Perlu ditekankan, kemala­ngan berlaku di perairan yang agak sibuk ketika USS McCain sedang menuju ke Pangkalan Laut Changi sebagai persinggahan logistik berjadual.

Perjanjian kerjasama pertahanan di antara AS dan Singapura bukan sahaja membenarkan aset ketenteraan milik AS menggunakan kemudahan Pangkalan Laut Changi tetapi juga Pangkalan Udara Paya Lebar.

Jika dikaitkan dengan faktor strategik terutama sekali berkaitan dengan kemelut Semenanjung Korea, ia adalah satu tamparan le­bih-lebih lagi kemalangan berlaku selepas satu lagi kapal pemusnah USS Fitzgerald berlanggar dengan kapal dagang ACX Crystal berhampiran perairan Jepun pada Jun lalu.

Mengapa kedua-dua kemala­ngan tersebut dianggap strategik kerana USS McCain dan Fitzgerald adalah kapal pemusnah dari Armada ke-7 Tentera Laut AS (USN) yang berpangkalan di Yokosuka, Jepun. Armada ke-7 USN tersebut adalah tulang belakang kekuatan tentera AS berhadapan dengan ancaman Korea Utara.

Malah kemalangan tersebut sedikit sebanyak telah mencacatkan impak latihan ketenteraan Ulchi Freedom Guardian yang sedang berlangsung di antara AS dan Korea Selatan antara lain bertujuan mempamerkan pertahanan ampuh di antara kedua-dua sekutu dalam menghadapi retorik Kim Jong-un.

Ekoran kemalangan USS Fit­z­gerald dan McCain, Ketua Operasi USN Laksamana John Richardson mengeluarkan arahan dikaji semula operasi semua kapal milik USN yang menggambarkan ada yang tak kena dari segi kecekapan operasi mereka.

Mungkin ada hikmah dari kedua-dua kemalangan tersebut kerana harapannya ketegangan Semenanjung Korea dapat dikendurkan seketika kerana walaupun ancaman masih berbentuk retorik tetapi jika tak dikawal peperangan boleh meletus. Jika ini berlaku ia bukan sahaja membebankan negara terdekat seperti Korea Selatan dan Jepun tetapi juga rantau Asia Tenggara.

Tetapi agak terkilan juga rakyat Malaysia apabila membaca berita terutama sekali dari media antarabangsa mengenai kemalangan USS McCain kerana sebahagian besarnya merujuk kepada lokasi kejadian berhampiran perairan Singapura. Kemungkinan terdapat sedikit kekeliruan kerana USS McCain sedang menuju ke Changi dan sebab itu juga digunakan ung­kapan perairan Singapura.

Sebenarnya kemalangan berlaku dalam perairan Malaysia ke­rana jarak terdekat lokasi kejadian dengan pantai Johor di Teluk Ramunia hanyalah 8 kilometer (km) sementara dari pantai Singapura pula ialah hampir 60 km jaraknya. Mungkin ada pihak yang akan mempersoalkan ungkapan perairan negara mana adalah perkara remeh dan yang pen­ting adalah usaha SAR itu sendiri.

Hakikatnya, lokasi kemalangan adalah kritikal ditentukan secara sahih kerana lazimnya mengikut perundangan antarabangsa negara yang mempunyai kedaulatan terhadap perairan tersebut akan bertindak sebagai ketua atau penyelaras operasi SAR.

Dalam setiap operasi SAR dan dalam hal ini yang melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan AS, koordinasi adalah kritikal terutama sekali melibatkan kemalangan maritim.

Sebab itu juga operasi mencari pesawat MH370 di selatan Laut­an Hindi oleh tiga negara dike­tuai oleh Australia bukan kerana sebahagian penumpang pesawat berasal dari negara tersebut tetapi kerana Australia adalah negara terdekat dengan kawasan pencarian.

Tetapi ketika dua minggu pertama SAR MH370 dilaksanakan di Laut China Selatan yang turut disertai oleh 26 negara, koordinasi SAR dipertanggungjawabkan kepada Malaysia.

Sebab itu operasi SAR USS McCain sebenarnya diketuai oleh Malaysia melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). Tetapi jika diperhatikan laporan media antarabangsa seolah-olah operasi itu dilakukan oleh AS dan dibantu Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Mengapa isu negara yang bertanggungjawab sebagai koordinasi untuk SAR USS McCain penting diperbetulkan beritanya adalah seperti mana SAR MH370 yang dilakukan di Laut China Selatan dianggap begitu sensitif kerana isu tuntutan bertindih sempadan maritim, begitu juga dengan kes kawasan SAR USS McCain berhampiran dengan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dianggap begitu sensitif terutama bagi Malaysia dan Singapura.

Malaysia melalui Maritim Malaysia mempunyai kemampuan mengetuai operasi SAR kerana ini bukan kali pertama agensi tersebut terlibat dalam operasi sedemikian rupa. Kecuali jika sesebuah negara tidak mempu­nyai kemampuan seperti yang berlaku dalam operasi SAR pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009.

Sepatutnya Brazil yang me­ngetuai operasi SAR kerana negara tersebut paling hampir dengan kawasan terhempas, tetapi Perancis mengambil alih peranan kerana mempunyai kelebihan kemampuan teknikal.

Tetapi mengambil kira faktor iktibar operasi SAR USS McCain walaupun kawasan pencarian adalah begitu sensitif tetapi ini tidak menghalang Malaysia, Indonesia, Singapura dan AS untuk bekerjasama demi anak kapal yang belum diketahui nasib mereka.

Semangat kerjasama seperti ini juga terbentuk ketika operasi SAR MH370 di Laut China Selatan di mana bukan sahaja persengketaan tuntutan bertindih antara Malaysia dan Vietnam dilupakan buat seketika tetapi juga pertembungan dua kuasa besar AS dan China juga turut dikendurkan pada ketika itu.