Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Gempar DAP `menjadi’, PRN tergempar tidak terjadi

Keratan Selak Utusan Malaysia 25 Julai 2016
Keratan Selak Utusan Malaysia 25 Julai 2016

MINGGU lepas, Selak tidak muncul kerana teks asal yang dibuat lebih awal membincangkan soal bagaimana seriusnya DAP mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang. Dalam erti kata lain DAP khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng bukan melawak atau gempak (utara baca gempaq).

Ketika itu, DAP memang kalut untuk mengadakan PRN sebelum usia sebenar pemerintahannya tamat mengikut perlembagaan. DAP semakin kalut-malut apabila sekutunya, PKR belum bersedia menanggung risiko kemungkinan berakhirnya perkongsian kuasa di Pulau Pinang. DAP juga ketika itu tidak peduli lagi pendirian PKR. Kata orang DAP dah `tak makan saman’. Pedulikan apa orang kata - besar kepala, payah berkira, ego, sombong dan macam-macam lagi. Apa yang penting matlamat untuk mengadakan PRN tercapai. Malangnya, Ahad minggu lepas, keghairahan Guan Eng berubah dengan kenyataannya cadangan PRN dibatalkan. Disebabkan ketika itu penulis bercuti, teks asal itu tidak sempat dirombak. Apa pun persoalan yang dilontar Selak sebelum ini sudah terjawab.

Selak keluaran 25 Julai 2016, membincangkan isu berkenaan di bawah tajuk Pilihan raya negeri tergempar atau DAP sekadar gempak. Sah, gempar PRN bukan PRN tergempar. Biar apa pun alasan yang diberikan DAP, ternyata musuh-musuh DAP mengambil kesempatan untuk mempersendakan keputusan itu. Apakah kisah seterusnya mengenai PRN yang kini beralih pula ke Terengganu? Jika berlaku di Terengganu, puncanya tidak seperti cadangan di Pulau Pinang. Jika Guan Eng mengosongkan kerusinya, kerajaan DAP tidak akan terjejas. Cuma agaknya, di Pulau Pinang, tidak ada tokoh sehebat Guan Eng. Beberapa nama yang Selak kenali kerana pernah bersama mereka ketika melaporkan be­rita di Dewan Undangan Negeri (DUN) dulu seperti Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh mungkin tidak ada wibawa. Jika tidak, sebaik sahaja DAP menang, Hock Seng atau Boon Poh yang paling senior dari DAP di DUN itu layak dipilih sebagai Ketua Menteri. Kedudukan DAP di Pulau Pinang tidak sama dengan kedudukan BN di Terengganu. Jika seorang dua buat hal di Terengganu, keadaan akan berubah. Seperti diumumkan sebelum ini, DAP membatalkan hasrat mengadakan PRN kerana tidak mendapat persetujuan PKR yang bimbang kehilangan banyak kerusi. DAP pula tidak bersetuju menyerahkan dua kerusinya kepada PKR jika mahu PRN diadakan. Kehilangan banyak kerusi bukan alasan utama. DAP yakin.

Kedudukan akan mencemaskan DAP sekiranya PKR hilang kesemua kerusi. Agak pelik, dalam keadaan PKR bimbang hilang banyak kerusi, parti itu menagih dua kerusi DAP. Sepatutnya PKR yang menyerahkan dua kerusi untuk DAP sebagai `penyelamat’ jika PKR bakal hilang semua kerusinya. PRK (jika Guan Eng letak jawatan) tidak akan berlaku kerana undang-undang yang sudah termaktub bahawa kekosongan tidak perlu diisi apabila tempoh berakhirnya penggal DUN hanya berbaki dua tahun. Kini tiga tahun berlalu bagi penggal kedua Guan Eng memimpin Pulau Pinang. Sebut tiga tahun ini, Selak teringat kepada kata-katanya ketika perasmian Pusat Khidmat Rakyat Keadilan Parlimen Bayan Baru tidak lama dulu. Menyentuh soal pentadbiran ala khalifah Islam, Guan Eng berkata: “Bagaimanapun saya tidak mahu pemerintahan saya berakhir se­perti Khalifah Umar yang hanya sempat memerintah tiga tahun kerana dibunuh musuh yang tamakkan kuasa dan projek,”

