Ada yang positif, tidak kurang juga yang negatif rumusan-rumusannya.

Cuma Tumpang lalu berpendirian, banyak masa lagi boleh dinilai prestasi kerajaan. Kalau tiga bulan lebih sedikit sembilan atau 10 hari ini tidak muncul-muncul juga janji itu, masih ada empat tahun sete­ngah lagi. Tunggu dan lihat.

Politik hakikatnya berupa alat dan kaedah mencapai kebaikan bagi orang ramai. Bukan untuk keburukan seperti agenda peribadi yang lahap kuasa, lahap kekayaan. Yang memimpin mesti merasai degupan jantung dan naluri rakyat yang dipimpin kerana pada hakikatnya pemimpin adalah juga kuda lejang serta soldadu perjuangan rakyat.

Dalam politik sebenarnya daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena tarik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

Reaksi terhadap cakap orang atau penyampaian ‘orang kita’ perlu ditapis dan dihalusi sebelum diterjemahkan kepada tindak balas. Apatah lagi tentang laporan yang lunak dan cantik atau yang hanya memuja-muji pemimpin.

Oleh sebab sesuatu kesilapan yang dilakukan dalam politik itu, biasanya amat besar risiko­nya. Seseorang yang meme­gang jawatan tinggi perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi tindakan, termasuk kenyataan kepada media atau pandangan semasa berceramah. Ada belaka padahnya yang buruk.

Ada juga kata-kata bijaksana yang merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca, harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang tidak harus dibuat kerana nanti orang akan nampak atau sikap orang yang mudah bertindak balas. Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Malangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.

Dalam konteks ini, ada baik­nya ahli-ahli politik juga harus mempunyai kuat kuasa perintah am sendiri seperti dikenakan kepada penjawat awam. Ini bagi tujuan mengawal dan membanteras perlakuan negatif dalam perjuangan. Memang sudah menjadi lazim dunia, apabila tiada kucing di rumah, tikus bisa bertandak.

Antara se­bab-­sebab yang menimbulkan suasana konfli­k dalam politik ada­lah pergese­ran personaliti, rasa kecil hati kerana berebut tempat atau rezeki, pertembungan pendapat dan fiil iri hati yang timbul dari hasad dan dengki. Sebab itu dunia politik banyak mengandu­ngi perkara yang tidak tersurat. Dalam ke­adaan beginilah ba­nyak perlakuan melanggar nilai-nilai hidup yang dijulang tinggi.

Akan bertambah rumit lagi keadaannya apabila kawan akhirnya benar-benar menjadi lawan. Sebaliknya jika bernasib baik, yakni apabila lawan menjadi kawan, rasanya agak menyegarkan kerana perubahan seperti itu layak dianggap sebagai bonus.

Setiap yang bernama pe­mimpin tinggi akan atau telah pun me­ngalami nasib serupa ini. Dia mesti terima hakikat ini semua sebagai cabaran dan pelajaran.

Agaknya sebab itu ramai orang merumus bahawa mereka memang tidak akan survive dalam dunia politik akibat terlalu banyak benda yang kusut dan tidak boleh dimengertikan. Logik yang diterima secara am kadang kala dalam politik tiba-tiba tidak logik lagi. Tekanan keadaan yang tidak menentu ini cukup berat atas jiwa yang tidak terasuh dengan ‘huyung-hayang’ politik hari ini.

Ahli politik yang berjiwa besar tidak mudah menzahirkan perasaan dalam hatinya terhadap orang lain. Bak kata pepatah, lebih elok jika sesuatu itu ‘pecah di perut daripada pecah di mulut’. Dalam kilat ada kilau. Terserah kepada orang untuk menduganya.

Daya persepsi dan daya pengamatan seseorang pemimpin itu perlu dipertajamkan sentiasa. Ibarat pisau, akan hanya berguna jika tajam. Apabila pisau sudah tumpul dan berkarat, penggunanya tidak pandangnya lagi.

Jika hendak terus berguna dan berkesan dalam politik, seseorang itu perlu terus tajam dan terus berkilat. Jika tidak, tamsil pisau berkarat tadi akan menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap.

Malangnya, untuk terus berkilat dan berguna bukan mudah. Proses itu memerlukan pembaharuan serta asuhan diri - rela dikritik, tahan kena seksa dan tidak mudah mengaku kalah.

Sifat-sifat ini mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan.