Demikian sekilas cerita kias ibarat yang pernah berlegar da­lam masyarakat. Moral di sebaliknya adalah ketaksuban dan ditambah pula dengan sentimen benci dan marah, selalunya membuatkan seseorang itu mudah terpedaya, senang terpengaruh, lalu membuat pendirian yang salah sehingga memberi kesan yang merugikan.

Lupakan dulu cerita tentang gajah. Apa yang lebih penting dan diperlukan oleh masyarakat atau rakyat Malaysia umumnya ketika ini adalah untuk menikmati kehidupan selesa, sejahtera serta melihat masa depan bangsa dan negara terus terjamin. Mereka menyandarkan harapan tinggi terhadap janji-janji kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang baru lalu.

Keselesaan yang mereka maksudkan antaranya tidak terpaksa menghadapi kos sara hidup yang ‘menyempitkan’. Umpamanya, ti­­ada dikenakan sistem percukaian yang bertambah dari sistem yang diperkenalkan sebelum ini. Juga berharap, tiada lagi bayaran tol di kebanyakan laluan lebuh raya, selain kadar harga bagi bahan ke­perluan harian seperti petrol dapat diturunkan.

Sementara itu, bagi kalangan lepasan pengajian tinggi, mereka amat mengharapkan penangguhan bayaran balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi yang bergaji bulanan kurang dari RM4,000. Ramai juga tertunggu-tunggu pe­nyamarataan gaji minimum seluruh negara.

Para suri rumah menunggu terlaksananya skim simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sementara itu peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bertanya-ta­nya­kan penghapusan hutang pe­neroka. Juga ada yang bertanya­kan tentang ‘Skim Peduli Sihat’ yang dijanjikan RM500 bagi rawatan di klinik-klinik swasta terpilih untuk kalangan B40.

Salah satu unsur penting memaut hati rakyat menyokong mana-mana parti dalam PRU adalah janji manifesto. Mereka tertarik dengan hal-hal yang boleh memberi kelegaan dalam kehidupan. Jadi, mereka mengharapkan janji ditunaikan. Mereka bukan mahu janji sekadar kata-kata retorik yang tiada memberi kesan. Tidak memadai dengan kasut putih ditukar kepada kasut hitam.

Kepada rakyat, mereka ada hak untuk menyoal kejujuran atau kemampuan sebenar kerajaan yang ada untuk menunaikan segala apa yang dijanjikan. Bukan minat mereka untuk mendengar pelbagai alasan yang bermirip skrip cerita rekaan yang dibabitkan soal ‘bukan kitab suci’, masalah perundangan, perlu memakan masa, sistem lama diakui lebih telus atau lebih baik atau bermacam helah yang dilihat sebagai jalan keluar yang mudah (escapism), yang kesudahannya hanya mengecewakan rakyat.

Menambah lagi serabut rakyat, apabila ada pihak-pihak tertentu yang dilihat sengaja mahu meng­alih tumpuan (divert) janji yang tidak tertunai dengan melontar isu-isu sensasi seperti cadangan menutup institusi tahfiz, atau bahasa Arab bukan bahasa ilmu, hal-hal bersabit hukum hakam dan liberalisasi beragama serta lain-lain.

Di fikiran rakyat, kerajaan PH yang ada sudah memiliki cukup persediaan untuk melaksanakan segala yang dijanjikan sebaik mendapat mandat rakyat. Erti­nya, tiada apa yang perlu bertangguh. Dan ada juga yang menanyakan: “Ke mana pergi jaguh-jaguh yang dahulunya mengkritik kerajaan sebelum ini kononnya ba­nyak yang tidak betul dan sejauh mana pula mereka sudah perbe­tulkan?

Antara contoh persoalan yang diajukan: “Kenapa kos menunaikan ibadat haji tahun ini masih sama dengan sebelum ini? Kenapa tidak dikurangkan?”

Betul, janji manifesto pilihan raya tidak sama dengan kitab suci. Tetapi isunya adalah soal moral. Janji mesti ditunaikan. Jika tidak, boleh menjejaskan reputasi. Sebab itu, kerajaan sebelum ini melancarkan slogan “Janji Ditepati”. Itu pun belum diperkatakan lagi telahan tokoh-tokoh agama, yang mengaitkan perkara mengenai janji dan sikap ‘munafik’.

Rakyat juga mengharapkan suasana lebih sejahtera sebagaimana dijanjikan. Tidak tahu pula garis perbezaan berbanding sebelum ini. Tidak harmonikah selama ini? Namun, apa yang ke­tara dirasa dan dialami terutama oleh masyarakat Islam dan orang Melayu di akhir-akhir ini adalah keresahan melihat satu demi satu asas yang menjadi tunjang hak dan keistimewaan mereka seolah-olah semakin berada ‘di dahan rapuh’.

Lalu, semakin sukar untuk mengukur tahap kepuasan atau persepsi sebenar masyarakat, terutamanya orang Melayu dan umat Islam di Malaysia selepas PRU-14. Yang pasti, mereka ada jawapan tersendiri. Mungkin ada mesej signifikan pada Pilihan Raya Kecil Kandis nanti?

Mereka yang diuji dengan kesakitan lebih memahami dan mensyukuri nikmat kesihatan. Renung-renungkan!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air