Menurut Rosli, tidak terlintas langsung untuk menjadi gitaris seumur hidupnya. Apatah lagi, bidang muzik termasuk kerjaya sebagai gitaris bukan menjadi pilihan banyak orang pada ketika itu.

Ini kerana, prospek untuk menjana pendapatan lumayan dan menjamin masa depan melalui petikan gitar juga samar-samar dalam dunia hiburan ketika itu.

Namun, takdir telah menentukan segala-galanya. Semuanya bermula apabila sepupunya, Awang Bakar merupakan orang yang telah bertanggungjawab memperkenalkannya kepada dunia petikan gitar.

“Saya tinggal dengan beliau sejak kecil di rumahnya di Teluk Belangga, Singapura sehinggalah umur saya 30 tahun. Dia yang memperkenalkan saya dengan gitar sejak usia saya 14 tahun lagi. Sejak itu saya bermain gitar hinggalah sekarang,” katanya.

Sepupu beliau yang ketika itu menjadi pengurus sebuah kugiran terkenal di Singapura iaitu The Honey Beats banyak memberinya pendedahan dalam bidang muzik secara lebih meluas.

Sedikit demi sedikit minatnya dalam bidang petikan gitar mula bercambah. Berbekalkan sebuah gitar kapok beliau bersama beberapa orang rakan sekolahnya, Rosli menubuhkan sebuah kumpulan muzik secara suka-suka pada tahun 1969.

Gitar kapok jenama Rossini yang dihadiahkan oleh sepupunya itu sewaktu beliau berusia 14 tahun telah menjadi pengorak langkahnya untuk pergi lebih jauh dalam bidang tersebut.

Kata bapa kepada seorang anak lelaki bernama Muhd. Afiq, 25, meskipun ketika itu dia baru belajar bermain gitar tetapi kumpulannya yang kemudian dikenali sebagai Purple Grass sempat merakamkan latihan dalam bentuk kaset.

Menariknya kata Rosli, rakaman itu masih elok dalam simpanannya hingga ke hari ini. Ketika itu, Purple Grass banyak memainkan semula lagu-lagu kumpulan popular seperti Deep Purple, The Beatles, Led Zappelin, Bee Gees dan Santana.

Minat dan kemahirannya memetik gitar yang semakin terserlah menyebabkan beliau dan kumpulannya sering dijemput mengadakan persembahan di majlis-majlis kenduri kahwin di Singapura.

Namun, dalam usianya yang masih setahun jagung, Rosli tidak lupa akan pelajarannya. Pencapaian akademiknya yang baik menyebabkan beliau diterima melanjutkan pengajian di Nanyang Academy of Fine Art di Singapura pada pertengahan tahun 1970-an.

Rosli melanjutkan pengajiannya dalam bidang Seni Halus di akademi itu sehingga tamat pengajian dengan memperolehi segulung diploma. Sewaktu di akademi itu, beliau sempat bertemu dengan M. Nasir dan S. Amin Shahab yang turut melanjutkan pelajaran di situ.

“Di akademi itu saya banyak belajar bidang lukisan. Tetapi selepas tamat pengajian saya tidak memilih untuk jadi pelukis, sebaliknya meneruskan minat dan cita-cita saya untuk terus bermain muzik dalam kumpulan Purple Grass,” ujarnya.

Selepas itu, beliau meneruskan perjuangannya dalam muzik dengan menubuhkan sebuah lagi kumpulan iaitu Sugar and Spice yang lebih fokus beraksi di kelab-kelab malam di Singapura.

Banyak pengalaman yang diraihnya bersama-sama kumpulan tersebut sehingga ia menambahkan lagi keyakinan Rosli untuk terus mengetengahkan bakatnya dalam bidang muzik.

Ternyata Rosli membuat keputusan yang tepat apabila tidak lama kemudian beliau ditawarkan untuk menyertai kumpulan Sweet Charity bersama beberapa orang anggota asal kumpulan itu termasuk Ramli Sarip dan A. Ali.

Beliau juga berpeluang mera­kam­kan album pertama Sweet Charity pada penghujung tahun 1970-an bertajuk Sweet Charity dan tujuh lagi album bersama kumpulan rock tersebut.

Antara album yang dirakamkannya bersama Sweet Charity bertajuk Sejuta Wajah, Penunggu, Batu, Berita Gempa dan Pelarian yang menjadi kegilaan peminat rock pada era tersebut.

Bagaimanapun, selepas lebih 30 tahun melupakan begitu sahaja bidang seni lukisan yang pernah dipelajarinya di Nanyang Academy of Fine Art, beliau yang masih mengekalkan imej berambut panjang hingga ke paras bahu akhirnya mendekati juga bidang tersebut.

Kilauan dan keunikan batu kristal yang sering terlihat pada tudung dan pakaian antara lain telah memberi inspirasi kepadanya untuk menghasilkan satu karya seni kreatif itu sejak empat tahun lalu.

Ujarnya, ia suatu pendekatan berbeza yang cuba digunakannya dalam mengolah seni kristal dengan menghasilkan produk dalam bentuk berbingkai seperti potret dan lukisan.

Beliau kini bukan sahaja masih meneruskan kerjayanya sebagai gitaris Sweet Charity tetapi pada masa sama turut mempergiatkan lagi bakat serta kerjaya baharunya dalam bidang lukisan.

Ternyata, Rosli masih juga belum terlambat untuk membuat suatu penghasilan seni kristal yang memerlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi untuk menyiapkannya.

“Saya merintis satu karya baharu gabungan seni kristal dan tulisan kaligrafi termasuk seni khat kufi bagi menyerlahkan gaya tulisan itu yang sebelum ini kelihatan statik dan kurang menarik perhatian para peminat seni.

“Hasil gabungan itu dapat menjadikan sesebuah tulisan itu lebih cantik serta menarik minat orang ramai untuk melihatnya terutama apabila ia disinari cahaya. Kita akan cuba mengkomersialkan karya ini dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut Rosli, sekiranya karya seni kristal itu mampu menjana pendapatan yang lumayan, beliau akan cuba menerokai bidang itu dengan lebih jauh lagi.

Pejuang muzik rock sejati ini pernah menjual sebuah potret eksklusif pada harga RM15,000 sebuah pada tahun lalu dan ada juga seni kaligrafinya yang berjaya dijual sekitar RM2,500.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa ini beliau sedang dalam proses menghasilkan sebuah buku autobiografi tentang perjalanan hidup dan kerjayanya sebagai gitaris bertajuk Perjalanan Muzik Rock - Rosli Mohalim.

Buku yang mengandungi 112 muka surat dan akan dijual dengan harga RM88 itu ditulis bersama seorang penulis dari Singapura, Azlan Mohamed Said dan akan berada di pasaran tidak lama lagi.

SEBAGAI pemain gitar, Rosli Mohalim merupakan ikon dalam industri muzik tanah air. Beliau dikategorikan sebagai ‘legenda yang masih hidup’ dalam bidang itu.

Malah, gitaris berasal dari Singapura dan kini telah 15 tahun menjadi pemastautin tetap di negara ini, juga ada kelasnya yang tersendiri.

Pengalamannya bermain gitar sejak berusia 14 tahun banyak membantu meningkatkan kerjayanya itu. Kini pada usia 61 tahun, Rosli masih bermain gitar. Gitaris kumpulan rock legenda Sweet Charity ini juga tidak pernah berpisah daripada gitarnya sejak 47 tahun yang lalu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan beliau merupakan pemain gitar yang paling lama bertahan dan paling senior dalam persada hiburan tempatan.