Bukan sahaja kerana Trump dianggap sebagai pemimpin Amerika yang penuh kontroversi tetapi Malaysia juga sebagai sebuah negara kecil, maka apabila gambar tersebut dihebahkan, sudah pasti mempunyai maksud tertentu.

Jika ditinjau dari kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh White House, gambar yang dirakamkan di Pejabat Oval Presiden pada 24 Ogos lalu adalah sempena pertemuan di antara Zulkifeli dan Trump yang mana Presiden AS telah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Malaysia dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) anak kapal USS John S. McCain yang berlanggar dengan kapal dagang di perairan Johor dua minggu lepas.

Perlu ditekankan kehadiran Zulkifeli di Washington adalah untuk mengadakan perbincangan dengan Penasihat Keselamatan Presiden Trump iaitu Leftenan General H.R. McMaster mengenai perkara berkaitan isu kerjasama keselamatan dan pertahanan kedua-dua negara. Perbincangan banyak berkisar kepada kaedah untuk menangani ancaman militan terutama sekali yang berpunca dari kumpulan Daesh. Malaysia walaupun sebuah negara kecil, masih mempunyai rekod yang cemerlang dalam mengekang ancaman militan Daesh.

Tetapi satu lagi perkara yang menarik perhatian adalah kenya­taan Trump mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan berlangsung pada 12 September depan. Pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut dianggap penuh bermakna bukan sahaja kerana berlatar belakang ulang tahun ke-60 hubungan Malaysia-AS tetapi juga geopolitik rantau Asia Pasifik terutama sekali yang melibatkan China.

Bibit-bibit agenda pertemuan juga dikatakan diwarnai dengan pertemuan Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson dengan Najib pada 8 Ogos lalu dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi keesokannya. Tillerson singgah di Malaysia selama dua hari setelah menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF) di Manila pada 5 Ogos.

Jika dikaitkan dengan pertemuan Zulkifeli dengan Trump dan juga Tillerson dengan Najib serta Zahid, maka sudah pasti andaian agenda pertemuan 12 September akan datang berkisar kepada isu keselamatan dan pertahanan- mungkin tidak jauh tersasar ter­utama sekali yang melibatkan Laut China Selatan.

Tetapi satu isu yang agak kritikal dan sudah pasti akan dibangkitkan oleh Najib ialah melibatkan isu perdagangan di antara kedua-dua negara. Kritikal bukan sahaja kerana AS adalah rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia, maka penting untuk mengekalkan suasana perdagangan yag sihat tetapi juga kerana ada tuduhan dari Pejabat Perdagangan AS dalam hal lebihan dagangan.

Pada 31 Mac lalu, Trump telah mengeluarkan arahan eksekutif mengarahkan siasatan dilakukan terhadap 16 negara yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS, dengan China berada di tangga teratas melalui lebihan sebanyak AS$347 bilion. Trump menuduh Beijing mengamalkan strategi perdagangan yang tidak adil atau dalam perkataan mudah China menipu dalam urusan perdagangan mereka dengan AS.

Malaysia sebagai rakan dagang penting AS juga tidak terkecuali dalam senarai tersebut di mana jumlah eksport Malaysia ke AS melebihi dari apa yang diimport dari AS. Isunya adalah bukannya lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia tetapi jumlah lebihan tersebut yang menjadi pertikaian. Pejabat Perdagangan AS menegaskan, jumlah lebihan adalah sebanyak AS$25 bilion sedangkan data dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) hanya menunjukkan le­bihan sebanyak AS$5 bilion sahaja.

“Kita tidak menipu dalam perdagangan. Menipu bermakna kita jual barang pada harga di bawah pasaran. Namun, terdapat juga peraturan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang membolehkan sesebuah negara itu melaksanakan duti penalti atau perlindungan kerana ia telah dipersetujui oleh negara-negara terlibat,” tegas menteri ber­kenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi menguatkan hujah Malaysia sebagai negara berdaya saing dalam hal perdagangan.

Sebagaimana Trump yang mentadbir AS seperti beliau mengurus sebuah syarikat di mana lazimnya isu geopolitik digunakan untuk meraih manfaat ekonomi seperti yang sering menimpa China, maka Malaysia juga berada dalam kedudukan serupa. Umpamanya Trump menggunakan isu Korea Utara untuk memulas ta­ngan China yang secara tersiratnya ada kena mengena dengan pertembungan AS dan China dalam hal perdagangan. Naluri Trump adalah beliau akan berkompromi dalam hal geopolitik asalkan AS meraih manfaat ekonomi.

Sebab itu dijangkakan pertemuan di antara Najib dan Trump menarik kerana isu lebihan dagangan bukan sahaja akan di­bincangkan di antara kedua-dua pemimpin, malah geopolitik Laut China Selatan bakal menjadi latar belakang perbincangan. Bukan menjadi rahsia Laut China Selatan adalah arena pertembungan di antara AS dan China ketika kedua-dua kuasa besar ini cuba perluaskan pengaruh mereka.

Bukan menjadi rahsia juga pengamalan dasar luar Malaysia dalam hal ini adalah begitu strategik sekali kerana Kuala Lumpur rapat dengan Washington dan Beijing serta tidak mengamalkan dasar berat sebelah memihak kepada satu kuasa besar sahaja. Tidak syak lagi Washington memerlukan pengaruh Kuala Lumpur di rantau Asia Pasifik dan se­nario sebegini adalah hadiah bagi Malaysia mencuri peluang untuk meraih manfaat ekonomi.