Ti Lian Ker
Ti Lian Ker

DAP dengki dengan politik UMNO dan MCA di bawah payung Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan semangat majmuk dan perkongsian kuasa secara bijaksana.

DAP suka mencetuskan api perkauman dan berahikan perbalahan dalaman dalam UMNO dengan memihak dan bermesra dengan musuh-musuh UMNO atau “reject UMNO”. Misalan mengapakah DAP boleh menelan ludah mereka ke arah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan memeluk Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara hipokrit.

Akhir-akhir ini munafik DAP ini telah berjaya mencetuskan pertelingkahan antara pemimpin MCA dengan UMNO.

Apabila Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang terkenal dengan kelantangannya menyerang dermawan bilionair atas berita palsu sebuah portal, DAP dengan cepatnya memprovokasi komuniti Cina dan menjolok MCA atas  bahasa kasar dan kurang senonoh yang digunakan oleh Nazri.

Semestinya pemimpin MCA terpaksa menegur Nazri. Ini lebih-lebih lagi apabila kenyataan Nazri itu disamakan dengan keseluruhan UMNO oleh bapak pencetus perkauman iaitu Lim Kit Siang.

Matlamat DAP sebenarnya ialah untuk menyemarakkan kemarahan komuniti Cina terhadap UMNO dan BN.

DAP cuba mencetuskan kebencian pengundi Cina pada keseluruhan UMNO dan BN dengan menuding jari pada MCA dan UMNO. Inilah muslihat DAP dan sememangnya mereka berjaya mencetuskan kemarahan pengundi Cina yang rata-rata sudah reda dan terima bahawa Pakatan yang dipelopori puak munafik DAP ini tidak boleh dipercayai untuk menggantikan parti BN yang mereka sudah selesa.

BN terkenal dengan dasar inklusif dan kesederhanaan mereka berbanding dengan DAP dan PAS.

Strategi jahat DAP untuk mencetuskan pertengkaran UMNO dengan MCA hampir-hampir berjaya kalau tidak ditangkis oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dengan kebijaksanaan kepemimpinan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberi penghormatan yang sepatutnya kepada Tan Sri Robert Kuok dan menenangkan semua pihak dengan mesej yang rasional dan wajar.

Maka sekali lagi DAP gagal mengadu-domba kaum Cina dengan kaum Melayu. Inilah keajaiban formula BN yang dapat mengawal keamanan dan keharmonian kepelbagaian bangsa walaupun kekadang tercetusnya api perkauman mainan cauvinis DAP yang oportunis tanpa memikirkan kelangsungan dan kesinambungan perhubungan antara etnik yang telah dipelihara dan dipupuk dengan baik oleh Barisan Nasional hasil daripada gandingan kuasa UMNO, MCA dan rakan-rakan komponen yang lain. -

Datuk Seri Ti Lian Ker adalah penganalisis politik