Namun, kebanyakan penyair terutama ahli-ahli Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) tetap memandang serius isu DLP meskipun pelaksanaannya belum menyeluruh di semua sekolah.

Isu itu menjadi polemik kerana pihak yang menyokong atau menentang DLP mempunyai alasan masing-masing yang perlu diperhalusi agar tidak timbul perkara-perkara berbangkit kelak.

Kebanyakan ahli Pena yang terbabit dalam Majlis Baca Puisi Pena bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) senada dalam isu itu.

Mereka bukan sahaja memandang serius isu DLP, malah turut menyuarakan rasa hati dengan mendeklamasikan puisi dalam majlis yang diadakan di Rumah Pena, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelbagai ragam dan gaya bahasa yang mereka tonjolkan dalam majlis itu sehingga ia mampu mencuit hati para penonton yang menyaksikan acara bulanan anjuran Pena, ITBN dan DBP itu.

Ramlee Wahab misalnya, tampil dengan puisinya yang bertajuk Suara Hati Peribumi cukup serius dengan nada suaranya yang lantang biarpun karyanya itu hanya beberapa rangkap sahaja.

Dalam keseriusannya mengalunkan bait-bait puisi tulisannya itu, ia tidak menghalang para penonton tersenyum simpul kerana patah perkataan dan baris ayat yang digunakannya agak lucu.

Beliau bijak dalam menongkah arus bagi menyuarakan rasa kebimbangannya itu tanpa menyinggung mana-mana pihak, ‘ibarat menarik rambut dalam tepung’ yang akhirnya berjalan lancar.

Pelakon bangsawan tersohor, Roslan Madun tidak mahu ketinggalan melontarkan nada suaranya dalam corak persembahan yang diselang-selikan dengan iringan muzik latar.

Puisi yang dipersembahkan dalam bentuk syair berjudul Negara Tercinta itu turut terkena tempias isu DLP yang hangat diperkatakan di atas Pentas Sutung Umar RS pada malam tersebut.

Cuma bezanya pendekatan Roslan dalam persembahannya tidak terlalu ketat atau serius seperti penyair lain kerana ia dibantu oleh alunan muzik yang merungkai suasana serius yang timbul.

Penuh perasaan

Sejurus selepas itu, anak buah beliau dalam pentas bangsawan dan teater iaitu Baha pula menyusul menerusi lontaran puisinya yang bertajuk Inilah Aku dengan aksi lakonannya yang penuh perasaan.

Baha bukan sahaja mengekspresikan mimik wajahnya yang persis pelakon pentas sedang bermain dengan watak dan emosi, malah luahan itu terserlah melalui getaran suaranya yang mendalam.

Majlis pada malam itu terus berwarna-warni apabila setiap penyair tampil dengan karya, bahasa dan ketrampilan yang tersendiri meskipun isunya tetap sama iaitu kerisauan bahasa.

Dr. Shamsudin Osman contohnya, mengutarakan nilai bahasa yang semakin pudar rasa apresiasinya akhir-akhir ini dengan naskhahnya yang bertajuk Dunia Lintang Pukang.

Banyak mesej yang tersurat dan tersirat yang cuba diketengahkan oleh pensyarah bahasa di sebuah universiti awam ini dalam menyatakan rasa kebimbangannya dalam isu Bahasa Kebangsaan itu.

Bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain turut tumpang sekaki dalam majlis itu apabila muncul dengan mendeklamasikan puisi bertajuk Pahlawan Yang Dipotong Lidahnya.

Difahamkan sepanjang terbabit dalam dunia sastera termasuk menulis banyak puisi, itu adalah kali kedua beliau muncul di khalayak bagi berkongsi pandangannya dalam banyak aspek.

Majlis malam itu diserikan dengan kehadiran bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar yang diundang bagi melancarkan empat buku baharu terbitan ITBM.

Empat buku itu bertajuk Keroncong Pulau Kelapa karya Marzuki Ali, Himpunan 100 Sajak (Wikunila M.S.), Sahabatku Isa YB dan Yaya Permata Hatiku (masing-masing hasil karya Hasniah Hussain).

Presiden Pena seperti biasa selepas memberi sepatah dua kata mengambil ruang itu untuk membacakan sebuah puisi hasil nukilannya yang berjudul Bagai Singa.

Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron selepas itu melontarkan pula puisinya, Jangan Bunuh Mimpi mereka berdasarkan pengamatan perja­lanannya ke India baru-baru ini.

Malah, DBP juga tidak ketinggalan menghantar wakil mereka iaitu Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP, Rosnah Awang bagi melontarkan puisi bertajuk Kemuliaan.

Di akhir segmen majlis itu, Kumpulan Teater Marzuki Ali dari Terengganu yang tampil dengan persembahan teater pendek sambil bermain muzik, menyanyi dan mendeklamasikan puisi.

Johan dalam ucapannya sebelum melancarkan empat buah buku cukup teruja dengan kemunculan ikon pejuang sastera dari Negeri Pantai Timur itu yang dikenalinya sejak sekian lama.

“Bagi saya, Marzuki Ali ada ikon dan sebuah institusi seni budaya yang boleh menjadi kebanggaan rakyat Terengganu atas sumbangan besarnya selama lebih tiga dekad,” katanya.

Turut membaca sajak ialah Shukri Abdullah Sani dengan karyanya yang bertajuk Di Negeri DLP dan Wikunila M.S. dengan puisi Dunia Khatijah yang dipetik dari buku Himpunan 100 Sajak.