Segala kenangan pahit pada tahun lalu, jadikan ia sebagai penyebab semakin dekat kepada Tuhan Penguasa Sekalian Alam serta menjadikan kita orang yang tabah dan reda menerima ujian-Nya.

Sebaliknya semua kenangan manis yang dikecapi seharusnya menjadikan kita orang yang bersyukur, sentiasa merendah rendah diri dengan kesedaran bahawa semua yang diraih itu bukan kerana kehebatan kita tetapi kerana pertolongan Allah SWT yang memudahkan urusan.

Ingatlah bahawa kelmarin adalah jejak kita, hari ini adalah langkah kita dan esok adalah tujuan kita. Jangan takut jika hidup ini akan berakhir kerana kegagalan namun takutlah sekiranya hidup tidak pernah bermula kerana tiada kecekalan.

Semua orang menginginkan hidup positif, lebih tenang, lebih bahagia, memiliki wang yang banyak dan kesihatan yang baik. Bagaimanapun tidak semua orang dapat mengecap rasa positif tersebut atas dua sebab. Pertama, disebabkan oleh takdir yang ditetapkan oleh Allah. Kedua, kerana sikapnya sendiri dalam menghadapi peristiwa negatif yang ditakdirkan Allah untuknya iaitu selalu berasakan dirinya menjadi mangsa selain faktor sekeliling yang sering mempengaruhi dan menjadikan hidup ke arah negatif.

Setiap hari terdapat banyak perkara yang berlaku dan kita tidak mampu menghalangnya. Orang yang bijak akan fokus untuk melihat apa yang dia mahu lihat sahaja. Yakni, apabila nampak sesuatu peristiwa yang tidak mahu dilihat, dia boleh mengawal minda sedar (otak atau akal) untuk tidak fokus kepada perkara itu. Hal ini bermakna dunia dalaman kita kuat sehingga berjaya mengawal dunia luaran. Kita tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran. Apabila menggunakan kuasa minda untuk fokus kepada yang positif semata-mata serta fokus kepada matlamat dan tujuan hidup maka kita akan cepat mencapai apa yang dicita-citakan.

Tip untuk melatih diri kita berfikir dan pandang terhadap apa yang difokuskan sahaja adalah dengan cara mengambil sehelai kertas berwarna putih yang dititiskan tompokan dakwat hitam di tengah-tengah kertas itu. Tumpukan pandangan kepada kertas putih itu berulang kali hingga akhirnya kita tidak nampak apa-apa lagi di sekeliling kertas putih tersebut selain tompokan hitam itu sahaja. Orang yang berjaya ialah orang yang fokus kepada setiap tindakannya.

Sebagai contoh, apabila di tempat kerja, fokus diberikan sepenuhnya dalam kita menghasilkan sebanyak mungkin manfaat sepanjang waktu kerja yang ditetapkan. Kita sentiasa berfikir; “Apa yang boleh diberikan kepada majikan, bukan apa yang kita boleh dapat daripada majikan.”

Apabila di rumah, fokus kita sepenuhnya kepada keluarga. Tinggalkan segala masalah di pejabat dan berikan perhatian dan kasih sayang kepada ahli keluarga dengan menghargai masa berkualiti untuk orang tersayang. Sebab itulah betapa besarnya impak ‘fokus’ kita kepada sesuatu perkara. Fokus kita berkait rapat dengan satu konsep pemikiran yang disebut ‘undang-undang tarikan’.

‘Undang-undang tarikan’ bermakna kita akan menarik atau membenarkan situasi yang sama dalam sesuatu perkara itu menjadi kuat dan sama tenaga dalam tubuh kita. Contohnya, kalau marahkan anak yang nakal, jangan putus asa. Terus mengharapkan positif dan berdoa yang baik-baik untuk anak itu supaya dia berubah dan meninggalkan perangai negatifnya. Kalau buat perkara yang sama kita akan dapat hasil yang sama. Misalnya, apabila memarahi anak, kita selalu sebut; “jangan pukul adik.” Yang diterima oleh minda bawah sedar/minda segar (roh/jiwa) anak adalah pukul adik. Sebab itu semakin banyak mengulangi kata; “jangan pukul adik,” semakin kerap anak kita memukul adiknya. Oleh sebab itu, pilih perkataan positif dengan menggantikan kata-kata “jangan pukul adik” kepada “sayang adik, jaga adik baik-baik.” Maklumkan kepada anak, apa yang dimahukan oleh ibu atau ayah dan bukan beritahu mereka apa ‘larangan’ kita. Dengan itu, minda bawah sedar/minda segar (roh/jiwa) akan menerima segala arahan atau ‘kemahuan’ positif .

Justeru, mulakan tahun baharu ini dengan ketenangan dan kebijaksanaan untuk mengawal respons terhadap peristiwa negatif yang tidak mampu dikawal. Ingatlah falsafah kehidupan `reset minda’ iaitu emosi menentukan fikiran. Fikiran menentukan tindakan. Tindakan menentukan hasil kehidupan. Apabila dimulakan dengan ketenangan akan bermulanya kebijaksanaan. Segala pelaksanaan dan tindak-tanduk tenang dan berfikir jauh akan membuahkan hasil yang baik dan bijaksana.

Penampilan diri yang menzahirkan ketenangan diri juga penting kerana ia adalah gambaran kebijaksanaan. Penampilan seseorang yang tidak kemas dan kelam-kabut menggambarkan pemikiran serabut. Untuk hati pula kita tidak akan tertarik kepada kecantikan, kekayaan, pangkat, kedudukan atau namanya yang tersohor tetapi lebih tertarik terhadap seseorang yang baik hati. Jangan fokus kepada kelemahan tetapi fokus kepada kekuatan, kerana setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Oleh itu, walau apa pun terjadi kepada diri sendiri, keluarga dan negara bertindaklah secara tenang, kawal emosi dan berfikir panjang dari segi kesan baik dan buruknya. Di situlah cerminan kebijaksanaan kita.

Hal ini juga bermakna dunia dalaman kita kuat hingga berjaya mengawal dunia luaran. Kita tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran.

`Dunia dalaman’ adalah fikiran dan hati kita. Dunia dalaman yang baik akan menzahirkan dunia luaran yang positif dan hasil kehidupan juga menjadi positif. Kita juga akan mendapat ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan sebagai hasil kehidupan. Setiap tindakan akan berdasarkan kepada emosi yang ada dalam jiwa kita. Oleh itu, untuk membina personaliti yang baik, perlu mencari ilmu kerana ilmu adalah makanan jiwa.

Binalah kepercayaan orang terhadap kita dengan dunia dalaman yang positif kerana kepercayaan adalah seperti selembar kertas. Sekali sahaja tercarik, ia tidak kembali sempurna dan menari. Jika cuba diperbetulkan ia tetap berbekas. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak.