S. A. VIGNESWARAN
S. A. VIGNESWARAN

Kini tibalah giliran satu lagi parti komponen BN, iaitu MIC mengadakan proses pemilihan dalaman parti, bermula daripada cawangan, bahagian, negeri dan pusat.

Mesyuarat-mesyua­rat ca­wa­­­ngan dan pro­ses pemilihan pe­ring­kat cawangan MIC telah pun berlangsung dalam pertengahan Jun. Nampaknya proses ini berjalan lancar. Proses pemilihan dalaman MIC ini diteruskan de­ngan pemilihan presiden parti.

Cara pemilihan MIC ini unik sedikit dan berlainan daripada proses pemilihan parti lain. Pemilihan presiden parti dijalankan berasingan. Pemilihan ini dijalankan sebelum pemilihan untuk merebut jawatan-jawatan lain dalam parti diadakan.

Setiausaha Agung MIC telah pun mengeluarkan notis pe­ngumuman pemilihan presi­den, yang mana pencalonan presiden akan diadakan pada Sabtu ini (14 Julai) dan jika ada pertandingan proses pengundian akan diadakan pada 29 Julai.

Mengikut perlembagaan MIC, seseorang calon yang ingin mere­but kerusi presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 250 pencalonan. Setiap pencalonan perlu dicadang dan disokong oleh dua orang yang harus terdiri daripada ke­tua cawangan atau ahli jawatankuasa kerja pusat.

Sekiranya ada per­tandingan, pre­siden parti akan dipi­lih oleh 10 orang ahli jawatankuasa (AJK) daripada se­tiap ca­wangan de­ngan cara mengundi.

Setakat ini, Naib Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran telah menawarkan diri untuk merebut jawatan presiden parti. Penampilan beliau adalah berdasarkan kenyataan presiden parti, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, bekas Menteri Kesihatan, bahawa beliau tidak akan me­rebut jawatan presiden dalam pemilihan akan datang. Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas PRU-14.

Vigneswaran ialah seorang yang berjiwa rakyat, mesra, se­nang didampingi, prihatin dan lebih-lebih lagi mempunyai suatu visi yang lebih cerah untuk MIC.

Penulis percaya ketokohan dan gaya kepimpinan yang te­lah dipamerkan oleh beliau selama ini dapat meyakinkan beliau untuk terus memimpin parti ini ke era yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Walau apa pun yang berlaku, bakal presiden parti MIC yang dipilih itu akan memikul satu tanggungjawab yang sangat berat. MIC adalah antara parti yang telah menyertai gagasan kemerdekaan bersama UMNO dan MCA untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Maka, MIC dianggap sebagai parti ‘ibu’ kepada ma­syarakat India negara ini. Kecundangnya BN dalam PRU-14 dianggap sebagai kehancuran MIC oleh sesete­ngah pihak. MIC perlu bangkit semula, walaupun dalam barisan pembangkang, ia masih mampu dan boleh berjuang dan bersuara untuk hak dan pembangunan masyarakat India dalam negara ini secara khususnya dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya.

Antara peranan yang dapat dilakukan oleh bakal presiden MIC untuk membangunkan dan membangkitkan semula parti MIC adalah:

* Mengatur strategi daripada akar umbi supaya pemimpin-pemimpin parti itu daripada peringkat cawangan, bahagian serta negeri dapat mendekati, bersuara dan prihatin dengan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum India dan sentiasa memberikan bantuan dan perkhidmatan kepada mereka yang sangat memerlukan tanpa mengira latar belakang dan kedudukan.

* Menggerakkan jentera parti su­paya mendekati golongan muda atau Generasi Y, dengan cara yang lebih terbuka, inklusif serta berinteraksi secara personal yang sesuai untuk golo­ngan muda ini.

* Merangka program bagi me­nanam ideologi dan matlamat perjuangan parti MIC yang telah dilakukan selama ini serta peranan yang telah dimainkan oleh parti ini bagi kemajuan dan kemakmuran negara ini sepanjang masa untuk membersihkan persepsi buruk yang mungkin tertanam dalam kalangan anak-anak muda ini.

* Memperbetulkan persepsi kaum India terhadap parti MIC dan menjadikan peranan dan pengalaman yang telah dilalui oleh parti ini sebagai satu iltizam untuk bangun semula.

* Menyusun semula struktur parti bermula daripada akar umbi, yang mana penyusunan dan penstrukturan semula pe­ringkat cawangan dilakukan supaya setiap cawangan mempunyai peranannya dan tanggungjawabnya untuk mewakili dan berjuang untuk ahli dan masyarakat, diikuti de­ngan pe­ringkat bahagian dan negeri yang mana pucuk pimpinan bahagian dan negeri perlu terdiri daripada individu-individu yang mempunyai visi, misi, berfikiran li­beral, berpendidikan tinggi ser­ta mempunyai jiwa rakyat dan perasaan berjuang.

Pastinya bukan mudah bagi bakal presiden MIC untuk me­nerajui dan mengetuai parti ini menuju satu perjuangan yang bersifat lebih inklusif, bersosialis dan bersistematik.

PENULIS ialah Timbalan Ketua MIC Bahagian Larut, Perak.