Pada 1980 sektor pelancongan hanya menyumbang sejumlah RM618.9 juta perolehan. Jumlah ini kemudiannya meningkat kepada RM4.5 bilion pada 1990, melonjak hampir empat kali ganda pada 2000 dengan catatan perolehan sebanyak RM17.3 bilion sebelum mencatat prestasi mengagumkan iaitu RM56 bilion pada 2010 dan RM69 bilion pada 2015.

Prestasi positif ini ­sememangnya terus menjadi agenda pembangunan ekonomi Malaysia, dengan sasaran industri pelancongan bakal mengalami pertumbuhan kekal sekitar 8% dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dengan mencatatkan bilangan ketibaan pelancong sekitar 36 juta pelancong dengan RM115 bilion perolehan.

Untuk menjamin kejayaan ini dan pertumbuhan yang bersifat lestari, pelbagai rancangan berkaitan pelancongan telah dilaksanakan oleh kerajaan, antaranya menggalakkan pembangunan produk pelancongan yang lebih memberangsangkan. Usaha tersebut menghasilkan pelbagai produk pelancongan seperti pelancongan eko, pelancongan agro, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan, pelancongan budaya, pelancongan yang berkonsepkan mesyuarat, persidangan, pameran (MICE), Malaysia My Second Home dan tidak terkecuali yang terkini pelancongan bermotifkan keagamaan dan kepercayaan. Pelancongan motif keagamaan sebenarnya bukan suatu yang baharu dalam kalangan masyarakat. Pelancongan keagamaan dan kepercayaan, telah berkembang sejak ribuan tahun dahulu ketika berkembang­nya penyebaran agama sama ada Islam, Kristian, Hindu mahupun lain-lain.

Para mubaligh berhijrah dari satu negara atau destinasi ke tempat lain dalam usaha menyebarkan agama. Mereka mengadakan perjalanan kerana dakwah (bermotifkan penyebaran agama). Semasa penghijrahan dan penyebaran agama ini terdapat tinggalan yang masih terdapat sehingga kini. Konsep pelancongan agama yang ada pada masa kini agak berbeza dengan pelancongan agama pada masa dahulu. Dahulu masyarakat berjalan (melancong) kerana menyebarkan agama. Namun, pada masa kini masyarakat berjalan kerana ingin melihat tinggalan agama.

Dalam konteks Malaysia, sungguhpun tidak banyak tinggalan mubaligh ini yang ditemui, namun, binaan-binaan yang wujud pada hari ini boleh dijadikan produk tarikan pelancong dari sudut agama dan kepercayaan. Kepelbagaian bangsa dan agama yang menjadi anutan rakyat menjadikan produk pelancongan agama dan kepercayaan bertambah unik di Malaysia.

Agama Hindu dengan Kuil Batu Caves di Selangor misalnya, yang dibina sebagai tempat ibadah oleh K. Thamboosany Pillai seorang pedagang India sekitar 1890 masih menjadi tarikan kunjungan penganut agama itu sehingga ke hari ini.

Jutaan penganut agama Hindu dari Malaysia, India dan negara-negara lain serta pelancong asing berkunjung ke Batu Caves terutama semasa perayaan Thaipusam.

Batu Caves sebagai tempat keagamaan tidak perlu dipersoalkan, tetapi yang lebih ingin disentuh dalam konteks pelancongan adalah keunikannya. Pengunjung yang datang ke Batu Caves perlu mendaki sejumlah 272 anak tangga untuk sampai ke gua utama yang menempatkan beberapa siri gua kecil di dalamnya. Ini menjadikan pengunjung begitu teruja untuk mendaki anak-anak tangga yang kecil ini.

Begitu juga dengan kepercayaan agama Buddha. Tokong-tokong Buddha sering mendapat sambutan dalam kalangan pelancong beragama Buddha. Antara yang popular adalah Tokong Cheng Hoon Teng, Tokong Kek Lok Si, dan Patung Buddha, Tumpat. Patung Buddha Tumpat antara yang terbesar di Asia Tenggara dan kedua terbesar di dunia dalam beberapa posisi seperti duduk dan berbaring.

Bagi orang Islam, binaan bercirikan reka bentuk masjid atau masjid sebagai tempat beribadah sememangnya banyak terdapat di Malaysia. Terdapat lebih 5,000 buah masjid di seluruh Malaysia, dengan beberapa masjid utama sememangnya sangat menarik perhatian dan kunjungan pelancong. Antaranya Masjid Jamek dan Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putrajaya dan Masjid Besi Sultan Mizan Zainal Abidin (Putrajaya), Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Selangor), Masjid Negeri Sultan Abu Bakar (Johor), Masjid Zahir/Zahrah (Kedah), Masjid Tengku Tengah Zaharah (Terengganu) dan beberapa masjid-masjid lain.

Replika masjid dari beberapa negara terkenal di dunia yang terdapat di Taman Tamadun Islam (TTI) Terengganu tidak terkecuali sangat menarik perhatian pelancong. Mengunjungi taman ini seperti langkah pertama sebelum memulakan perjalanan ke destinasi pelancongan yang berasaskan lawatan ke masjid-masjid lain di hampir seluruh dunia. Bagaimanapun, pengisian dan penambahan produk sampingan lain yang boleh menjadi pelengkap kepada TTI adalah penting dalam usaha menarik ketibaan pelancong sama ada dalam mahupun luar negara.

Permintaan pelancong terhadap pelancongan agama dan kepercayaan ini dirangsang oleh pelbagai faktor termasuk antaranya adalah kerana keinginan pelancong mengenali dengan lebih mendalam tentang agama dan kepercayaan yang dianuti selain mencari ketenangan dan kebahagiaan khususnya bagi pelancong dalam kategori warga emas. Tidak terkecuali bagi sesetengah pelancong mereka terangsang dengan keharusan seni bina dan ukiran yang terdapat pada sesetengah bangunan rumah ibadah ini.

Sungguhpun pelancongan berasaskan agama belum lagi diketengahkan secara holistik di Malaysia namun, secara tidak langsung produk ini sebenarnya sudah bertapak dan sememangnya Malaysia sesuai menjadi pusat pelancongan yang bermotifkan agama dan kepercayaan. Ini sebagaimana dinyatakan sebelumnya adalah kerana disokong kuat oleh latar belakang Malaysia yang dihuni oleh pelbagai penganut agama dan kepercayaan iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Dengan kepelbagaian agama dan kepercayaan ini, pelbagai produk dan destinasi pelancongan yang berkonsepkan agama dan kepercayaan dapat dibangunkan di Malaysia.

PROFESOR MADYA DR. NORLIDA HANIM MOHD. SALLEH ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi 
dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)