Formula atau bahasa rahsia Hollywood itu bukan dicipta oleh penulis skrip atau pengarah filem berkenaan, sebaliknya adalah hasil penelitian oleh pakar psikologi seperti Dr. Carl Jung dari Switzerland.

Menurut ahli psikologi terbabit, setiap manusia mempunyai keinginan untuk mendengar atau menonton cerita sama secara berulang kali. Cuma watak, masa dan tempat kejadian yang menjadi bahan penceritaan sahaja berbeza.

Cerita berasaskan formula sama mengenai hero yang berjuang untuk melawan watak jahat digelar Jung sebagai archetypes.

Archetypes berasal daripada gabungan dua perkataan bahasa Greek iaitu archein yang bermaksud asal atau tua dan typos yang merujuk kepada model atau rangka.

Formula itu telah digunakan sejak dahulu lagi seperti yang terdapat dalam mitos rakyat, biografi tokoh pejuang kemerdekaan dan kisah-kisah nabi.

Tempoh perjuangan hero sehingga menang melawan kuasa jahat biasanya dibahagikan kepada tiga fasa iaitu first act, second act dan third act atau permulaan, wujud konflik antara watak baik dan jahat serta penamat iaitu kemenangan hero.

Walaupun buku ini tidak menyentuh secara langsung bagaimana parti politik yang kalah dalam pilihan raya bangkit semula, pendedahan penulis mengenai formula rahsia dalam bidang lakonan cukup berguna kerana kedua-dua kerjaya itu adalah hampir sama.

Hakikat itu diungkap sendiri oleh ahli politik wanita dari Amerika Syarikat, Donna Brazile: “Saya fikir ahli politik boleh menjadi pelakon baik kerana kedua-dua bidang ini serupa iaitu memperbodohkan orang ramai. Pelakon mahir akan menyebabkan anda berfikir, tetapi ahli politik mahir akan membuatkan anda tidak perlu berfikir.”

Antara kandungan utama dalam formula itu adalah pertama, parti politik boleh bangkit semula jika dapat menentukan pihak manakah yang akan menjadi watak jahat. Ketika UMNO mula ditubuhkan, watak jahat adalah penjajah Inggeris yang cuba menghakis kuasa raja-raja Melayu.

Pada masa sekarang, mana-mana pihak yang dijadikan watak jahat hendaklah diberikan pelbagai gelaran tersangat buruk. Tingkah laku pihak berkenaan yang menekan rakyat, anti-Melayu dan anti-Islam hendaklah diperbesar-besarkan.

Gelaran buruk itu dianggap berkesan apabila rakyat tidak lagi melihat watak jahat terbabit sebagai manusia. Orang ramai bersikap tidak apa jika individu itu dihina dan diberi layanan tidak adil termasuk dihukum bersalah sebelum melalui proses perbicaraan adil di mahkamah.

Kedua, watak hero hendaklah digambarkan sebagai seorang yang telah diberi layanan tidak adil dan menghadapi pelbagai kepayahan angkara watak jahat. Masyarakat mula menyedari kewujudan hero setelah berlaku kejadian yang digelar penulis sebagai ‘pencetus’ kepada kebangkitan hero.

Di dalam filem, ‘pencetus’ selalunya melibatkan tragedi atau peperangan dimulakan oleh watak jahat yang menyebabkan kematian orang sangat disayangi hero.

Dalam politik, ‘pencetus’ sudah tentu berbeza dan terdapat pelbagai jenis seperti beliau dipecat daripada parti. Hero mendakwa pemecatan itu dibuat secara tidak adil dan individu berkenaan mula bangkit bersama-sama penyokong untuk menuntut keadilan dan membalas dendam.

Ketiga, menetapkan matlamat perjuangan. Setelah berlaku kejadian yang mencetuskan kebangkitan hero, kebiasaannya akan ada gagasan atau slogan baharu yang digunakan untuk menentang watak jahat.

Dalam filem, akan muncul ‘guru’ yang memberikan pelbagai nasihat berguna, panduan dan peralatan ajaib untuk membantu hero menentang watak jahat.

Sebaliknya dalam politik, hero mungkin menubuhkan parti politik baharu sebagai ‘alat’ untuk melawan watak jahat dengan slogan hebat seperti laungan reformasi, ilham daripada gerakan sama di Indonesia.

Kesimpulan yang boleh dibuat setelah membaca buku ini adalah parti politik akan dapat menarik semula sokongan pengundi jika mereka mampu menonjolkan hero yang boleh dijadikan idola oleh rakyat, penjahat yang perlu ditentang habis-habisan dan gagasan perjuangan baharu yang dapat menarik minat orang ramai.

 

INFO

> Judul: The Synchronicity Key: The Hidden Intelligence Guiding the Universe and You

> Penulis: David Wilcock

> Jumlah halaman: 436

> ISBN: 978-1-101-
59093-5

> Penerbit: Penguin Group