Menyelak kembali menjelang PRU Ke-13, gendang perang PRU ‘dipalu’ semasa Perhimpunan Agung UMNO 2012. Ketika itu, perhimpunan membulatkan ke­azaman dan keyakinan parti untuk mendapat mandat besar dalam PRU. Ikrar taat setia, doa dan sumpah bergema di Dewan Merdeka. Najib ketika menggulung perbahasan juga percaya majoriti dua pertiga pasti menjadi milik Barisan Nasional (BN) dengan syarat semua anggota UMNO dan parti komponennya sepakat menyokong calon yang dipilih pucuk pimpinan. Presiden UMNO itu juga percaya pakatan pembangkang tidaklah sekuat mana tetapi cuma yang dikhuatirkan adalah persengketaan dalam isu pilihan calon. Mungkin anggota parti khususnya perwakilan masih ingat soalan cepumas Najib untuk difikirkan oleh anggota UMNO dan BN iaitu sama ada mereka menyokong sepenuhnya calon pilihan parti, sokong sahaja, tidak bekerja, sabotaj dan lompat parti. Jawapan bagi soalan itu ialah ‘’kalau saya tidak dipilih sebagai calon, saya tetap akan sokong sepenuhnya calon UMNO dan Barisan’’. Jika itu jawapannya, beliau percaya dua pertiga akan menjadi milik BN pada PRU berikutnya (2013). Lima bulan selepas perhimpunan itu, PRU diadakan dan keputusannya UMNO berjaya menambah kerusi iaitu 88 berbanding PRU sebelum itu pada 2008 sebanyak 79 kerusi. Bagaimanapun secara keseluruh­an, BN gagal mengekalkan 140 kerusi yang dimenangi sebelum itu sebaliknya hanya menang 133.

Maknanya, parti komponen gagal mempertahankan apa yang ada. Di mana silapnya? Salah siapa? Adakah kerana calon yang dipilih tidak mendapat sokong­an sepenuhnya, parti tidak be­kerja atau sabotaj? Adakah pa­katan pembangkang ketika itu benar-benar kuat sehingga mampu ‘mencuri’ tujuh kerusi? Jika calon pilihan (selain UMNO) tidak mendapat sokongan, kali ini eloklah parti komponen duduk berbincang bukan setakat mahu memenuhi kuota tetapi melihat sejauh mana, kemenangan dapat menyumbang kepada keputusan memperoleh majoriti dua pertiga. Adakah untuk sementara ini, parti yang gagal menyerlah bertolak-ansur dalam isu pembahagian kerusi, bukannya membuat tuntutan itu dan ini. Jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.

Jika UMNO sudah ‘pulih’ se­per­ti kata Najib, “bagai rambut tersimpul mati, tiada lagi masalah dalaman UMNO”, maka mungkin peluang itu diberi kepada UMNO. Semangat dan iltizam yang terbentuk semasa perhimpunan lalu harus diterjemahkan sehingga PRU akan datang. Jangan apabila sampai ketikanya, keadaan berubah. Kemungkinan itu ada kerana siapa tahu hati budi seseorang? Bukan sesuatu yang luar biasa apabila di dalam sesebuah organisasi akan ada musang berbulu ayam, gunting di dalam lipatan, api dalam sekam, musuh di dalam selimut atau pepat di luar rencong di dalam.

Justeru, seperti ditegaskan Najib, kesetiaan itu amat penting. Meminjam kata-kata Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan semasa perhimpunan pada tahun 2012, beliau menegaskan ketaatan dan kesetiaan adalah satu perkara yang wajar malahan wajib untuk diikuti dan dilaksanakan. Terima segala bentuk keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin parti mengenai hal-hal yang berkaitan dengan pilihan raya sama ada tugas, tanggungjawab yang harus dilakukan ataupun ia berkaitan dengan soal pemilihan calon dan juga kawasan-kawasan pilihan raya yang ditetapkan untuk setiap kompo­nen parti. Elok juga kita renung tujuh Rukun Kemenangan yang digariskan Muhyiddin ketika itu, iaitu patuh kepada pemimpin, atur strategi dengan tepat, fahami peranan dan tanggungjawab, kenali siapa musuh, kejapkan perpaduan, bersiap siaga dan berjuang habis-habisan.

BN khususnya UMNO sudah tentu tidak mahu rekod PRUmerudum. Kembalikan sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga. Sambil me­ngakui solidariti di dalam UMNO semakin baik berbanding pada tahun lalu, parti itu juga tidak boleh alpa dengan kehadiran musuh-musuh baharu politik walaupun penegasan yang diberi sama ada pilih BN atau DAP. Pas mungkin membawa diri, tanpa mempedulikan serpihannya, Amanah. Pada masa yang sama, masih timbul persoalan sejauh mana pula Pas mampu bekerjasama dengan PKR yang tetap setia dengan DAP. Sejauh mana pula kehadiran parti baharu pimpinan Dr. Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin mampu menggugat kerusi UMNO? Jika parti jadi keutamaan dan pilihan, UMNO tidak berha­dapan dengan masalah. Lebih mudah untuk menghadapi bekas pemimpin UMNO ini disebabkan kerjasama yang terjalin dengan DAP melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Anggota UMNO tentunya ma­sih ingat bagaimana pemim­pin-pemimpin ini pernah ‘membe­lasah’ DAP ketika mereka masih berbaju UMNO dan BN. Dulu mereka pernah berkata, Pas menjadi kuda tunggangan DAP, kini apa sudah jadi? Jika dulu mereka menganggap PKR dan DAP sebagai rasis tetapi hari ini mereka sudah berada di pentas yang sama. Begitulah politik. Mungkin ini boleh dijadikan senjata untuk menghadapi PPBM. Selaklah semula kenyataan pemimpin PPBM sebelum ini khususnya berkaitan DAP. Hasilnya, orang Melayu khususnya boleh membuat penentuan sama ada mereka pilih BN atau DAP.