Masakan tidak, kes-kes rasuah melibatkan sejumlah wang besar yang didedahkan dalam media massa cukup membimbangkan. Jumlah ini pula berkait rapat dengan wang rakyat. Ya, benar seseorang itu masih belum bersalah selagi belum didapati bersalah, namun dengan wang yang begitu banyak ditemukan, maka sudah tentu ada penyangak di sebaliknya.

Dalam hal ini, mungkin sudah sampai masanya juruaudit dalaman diberikan peranan yang lebih luas dan lebih bebas dalam hal ehwal kewangan dan bukan kewangan di sesebuah organisasi. Dengan kata mudah, jika menjumpai sebarang kes melibatkan penyelewengan dan rasuah, mereka sewajarnya diberikan kebebasan untuk mendedahkan kepada pihak berkuasa tanpa rasa bimbang ditekan oleh mana-mana pihak.

Pada masa sama, juruaudit dalaman tetap menjalankan tugas mereka untuk melihat kecekapan, keberkesanan operasi sesebuah organisasi selain mengaudit hal-hal kewangan dan bukan kewangan yang lain. Struktur juruaudit dalaman perlu lebih jelas untuk melaporkan kepada pihak yang bebas dalam sesebuah organisasi. Misalnya, bagi syarikat senaraian awam, mereka perlu melaporkan sebarang isu kewangan mahupun bukan kewangan kepada jawatankuasa audit yang mestilah terdiri daripada mereka yang tidak terlibat dalam operasi syarikat. Dengan kata lain, mereka ini mestilah terdiri daripada ahli lembaga pengarah bukan eksekutif.

Bagaimana pula bagi organisasi lain? Juruaudit dalam­an juga perlu bebas melaporkan kepada pihak yang tidak terlibat dengan operasi organisasi tersebut. Ini bagi membolehkan mereka dapat menyatakan sesuatu isu yang timbul dengan lebih terbuka tanpa rasa bimbang dikenakan sebarang tekanan. Hal ini cukup penting kerana juruaudit dalaman lebih mengetahui hal ehwal sesebuah organisasi berbanding juruaudit luar yang lebih memberi penekanan terhadap aspek kewangan organisasi.

Sekiranya pihak pengurusan tertinggi termasuklah ahli lembaga pengarah masih tidak mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap sesuatu isu yang ditimbulkan, maka, juruaudit dalaman sewajarnya diberikan kebebas­an untuk melaporkan isu tersebut kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berkait dengan gejala rasuah. Kerjasama erat antara juruaudit dalaman dan SPRM akan mengukuhkan lagi tahap etika dalam sesebuah organisasi.

Sudah tentulah setiap pihak akan sedaya upaya ber­tingkah-laku secara beretika jika juruaudit dalaman diberikan kebebasan untuk memainkan peranan mereka secara berkesan. Lagipun, SPRM memerlukan sokongan pihak lain terutamanya juruaudit dalaman yang berada di barisan hadapan dalam hal ehwal kewangan dan bukan kewangan sesebuah organisasi.

Sememangnya penerapan budaya beretika yang tinggi bukan setakat melibatkan aspek siasatan, dakwaan dan tindakan undang-undang semata-mata tetapi juga dalam menyedarkan masyarakat agar bertingkah-laku secara beretika dan membenci gejala rasuah dan penyelewengan. Hal ini boleh dilakukan jika generasi muda terutamanya yang masih kanak-kanak lagi dididik supaya beretika dan tidak melakukan sebarang penipuan yang boleh menjurus kepada penyelewengan dan rasuah ketika dewasa kelak.

Di sini peranan ibu bapa cukup penting. Usah sesekali memberi contoh yang tidak baik. Jika anak-anak melihat ibu bapa menipu mereka juga akan belajar untuk menipu.

Pada masa sama, anak-anak kecil tidak patut didedahkan dengan sikap materialistik, berkiblatkan wang dan harta. Sikap ini hanya akan menyebabkan cenderung mementingkan diri sendiri. Sikap materialistik dan mementingkan diri ini akan memudaratkan generasi masa hadapan Malaysia. Lebih-lebih lagi, dikhuatiri akan mendorong kepada tingkah laku rasuah dan penyelewengan.

Anak-anak kecil perlu dididik bahawa kedua-dua tingkah laku rasuah dan penyelewengan adalah kesalahan jenayah dan bukanlah sekadar masalah sosial. Justeru, kedua-dua sikap buruk ini perlu dijauhi.

Transformasi Nasional 2050 (TN50) wajar memberi penekanan terhadap aspek ini agar dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja sejahtera tetapi juga beretika dan tidak sesekali terlibat dengan gejala rasu­ah dan penyelewengan. Ini mengingatkan penulis akan sebahagian bait awal lagu, Bukan Propaganda, nyanyian duet Syamsul Yusof dan Mawi seperti berikut.

Ramai manusia yang tersilap sangka

Ketenangan hidup hadir dari harta

Harta, kuasa bukan segalanya

Harta, kuasa tidak semestinya

Insan bahagia, tenang jiwanya

Tolonglah, oh Tuhanku

Salah sangka terhadap harta dan kuasa sebagai segala-galanya dalam kehidupan manusia terma­suklah dalam aspek ketenangan hidup perlu diubah. Dibimbangi salah sangka ini akhirnya menyebabkan kemudaratan kepada masyarakat sehingga sanggup terlibat dalam penyelewengan dan rasuah. Hanya untuk merealisasikan impian kononnya harta dan kuasa boleh memberi ketenangan jiwa meskipun diperoleh dengan cara yang salah iaitu melalui penyelewengan dan rasuah.

Kecualilah, harta dan kuasa diperoleh dengan cara yang betul dan digunakannya juga dengan betul berlandaskan undang-undang dan ajaran agama Islam, maka, ketenangan jiwa insya-Allah boleh hadir dan dinikmati. Dalam hal ini, masyarakat TN50 perlu dibentuk mulai sekarang menjadi generasi harapan yang menolak rasuah dan penyelewengan dengan sepenuh hati dan jiwa mereka bagi merealisasikan masyarakat sifar rasuah menjelang 2050.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.