Selak percaya jika tempoh untuk mengadakan PRK masih wujud, Guan Eng dengan rela hati akan meletak jawatan tanpa dipaksa-paksa. Tidak perlu PRN sesuai dengan prinsip pentadbirannya yang kononnya menggunakan pendekatan Khalifah Umar Abdul Aziz. Begitu juga amalan urus tadbir yang kononnya Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) bagi memastikan pentadbiran Pulau Pinang bersih dari unsur-unsur negatif. Bagi yang tidak berapa pasti maksud CAT bolehlah buat semakan melalui Kamus DBP.

Menyelak kembali ucapan Guan Eng semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri PDC 2016 pada 19 Julai lalu, beliau turut menyatakan komitmen untuk terus membuktikan yang kerajaan negeri adalah bersih dan tidak makan wang selaras dengan “Amar Maaruf Nahi Mungkar”. Katanya: “Marilah kita mengamalkan kehidupan yang bersih dalam kehidupan seharian kita. Janganlah yang hitam jadi putih atau putih jadi hitam atau yang maaruf jadi mungkar dan yang mungkar jadi maaruf,”. Beliau juga mengingatkan tentang menjauhi gejala fitnah dan pembohongan yang bukan sahaja akan mengancam perpaduan rakyat dalam masyarakat majmuk tetapi memberi kesempatan kepada ekstrimis menangguk di air keruh.Begitulah Guan Eng ketika bercakap mengenai CAT.

Berbalik kepada PRN, Guan Eng sudah tentu mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan DAP. Jika diselak kembali PRU lalu, semua 19 kerusi yang dimenangi di DUN menunjukkan majoriti kemenangan besar. Tidak ada calon yang menang di bawah majoriti 1,000 undi. Jika berlaku PRN atau PRU akan datang, mampukah MCA dan Gerakan mengambil alih kerusi-kerusi berkenaan? Dengan rakan sekutu baharunya, PAN, sudah tentu DAP boleh mengharapkan parti itu mengambil alih kedudukan Pas malahan PKR. Berbanding BN (UMNO), daripada 10 kerusi yang dimenangi, hanya satu kerusi dimenangi dengan majoriti melebihi 1,000 undi. Kerusi-kerusi lain calon UMNO menang antara 281 undi hingga 840 undi. Ke­ada­an ini tidak berlaku terhadap PKR yang menang dengan selesa. Adakah PKR terasa suasana sudah berubah? Begitu juga Pas dengan kerusi tunggalnya. Apa yang ditakuti PKR ialah kemungkinan berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru sama ada yang melibatkan BN-PKR-Pas atau BN-Pas-PAN. Kemungkinan juga empat penjuru dengan penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Alternatif Rakyat (PAP) yang ditubuhkan oleh bekas anggota DAP. Keadaan ini tidak dapat di­elakkan selepas Pas memutuskan hubungan dengan DAP.

Sukar diramalkan sejauh mana pengundi-pengundi di Pulau Pinang akan melakukan perubahan. Hanya DAP nampak lebih yakin. Slogan yang selalu pimpinan DAP gunakan ketika menghadapi PRU ialah `hidup atau mati’ (do or die). Mungkin jika PRN diadakan, ia dijadikan ujian terakhir kekuatan DAP sebelum PRU. DAP perlu memastikan suasana politik hari ini memihak kepada mereka. BN pula tidak boleh beranggapan perpecahan dalam kalangan pakatan pembangkang akan me­nguntungkannya. Adakah suasana politik pimpinan BN juga tenang? Berdasarkan majoriti lalu, adakah kerusi BN yang dimenangi calon UMN0 sebelum ini akan kekal?

Kedua-dua belah pihak kini berhadapan dengan pelbagai `masalah dalaman’ yang boleh menjejaskan peluang untuk mendapat sokongan pengundi.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain