNO-BN kepada Pas di Terengganu itu tidak pula menghalang usaha bagi merintis jalan untuk mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara kedua-dua pihak. Kerjasama yang dimaksudkan ini tidak bermakna ada parti yang perlu dibubarkan?

Formula yang perlu dicontohi oleh kedua-dua parti terlibat mungkin sama dengan cara UMNO dan parti-parti komponen yang lain menerima Pas dalam kerajaan campuran BN di bawah pemerintahan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dahulu.

Bezanya, kerajaan campuran BN-Pas dahulu semasa UMNO-BN masih memegang tampuk pemerintahan negara berbanding keadaan sekarang adalah UMNO-BN hanya kekal berkuasa di Pahang dan Perlis manakala Pas memerintah Kelantan dan Terengganu.

Apakah persefahaman kali ini juga melibatkan kerjasama di peringkat pentadbiran kerajaan empat negeri yang disebutkan itu? Ia mungkin terlalu awal untuk dibincangkan secara terbuka tetapi tidak mustahil jika perkara ini timbul atau disentuh dalam Muktamar Pas kali ini yang juga dihadiri oleh perwakilan UMNO.

Kata bijak pandai bahawa apabila sejarah berulang, adakah ini bermakna sejarah kerajaan campuran UMNO-BN dengan Pas pada suatu ketika bakal berulang sekali lagi?

PENULIS ialah bekas Pengarang Utusan Zaman.