Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

GIGIH PROMOSI MALAYSIA

Uzaidi Udani (tiga dari kiri) mempromosikan MI TA Travel Fair 2017. 3
Uzaidi Udani (tiga dari kiri) mempromosikan MITA Travel Fair 2017.

KECINTAANNYA kepada industri pelancongan negara bagaikan irama dan lagu tidak dapat dipisahkan dari Presiden Malaysia Tourism Council (Majlis Pelancongan Malaysia) Uzaidi Udanis, 52.

Sebagai bukti, Uzaidi yang juga Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) sanggup melupakan sementara kemeriahan berhari raya bersama keluarga tersayang, sebaliknya memilih untuk berhari raya bersama para pelancong di Dataran Merdeka, pada pagi 1 Syawal, tahun ini.

Selepas bersembahyang Hari Raya di Masjid Negara, Uzaidi bersama kakitangan MITA akan mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama para pelancong yang sudah menanti di Dataran Merdeka selain mengagihkan kuih muih dan duit raya.

 

Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pelancong di Dataran Merdeka ini berkonsepkan pakaian tradisi Melayu selain menggalakkan pelancong turut memakai baju Melayu, bersamping dan bersongkok selain berbaju kurung atau kebaya bagi pelancong wanita.

“Selepas sambutan hari raya bersama pelancong di Dataran Merdeka barulah saya balik kampung berhari raya bersama keluarga pula,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

UZAIDI mengakui, hampir sebahagaian besar hidupnya sejak 32 tahun lalu telah diabadikan terhadap dunia pelancongan yang amat dicintainya sejak kembali dari Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1985, sebaik memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Kewangan dari Indiana State University.

“Saya tidak berpeluang makan gaji macam rakan-rakan yang lain bersama menuntut dengan saya di AS. Sejak balik sampai sekarang tiada pekerjaan lain saya lakukan kecuali berkaitan industri pelancongan,” cerita Uzaidi tersenyum.

Uzaidi telah dilantik sebagai Presiden Majlis Pelancongan Malaysia yang baharu setelah menang tanpa bertanding dalam pemilihan tersebut yang diadakan dalam mesyuarat agung tahunan MTC baru-baru ini. Sebelum ini Uzaidi memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung MTC.

Proses peralihan kepimpinan MTC daripada Mantan Presiden MTC untuk tahun 2015-2017, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang juga Exco Pelancongan Negeri Pahang berjalan lancar apabila semua ahli gabungan memberikan sokongan penuh kepada barisan kepimpinan baharu yang dipilih.

Majlis Pelancongan Malaysia (Malaysia Tourism Council) atau dahulunya dikenali sebagai Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia (NTCM) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang aktif dalam membangunkan industri pelancongan negara dan mempunyai ahli di seluruh negara merangkumi organisasi profesional yang pakar dalam bidang pelancongan.

Menurut Uzaidi, tujuan penubuhan Malaysia Tourism Council ialah menjadi badan perundingan mengenai semua hal berkaitan dengan pelancongan selain menjadi badan penyatuan semua badan sukarela pelancongan.

“MTC yang dulunya dikenali sebagai Majlis Pelancongan Kebangsaan Malaysia terus mengorak langkah mempelbagaikan inisiatif memperkasakan pelancongan negara,” katanya.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam industri pelancongan negara, Uzaidi menambah segala-gala bermula ketika beliau pulang dari menuntut dari Indiana State University di AS.

“Ketika itu ekonomi negara meleset. Ramai pelajar universiti yang menganggur termasuklah saya dan rakan-rakan yang baru pulang dari AS,” ceritanya panjang lebar.

Namun begitu, Uzaidi melihat kehidupan dari sudut perspektif lain. Walaupun kemelesetan ekonomi sedang melanda dunia tetapi kehidupan mesti diteruskan. Malah beliau melihat aktiviti pelancongan berpotensi besar untuk dimajukan di sebalik kegawatan ekonomi itu.

Lantas Uzaidi terfikir mengapa beliau tidak mengundang sahabat-sahabatnya yang pernah belajar bersama-samanya di Indiana State University di AS supaya melawat Malaysia bagi menjana ekonomi dirinya dan negara.

