Selain itu, turut dijalankan kempen World #QuranHour sejak dua tahun lalu pada setiap 9 Zulhijah. Kali ini aktiviti berkenaan bakal diadakan pada 31 Ogos di seluruh dunia termasuk Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Kebanyakan orang mungkin menganggap kempen itu sekadar mengajak umat Islam memba­ca al-Quran. Bagaimanapun, bagi pengasas Yayasan Wa­risan Ummah Ik­hlas (WUI), Datuk Hus­sa­muddin Yaacub yang telah mencetuskan idea ini, kempen itu mempunyai matlamat lebih besar.

Menjelaskan mengenai sejarah kempen berkena­an, beliau ber­kata, idea itu tercetus kira-kira lima tahun lalu berdasarkan pe­ngalamannya sendiri yang mendapati ramai umat Islam tidak pandai membaca al-Quran.

“Ketika itu, saya sendiri tidak pandai mengaji al-Quran walaupun anak seorang ustaz. Me­nyedari kekurangan diri maka saya telah ke Indonesia untuk belajar membaca al-Quran.

“Apabila pulang ke Malaysia, saya berasa terpanggil untuk membantu ramai individu lain dengan kerjasama pelbagai pihak dengan mewujudkan pusat-pusat pengajian al-Quran percuma yang kita namakan Rumah Ngaji,” katanya kepada Utusan Malaysia di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Idea itu kemudiannya dikembangkan dengan mewujudkan lima jenis kempen iaitu Malaysia #QuranHour, World #QuranHour, My Com­munity #QuranHour, My Family #QuranHour dan My #QuranHour.

Hussamuddin yang juga Pe­ngarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf menjelaskan, semua kempen itu bermatlamat mengga­lakkan seramai mungkin umat Islam untuk sentiasa berinteraksi dengan al-Quran iaitu membaca, memahami dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam kitab suci itu.

“Peringkat keluarga selama sejam setiap minggu, komuniti sejam setiap bulan, Malaysia dan dunia setahun sekali dan individu sejam sehari.

“Bagi saya kempen ini lebih sesuai dirujuk sebagai satu gerakan atau gelombang perubahan ummah secara besar-besaran yang harus didukung oleh sesiapa sahaja yang ada keinsafan untuk menggalakkan umat Islam rapat dengan al-Quran dan bukan setakat didengar ketika musabaqah.

“Impak paling besar daripada kempen ini adalah untuk melahirkan individu yang mempunyai kerangka fikir, jiwa, cara hidup dan keperibadian yang berlandas al-Quran,” katanya.

Tegas beliau, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila kebanyakan umat Islam hanya dilahirkan sebagai Muslim tetapi tidak benar-benar memahami kandungan al-Quran.

“Mereka hanya menjalankan ibadah yang bersifat ritual. Sebab itu kita tengok, sebahagian ulama kita asyik bergaduh. Nak menyesatkan orang itu dan orang ini. Kalau orang Islam asyik nak menyesatkan sesama sendiri, macam mana kita nak bersatu.

“Perkara asas pun masih tidak betul. Nak masuk masjid letak kenderaan tak tentu hala, selipar berselerak dan tandas kotor. Kita kena tukar ekosistem ini supaya majoriti umat Islam faham al-Quran betul-betul dan berpegang kepada nilai-nilai disiplin serta akhlak mulia.

“Saya yakin jika semua pihak termasuk ahli politik dan tokoh korporat memberi sokongan kepada kempen ini mengikut kemampuan masing-masing, dalam tempoh 10 tahun akan datang, umat Islam akan bersatu tanpa mengira parti, menolak rasuah dan bekerja lebih rajin.

“Bagi saya inilah penyelesaian, bila semua orang Islam boleh baca, faham dan amalkan al-Quran, 90 peratus daripada masalah sosial seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penagihan dadah akan selesai. Sekarang di seluruh dunia wujud Islamofobia atau sikap membenci Islam kerana mereka melihat sendiri perangai orang Islam yang buruk,” ujarnya.