Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan arwah yang terlibat secara langsung dalam penubuhan pertubuhan itu dan dilantik sebagai Timbalan Presiden Perkasa yang pertama sebagai seorang tokoh cekal dan amat taat kepada idealisme perjuangan.

“Singkatan nama Perkasa dan lagu rasmi pertubuhan itu merupakan hasil air tangan sepenuh­nya arwah. Semasa mesyuarat pertama Perkasa, kita bincang sama ada nak guna Perkasa atau Pribumi, saya mahukan Pribumi tetapi arwah pilih Perkasa dan selepas beliau memberikan hujahnya, akhirnya kami sepakat memilih Perkasa.

“Perkasa kehilangan seorang pemimpin dan sahabat, takziah kepada seluruh ahli keluarga arwah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah turut membawa bersama hati besar seorang pejuang yang terlalu cintakan agama, bangsa dan tanah air - sinonim dengan namanya yang membawa maksud hati dan jiwa besar.

Arwah meninggal dunia pada pukul 12.20 pagi Isnin di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang setelah tidak sedarkan diri akibat serangan jantung malam Sabtu semasa menghadiri majlis makan malam bersempena penutupan Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu.

Fuad merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang sebelum 1999 dan juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penggal 1992 hingga 1994 serta Ketua Pengarah Jasa sejak 2009, dikebumikan kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam di Tanah Perkuburan Islam Ampang Permai, Ampang, Selangor.

Bapa arwah, tokoh agama dan al-Quran terkenal, Tan Sri Hassan Azhari mengimamkan solat jenazah anaknya itu. Terdahulu, jenazah Allahyarham diberikan penghormatan terakhir di rumahnya di Ampang Jaya oleh kenalan dan orang kenamaan, antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bagi tempoh 2009-2013, Tan Sri Dr. Rais Yatim iaitu semasa arwah dilantik menerajui Jasa menyifatkan Allahyarham sebagai seorang individu yang amat tekun dalam menunaikan setiap amanah yang diberikan.

“Apabila mengetahui berita ini, saya amat sedih dan kehila­ngan seorang sahabat sejati yang amat mementingkan semangat setiakawan. Seperti tidak percaya tetapi janji Allah adalah benar bahawa setiap daripada kita akan tetap kembali ke pangkuan-Nya.

“Saya banyak mendalami keperibadian arwah semasa beliau menerajui Jasa. Kami banyak berinteraksi mengenai sosiopolitik. Gerak kerjanya amat teratur dan penuh sistematik, sekaligus mampu menterjemahkan secara terbaik segala dasar kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Rais yang kini Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan mengakui bahawa kewibawaan Jasa meningkat naik semasa berada di bawah teraju arwah, termasuk memperkenalkan kaedah penerangan secara bersemuka dengan penduduk wkampung di seluruh negara.

“Arwah juga aktif bersukan dan selalu bermain badminton dengan saya. Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah dua minggu lalu dalam majlis Jasamu Dikenang di Hotel Istana dan beliau pada masa itu turut menyanyikan sebuah lagu Arab, sebutan­nya dalam bahasa Arab amat baik,” katanya yang amat senang berurusan dengan arwah terutamanya dalam program-program untuk kemaslahatan rakyat.

Dalam pada itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa arwah semasa menerajui MBM pernah mencatat sejarah tersendiri apabila pada September 1992 bersama dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak (dahulunya Ke­tua Pemberita), Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar (dahulunya Ketua Jurugambar) ke Zagreb, Croatia untuk membuat liputan mengenai penderitaan dan kesengsaraan pelarian Islam Bosnia.

Mereka juga dipertanggungjawabkan untuk mengenal pasti kumpulan-kumpulan Islam Bosnia yang bakal menerima bantuan Tabung Kesengsaraan Orang Islam Bosnia anjuran Utusan Malaysia yang ketika itu melebihi RM4 juta.

Mengenai provokasi aktivis sosialis, Hishamuddin Rais yang mendakwa Jalur Gemilang bukan ciptaan warganegara Malaysia dan perlu ditukar kepada bendera yang dinamakan ‘Sang Saka Malaya’ - bendera merah dan putih, Allahyarham merupakan antara individu yang lantang menjawab dakwaan dangkal itu, sekaligus mempertahankan panji utama negara ini.

Memetik kata-kata beliau: “Ben­dera adalah simbol kewujudan bangsa, maruah serta kemuncak perpaduan bangsa. Kalaupun ada unsur pinjam-meminjam, ia sesuatu yang lumrah. Tetapi yang penting, ia diubah suai mengikut latar belakang budaya, sejarah dan perkembangan negara masing-masing.

“Paling penting, makna kemerdekaan. Cuba kita lihat ben­dera Australia ada persamaan de­ngan British. Bendera Singapura mirip bendera Indonesia. Ben­dera Amerika Syarikat diambil idea daripada Syarikat Hindia Timur British. Hubungan pinjam-me­minjam ini lumrah tetapi dipindahkan dengan disesuaikan budaya, sejarah negeri dan geografi negara masing-masing tanpa mengurangkan nilainya,” katanya.

Allahyarham turut me­ne­gaskan bahawa ciptaan Jalur Gemilang telah dipertandingkan dengan sebanyak 373 rekaan di­serahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan yang akhirnya pada 15 November 1949, hanya tiga disenarai pendek.

“Bagaimanapun, sebelum di­­umumkan, ada beberapa cadangan dibuat. Contohnya, per­mintaan Sultan Kedah yang meminta supaya bulan sabit putih ditukar kepada warna ku­ning. Ia untuk mewakili Raja-Raja Melayu.

“Seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor, Mohamad Hamzah telah diumumkan sebagai pemenang. Pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia dinaikkan di hadapan Istana Selangor, diikuti pada 31 Ogos 1957 dinaikkan di Dataran Merdeka untuk menggantikan Union Jack,” tegas arwah.