Beliau lalu menghubungi sahabat seuniversitinya menjemput mereka datang melawat negara ini kerana kosnya yang masih rendah dan menjimatkan. Hasil susulan promosi dalam kalangan rakan-rakannya di AS, beliau berjaya membawa sekumpulan bekas pelajar itu melawat Malaysia.

Antara tempat-tempat menarik yang dibawa Uzaidi ialah Taman Negara di Kuala Tahan di Jerantut Pahang yang masih kaya dengan flora dan faunanya yang belum terusik selain keindahan eksotik pelbagai mergastua, dan hutan hujan berusia jutaan tahun. Uzaidi cuba memberi gambaran bahawa aktiviti pelancongan di Malaysia sebagai eksotik, seksi dan menghairahkan untuk dilawati lantaran memiliki keunikan tersendiri.

Bermula dari situlah, beliau menubuhkan syarikatnya Vacasia Travel yang diasaskannya dengan modal permulaan sebanyak RM200,000. Uzaidi menceritakan, ketika itu tidak ramai agensi pelancongan berdaftar dan Vacasia Travel telah diberi kepercayaan oleh kerajaan menguruskan tiket penerbangan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di AS.

Uzaidi masih ingat era 1980-an hanya terdapat kira-kira 400 ejen pelancongan berdaffar dan Vacia Travel diberi nombor pendaftaran ke-455. Tidak lama kemudian, sekitar tahun 1986, barulah Tourism Malaysia atau Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia ditubuhkan, di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Tourism Malaysia ditubuhkan khusus bagi menyemarakkan lagi aktiviti pelancongan di negara ini yang diberi tugas utama mempromosi Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan.

Setelah menceburi bidang pelancongan selama 32 tahun, barulah Uzaidi faham bahawa sektor pelancongan ini begitu sensitif terhadap pelbagai isu dan persekitaran yang sering berubah-ubah sehingga memberi kesan kepada kedatangan pelancong.

“Misalnya negara pernah mengalami masalah jerebu dan dilaporan begitu meluas sehingga menjejaskan kehadiran pelancong. Bila dengar ada jerebu pelancong takut nak datang ke sini sebab kita uar-uarkan bacaan indeks pencemarannya tidak sihat.

“Tapi, kalau kita pergi ke Beijing, di sana masalah jerebu lagi dahsyat. Bukan lagi soal habuk tetapi jerebu bahan kimia dari kilang dan pembakaran arang batu. Tapi kerana isu itu tidak diberi liputan meluas, pelancong tidak kisah,” katanya.

Katanya, kemerosotan dalam ketibaan pelancong dan resit pelancongan itu turut dikaitkan dengan kelembapan dan cabaran ekonomi global seperti banjir terburuk dalam tempoh 30 tahun lepas, yang menjejaskan beberapa negeri di Pantai Timur Malaysia pada awal 2015, gempa bumi di Ranau, Sabah pada Jun 2015, nasihat perjalanan serantau bagi kawasan Tenggara Pantai Sabah selain kesan insiden pesawat MH370 dan MH17.

Uzaidi memberitahu, MITA masih meneroka pelancongan baharu terutama dalam segmen eko-pelancongan iaitu aktiviti eksplorasi gunung, gua dan pulau-pulau yang unik dan indah untuk tatapan masyarakat dunia.

“Sebagai contoh, Pulau Sembilan di Bagan Datuk di Perak dan Gua Merapoh di Kuala Lipis di Pahang masih mengekalkan keindahan semula jadi.Terdapat ratusan gua-gua cantik di situ yang masih misteri. Dari Merapoh, kira-kira 10 minit perjalanan, pelancong boleh bermain-main dengan ikan kelah jinak,” beritahunya.

Sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini, Uzaidi gembira kerana negara telah diiktiraf dengan pelbagai anugerah pada 206 seperti ‘Best Golf Destination in Asia’ bagi dua tahun berturut-turut oleh World Golf Awards 2015; majalah Travel + Leisure menganugerahkan Malaysia sebagai ‘Best International Destination - Food and Drink 2014’ pada April 2015.

Selain itu katanya, Malaysia turut menjadi bandar raya membeli-belah kedua popular di dunia bagi pelancong Muslim oleh Muslim Travel Shopping Index 2015 dan ‘Top 10 Best Travel Destinations for 2016’ oleh Lonely Planet.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain