Di samping itu, ia membantu menambah pendapatan serta keberhasilan sebahagian besar penduduk luar bandar yang mengusahakan tanaman padi. Hakikatnya, sehingga kini, kerajaan telah membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar dari Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) sehingga RMK-11.

Antara aktiviti yang dijalankan bagi menjana industri termasuk penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, perataan tanah sawah, input pertanian bagi meningkatkan kesuburan tanah, pengawalan makhluk perosak, jentera dan mekanisasi ladang.

Selain itu, khidmat sokongan penyelidikan dan promosi teknologi, pemberian subsidi dan pembayaran insentif serta pembangunan infrastruktur saliran dan pengairan diwujudkan bagi menjana industri.

Namun, tahap sara diri (SSL) bagi penghasilan padi pada ketika ini sebanyak 71.5 peratus adalah rendah berbanding negara serantau.

Hingga kini, Malaysia masih mengimport kira-kira 30 peratus beras dari Vietnam, Thailand dan Filipina untuk menampung keperluan 31.5 juta penduduk negara ini.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, kebergantungan industri padi dan beras kepada kerajaan akan menyebabkan sasaran Malaysia menjadi negara pertanian maju sukar dicapai melalui pendekatan dan mekanisme sedia ada.

“Kerajaan pada masa ini sedang melaksanakan rasionalisasi dan transformasi terhadap keseluruhan model pengurusan industri padi dan beras dengan memberi penumpuan terhadap perkara-perkara pokok seperti perubahan sikap petani, peranan agensi-agensi Kerajaan (Jabatan Pertanian, MARDI dan lain-lain) serta pendekatan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” kata beliau.

Program Gelombang Tani Nasional 2017 merupakan satu program yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memartabatkan semula para petani.

Ia merangkumi perubahan sikap dan tanggungjawab untuk menaikkan rasa bangga dalam kalangan petani.

Pada masa sama program itu mempromosi aspek penting dalam pertanian seperti kerjasama petani dalam aktiviti gotong-royong serta kepentingan membersihkan tali air di kawasan penanaman padi masing-masing.

Kesinambungan

Menyedari budaya tersebut semakin dilupakan, kementerian itu akan menganjurkan Program Gelombang Tani Nasional 2017 melibatkan 20,000 sukarelawan. Program tersebut merupakan titik permulaan bagi menyatu dan menggerakkan seluruh tenaga petani, penduduk kampung serta sukarelawan daripada 25 buah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melalui aktiviti gotong-royong sukarela.

Ia merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tani yang dilaksanakan di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA)pada 29 Oktober 2016.

Program itu diteruskan di Perak dengan mengindahkan dan membersihkan kawasan tali air di 18 buah kampung dalam Mukim Sungai Manik yang berada dalam kawasan IADA Seberang Perak.

“Gotong-royong adalah salah satu aktiviti berkumpulan atau bersama yang dibuat secara sukarela. Amalan ini telah diamalkan dan diwarisi sejak zaman berzaman.

"Semangat ini perlu ada dalam diri masing-masing kerana ia dapat membentuk perpaduan sesama penduduk dan petani,” ujar Tajuddin.

Sasaran

Gelombang Tani Nasional turut menyasarkan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) menerusi perkongsian sumber dengan kementerian lain dan pada masa sama mendidik petani suntuk menjaga infrastuktur yang disediakan kerajaan.

Di samping itu, mempromosi sektor pertanian setempat menjadi kawasan agro-pelancongan antara agenda program berkenaan.

Menurut Tajuddin, progam itu juga menyasarkan untuk memberikan pendedahan kepada golongan muda tentang pertanian sebagai satu industri dan bukan lagi bidang yang tiada masa hadapan.

"Petani muda perlu menggalas tanggungjawab dalam mewarisi nilai-nilai murni masyarakat untuk disampaikan kepada generasi akan datang.

"Program Gelombang Tani turut menggalakkan petani untuk meningkatkan kualiti produk tani yang diusahakan," katanya.

Selain daripada mengikut saranan pihak berwajib yang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) seperti Lembaga Kemajuan Pertanian, petani diharapkan sentiasa mengikut kursus-kursus yang dianjurkan agensi bagi meningkatkan kualiti dan keberhasilan yang tinggi dalam cabang pertanian yang diceburi.

Gelombang Tani Nasional merupakan program terbaik untuk diterapkan kepada komuniti. Budaya turun-temurun perlu diperkasakan dengan memupuk kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat serta nilai-nilai kebersihan dan keceriaan.

Pelaksanaan program sebegini dapat membantu golongan sasar dalam menyelesaikan masalah berkaitan kerja-kerja pencucian tali air dan parit di ladang.

Komitmen dan sokongan yang tinggi oleh semua pihak seperti agensi, NGO, badan korporat dan kontraktor dalam menjayakan Gelombang Tani Nasional diharapkan dapat membantu memantapkan industri pertanian sekali gus menguntungkan petani dan negara.

Program gotong-royong melibatkan bahagian, jabatan dan agensi Kementerian Pertanian dan Asas Tani di kampung angkat.

Prapelancaran GTN 2017 oleh Ketua Setiausaha Negara pada 9 April 2017 selaras dengan prinsip NBOS.

Program Rhythm of The Farmers (ROTF) GTN 2017 pada 14 April 2017.

Program hebahan dan promosi Gelombang Tani Nasional menerusi Farmers on Wheel pada 14 April 2017.

Program pelancaran Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 15 April 2017.

Gelombang Tani Nasional 2017