Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta seluruh jabatan dan agensi yang terlibat berjaya mengumpulkan nelayan serta keluarga mereka di satu lokasi yang dianggarkan disertai oleh lebih kurang 20,000 orang untuk diraikan.

Perjumpaan ini adalah bertujuan menghargai pengorbanan dan keringat mereka yang tidak jemu serta gentar untuk mengharungi lautan luas demi memenuhi keperluan sumber protein kepada lebih 30 juta ­rakyat Malaysia.

Penulis yang telah berkampung di Pantai Kuala Kerteh selama tiga hari, sebenarnya begitu bersyukur berpeluang melihat sendiri kehidupan nelayan dan dapat merasai kepe­ritan kehidupan mereka walaupun dalam tempoh yang singkat itu.

Bagi penulis, ini mereka adalah wira yang tidak didendang.

Pun begitu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, serta ­pasukannya tetap komited dan bersungguh-sungguh mahu memastikan seluruh warga nelayan ini tidak terpinggir dari segi mendapat peluang, manfaat serta ­keperluan sebagai rakyat yang kepentingannya menjadi agenda utama di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara manfaat dan imbuhan untuk warga nelayan yang diumumkan pada GNN2017 ini adalah pelancaran Kumpulan Keselamatan Nelayan Nasional (Kesan) yang berkonsepkan kesukarelawanan antara nelayan yang disatukan dari dua kumpulan iaitu gabungan antara Sukarelawan Perikanan (Super)di bawah Jabatan Perikanan dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditubuhkan beberapa tahun lalu.

Penggabungan ini menyaksikan jumlah anggota sukarelawan dalam kalangan nelayan terus bertambah sehingga hampir 8,500 orang di seluruh negara yang mana ini adalah satu jumlah yang besar dan agensi kerajaan lain akan melengkapkan lagi keupayaan kumpulan ini.

Langkah ini dijangka mampu untuk membantu antara sesama warga nelayan jika berlaku kecemasan ketika ke laut.

Selain itu, warga nelayan yang menjadi anggota Kesan akan mendapat perlindungan insurans dengan jumlah caruman hanya RM100 setahun dan jumlah perlindungan ditingkatkan kepada RM150,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang melancarkan GNN2017 juga mengumumkan bahawa Gelombang Nelayan Nasional akan menjadi acara tahunan bagi menghargai warga nelayan seterusnya bersetuju memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi menjayakan program ini kelak.

Sebelum itu, penulis sempat berbual dengan beberapa nelayan dan kesemua mereka berasa amat gembira kerana program sebegini tidak pernah dilakukan bagi menghargai warga nelayan.

Justeru, mereka amat berharap pihak kerajaan menjadikannya sebagai acara tahunan yang mana harapan itu akhirnya menjadi kenyataan setelah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, kerajaan juga serius untuk menangani isu pencerobohan nelayan warga asing yang semakin menjadi-jadi sehingga menyebabkan negara kerugian hampir RM6 bilion daripada hasil tangkapan laut yang dicuri oleh mereka.

Untuk itu, Ahmad Zahid mengarahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya lebih agresif dan proaktif dalam usaha mencegah pencerobohan nelayan warga asing ini yang telah lama mengurangkan hasil tangkapan nelayan negara.

Ini adalah isu utama nelayan negara yang sering dibangkitkan oleh golongan nelayan.

Penulis dapat melihat dengan jelas di wajah setiap warga nelayan yang amat bergembira de­ngan pelbagai aktiviti yang disediakan di tapak GNN2017.

Di samping itu, penulis juga merasakan bahawa hasil daripada GNN2017 ini turut mampu menjana ekonomi setempat yang mana semua tempat penginapan, restoran penuh serta pengusaha teksi mendapat jumlah ­penumpang yang lebih tinggi berbanding hari biasa.

Kesimpulannya, GNN 2017 boleh mencipta satu kejayaan besar.

Akhir sekali, penulis ingin mengingatkan pada seluruh rakyat Malaysia supaya sentiasa menghargai pengorbanan warga nelayan dan yang utama sekali menghargai keamanan negara.

Ini kerana tanpa keamanan sudah pasti nelayan kita tidak akan dapat ke laut untuk menangkap hasil laut seterusnya membekal sumber protein buat rakyat Malaysia.

Terima kasih warga nelayan negara.

PENULIS ialah Pengerusi Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat.